Ab Majid dan Furaidah (dua dari kiri) bergambar bersama ibu tunggal pada majlis pelancaran ANGGUN di Kompleks Penghulu Mukim Kesang, Ledang.
[ FOTO HAI ROZZAMAN JALAL / BH ]
[ FOTO HAI ROZZAMAN JALAL / BH ]
Ledang: Golongan ibu tunggal disaran menyertai persatuan bagi membolehkan kebajikan mereka tidak terabai dan terlepas pandang daripada menerima sebarang bantuan.
Menyedari keperluan itu, Persatuan Ibu Tunggal Anugerah Gigih Untuk Najjah (ANGGUN) Mukim Kesang, yang ditubuhkan Jun lalu berjaya menghimpunkan 280 ahli berdaftar dengan Hal Ehwal Wanita (HELWA) dan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim (YPKDT).
Sasar pertambahan ahli
Penaung ANGGUN, Ab Majid Mistam, berkata persatuan itu menyasarkan penambahan ahli berdaftar kepada 400 orang tahun 2013 bagi memperkasa program membabitkan golongan berkenaan.
Katanya, ibu tunggal di mukim itu mempunyai pelbagai latar belakang dan pihaknya akan berusaha mengenal pasti keperluan itu bagi memastikan kebajikan mereka tidak terabai.
“Jawatankuasa ANGGUN akan menubuhkan beberapa biro, termasuk kebajikan, kaunseling, pembangunan industri kecil dan sederhana (IKS), yang berperanan mengesan ibu tunggal berkemahiran.
“Kita mahu golongan ibu tunggal memainkan peranan sama penting dengan golongan lelaki untuk membangunkan mukim ini,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Persatuan Ibu Tunggal (ANGGUN) di Kompleks Penghulu Mukim Kesang, dekat sini.
Turut hadir, Pengerusi HELWA Daerah Ledang, Furaidah Othman dan Pengerusi ANGGUN, Azizah Md Top.
Tingkat kemahiran
Ab Majid berkata, ANGGUN sedang merancang untuk menghantar ahlinya mengikuti latihan intensif untuk meningkatkan kemahiran bagi membolehkan mereka berdikari menjana pendapatan masing-masing.
Katanya, ramai dalam kalangan ahli persatuan yang mengusahakan perusahaan IKS dan memasarkan produk mereka bukan hanya di sekitar negeri ini, malah di Melaka.
“Ahli persatuan juga aktif melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan, termasuk membantu golongan miskin, mengadakan program gotong-royong dan sukan rakyat,” katanya.
SUMBER: BH JOHOR, 01 JANUARI 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan