PENGUNJUNG SETIA

13 Julai 2010

RAKYAT KECEWA

Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my

Pemuda minta kerajaan kaji semula keputusan batal bina muzium


MUAR: Penduduk Bukit Kepong, dekat sini, kecewa dengan keputusan kerajaan membatalkan pembinaan Muzium Polis Bukit Kepong yang sepatutnya menjadi mercu tanda serangan dan kekejaman komunis serta pengajaran kepada orang ramai termasuk generasi akan datang.

Pembinaan muzium di lokasi asal serangan komunis pada 23 Februari 1950 itu dirancang sejak 2005 lagi dengan mempamerkan artifak sejarah dan bangunan asal balai polis yang diserang pihak komunis sehingga menyebabkan ramai anggota polis terbunuh.

Setiausaha Pemuda UMNO bahagian Pagoh, Helmy Afendy Ismail, berkata beliau dan penduduk Bukit Kepong terkejut apabila akhirnya kerajaan mengambil keputusan membatalkan pembinaan muzium di kawasan itu yang sudah dirancang sejak lebih lima tahun lalu lagi dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) sebelum diluluskan dalam RMK-9.

Katanya, pembinaan muzium itu sepatutnya menjadi warisan sejarah yang berharga untuk penduduk negara ini, terutama generasi muda mengenai kepahitan yang dilalui pasukan keselamatan negara.

"Sehubungan itu, Pemuda UMNO Pagoh meminta supaya kerajaan mengkaji semula keputusan membatalkan pembinaan muzium itu yang sejak sekian lama dirancang di kawasan itu yang turut berperanan untuk merancakkan lagi pembangunan kawasan Bukit Kepong, " katanya di sini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop dalam Dewan Rakyat, baru-baru ini mengumumkan bahawa pembinaan Muzium Polis Bukit Kepong tidak akan diteruskan dengan alasan kawasan itu terdedah dengan ancaman banjir dan kos sebanyak RM8 juta diperlukan untuk menambak tinggi kawasan berkenaan.

Kementerian akan membina sebuah galeri khas di Pondok Bukit Kepong itu bagi pameran sejarah perjuangan polis dan gambar anggota polis yang terbabit dalam peristiwa serangan pada 1950 itu.

Helmi Afendi berkata, galeri khas yang mahu diwujudkan itu tidak mencukupi untuk menempatkan barangan bersejarah yang berkaitan dengan serangan Balai Polis Bukit Kepong dan ketiadaan bahan pameran itu sudah pasti mengecewakan orang ramai yang sering berkunjung ke lokasi itu untuk mengimbau sejarah.

Sementara itu, seorang peniaga gerai berhampiran lokasi bersejarah Bukit Kepong, Ahmad Abu Bakar, 61, berkata peristiwa sejarah itu mampu menarik pengunjung dari seluruh negara yang mahu melihat sendiri lokasi dan barangan sejarah tetapi jika muzium itu tidak diwujudkan sudah pasti ia akan mengecewakan pencinta sejarah termasuk generasi muda.

"Sebelum ini pun ramai pelawat yang meluahkan rasa kecewa kerana Muzium Bukit Kepong tidak dibina di lokasi itu sehingga mereka tidak dapat merasai situasi sebenar yang berlaku, sekali gus menyebabkan perjalanan mereka ke balai polis itu tidak berbaloi," katanya.

Katanya, sepatutnya bagi mengimbau sejarah serangan komunis itu, Muzium Bukit Kepong diadakan di kawasan itu dengan menyediakan replika atau bangunan asal Balai Polis Bukit Kepong untuk tatapan orang ramai.

Seorang lagi penduduk, Ali Husin Mat Saad, 73, berkata kewujudan muzium itu penting sebagai antara pengisian untuk generasi akan datang dan berharap pembinaannya dapat diteruskan sama ada di lokasi yang sama iaitu di tepi Sungai Muar atau dipindahkan di lokasi berhampiran yang lebih tinggi.

Katanya, alasan kerajaan bahawa muzium itu tidak dapat dibina kerana terletak di kawasan banjir tidak dapat diterima kerana kawasan berkenaan hanya berlaku banjir besar sekali saja dalam tempoh 30 tahun dan banyak lagi alternatif lain yang boleh dilakukan termasuk memindahkannya di lokasi berhampiran.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 13 JULAI 2010

Tiada ulasan: