PENGUNJUNG SETIA

07 Januari 2013

16 AHLI MASMA TERIMA SUMBANGAN KEBAJIKAN

HAMIM Samuri (kiri) menyampaikan sumbangan kepada ahli Masma pada Sukan Ragam dan Karnival Jom Sihat di SMK Tengku Mahmud Iskandar, Sungai Mati, Ledang, baru-baru ini. 
 
LEDANG 6 Jan. - Seramai 16 ahli Majlis Staf Makmal Sains (Masma) Daerah Muar dan Ledang menerima sumbangan sempena Sukan Ragam dan Karnival Jom Sihat di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmud Iskandar, Sungai Mati, dekat sini baru-baru ini.

Pengerusinya, Ahmad Yusof berkata, sumbangan kebajikan berkenaan diberikan kepada ahlinya bagi menghargai peranan mereka sewaktu susah dan senang di dalam MASMA.

Katanya, antara penerima sumbangan kebajikan itu meliputi anak cemerlang dalam peperiksaan, mendapat cahaya mata, hadiah perkahwinan, rawatan di hospital, menunaikan ibadah haji, hadiah persaraan dan sumbangan kematian anggota keluarga.

"Persatuan prihatin dengan kebajikan setiap ahlinya dan sumbangan diberikan diharap menjadi pendorong semangat bagi ahli yang lain khususnya meningkatkan kecemerlangan anak-anak dalam pelajaran.

"Kami juga sentiasa mengambil perhatian kebajikan ahli yang ditimpa kesusahan seperti dirawat di hospital dan kematian anggota keluarga," katanya ketika ditemui selepas penyampaian sumbangan berkenaan di sini baru-baru ini.

Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri menyempurnakan majlis perasmian berkenaan dan menyampaikan sumbangan kebajikan kepada ahli Masma.

Ahmad dalam pada itu berkata, penganjuran sukan ragam dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan ahli selain memupuk semangat kesukanan dan kerjasama.

Sementara itu, Hamim berkata, program anjuran Pembantu Pengurusan Murid (PPM) Pendidikan Khas dan Masma Daerah Muar dan Ledang itu dapat mewujudkan satu persefahaman antara semua peserta.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 07 JANUARI 2013

Tiada ulasan: