PENGUNJUNG SETIA

16 Januari 2013

GENG CURI MOTOSIKAL TUMPAS

Wartawan Sinar Harian
Geng curi motosikal tumpas
Harun menunjukkan sebahagian komponen motosikal yang dirampas.
 
LEDANG - Polis menahan enam lelaki dan seorang wanita dipercayai terlibat dalam kegiatan sindiket mencuri dan menjual komponen motosikal sekitar daerah ini di lokasi berbeza sepanjang hujung tahun lalu hingga Januari ini.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, tangkapan pertama dan kedua dibuat pada 26 Disember lalu dengan menahan dua remaja lelaki berusia 19 tahun dalam serbuan di sebuah rumah di Sungai Mati dan Taman Kangkar Jaya, Sungai Mati, dekat sini.

“Suspek merupakan penganggur dan dipercayai baru berjinak-jinak dalam kegiatannya mencuri serta menjual komponen motosikal.

“Suspek juga tidak mempunyai sebarang rekod jenayah malah negatif dadah berdasarkan ujian air kencing yang dilakukan ke atasnya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Harun berkata, tangkapan ketiga dibuat pada 31 Disember lalu dengan menahan seorang lelaki berusia 21 tahun di Sungai Mati yang juga merupakan seorang penganggur.

“Tangkapan jam 4 petang itu membawa kepada penemuan rangka motosikal yang dibuang dalam Sungai Belemang, Serom.

Suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan bebas dadah,” katanya.

Manakala, dalam tangkapan keempat yang dilakukan anggota Jabatan Narkotik IPD Ledang menahan tiga lelaki dan seorang wanita di sebuah rumah di Taman Maju Jaya, Tangkak.

“Serbuan pada 3 Januari, kira-kira jam 6.45 petang itu menemui sebuah motosikal jenis Yamaha 125 yang disembunyikan dalam sebuah bilik rumah itu.

“Suspek lelaki berusia 17, 19 dan 26 tahun berasal dari Tangkak, manakala suspek wanita pula berusia 20 tahun dari Melaka. Kesemua suspek adalah warga tempatan, tidak mempunyai pekerjaan dan bebas dadah,” katanya.

Beliau berkata, ketika anggota Unit Peronda IPD Ledang membuat rondaan di Taman Pelangi, Tangkak, 8 Januari lalu, menjumpai sebuah motosikal jenis Kriss Modenas di tepi longkang.

“Motosikal ini dilaporkan hilang di Sungai Mati tahun lalu.

Kesemua suspek ditahan untuk membantu siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 16 JANUARI 2013

Tiada ulasan: