PENGUNJUNG SETIA

19 Januari 2013

TIGA SYARIKAT GLOBAL SERTAI JOHOR

Tanjung Langsat, Pasir Gudang, akan menjadi antara pusat aktiviti hiliran industri minyak dan gas di negara ini. 
 
LEDANG 18 Jan. - Tiga syarikat petroleum global iaitu Vitol, Trafigura dan Blanco akan melabur di Tanjung Bin, Pontian dan Tanjung Langsat, Pasir Gudang tidak lama lagi dengan jumlah mencapai berbilion ringgit yang bakal menjadikan Johor sebagai hab baharu industri huluan dan hiliran minyak, gas dan petrokimia di rantau ini.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, hab yang dijadual beroperasi sepenuhnya pada 2017 itu bukan sahaja menyedia segala kemudahan berkaitan tetapi juga akan menjadi pusat perdagangan untuk industri itu.

"Di Tanjung Bin, Tanjung Langsat dan Pengerang akan mempunyai segala kemudahan untuk industri tersebut, contohnya, selain minyak mentah, pelbagai minyak akan diproses, begitu juga kita mempunyai tangki penyimpanan minyak yang akan siap pada 2014.

"Untuk itu kita perlukan pelabuhan yang dikendalikan dengan cekap dan juga perlukan tenaga kerja yang ramai, kepakaran serta berkemahiran," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 Peringkat Negeri Johor 2013 di Sekolah Menengah Sains Muar, dekat sini hari ini.

Abdul Ghani berkata, melalui penyertaan syarikat perdagangan minyak dan gas dunia itu akan merealisasikan rancangan negeri ini untuk menjadi peneraju utama dalam sektor berkenaan bagi tempoh beberapa tahun lagi.

Katanya, sektor minyak dan gas di negeri ini akan menjadi seperti Singapura yang merupakan sebuah negara kecil tetapi menjadi pusat perdagangan minyak dan gas di rantau ini yang dilengkapi dengan segala kemudahan diperlukan.

Dalam pada itu, beliau berkata, selain bidang minyak dan gas, Johor akan menerima banyak pelaburan dalam tempoh 10 tahun ini menerusi pelbagai bidang yang dilihat bakal merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi.

"Untuk itu, kita akan perlukan ramai tenaga kerja yang berkemahiran tinggi. Ini akan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia terutama di Johor dan ini juga akan memberikan pendapatan yang baik dan tinggi," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 19 JANUARI 2013

Tiada ulasan: