PENGUNJUNG SETIA

15 Januari 2013

PADAH UGUT GUNA PISTOL TIRUAN

Wartawan Sinar Harian
Padah ugut guna pistol tiruan
Harun menunjukkan pistol tiruan yang digunakan seorang lelaki untuk memeras ugut warga Bangladesh di sebuah kilang di Tangkak, Sabtu lalu.
 
LEDANG – Tindakan berani seorang lelaki menggunakan pistol tiruan untuk melakukan ugutan jenayah terhadap seorang lelaki warga Bangladesh mengundang padah apabila ditahan Unit Rondaan Motosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.35 petang itu, mangsa berada di hadapan sebuah kilang pakaian di Tangkak, di sini, sebelum didatangi suspek yang menaiki kereta.

Menurutnya, suspek bertindak mengacukan pistol ke arah mangsa berusia 25 tahun yang bekerja di kilang berkenaan seterusnya memintanya sejumlah wang.

“Kekecohan yang berlaku menyedarkan orang ramai yang berada berhampiran lokasi kejadian dan menghubungi pihak polis.

“Dua anggota URB bergegas ke tempat kejadian dan menangkap suspek di belakang kilang berkenaan,” katanya pada sidang media di IPD Ledang, di sini, semalam.

Harun berkata, selain menahan suspek berusia 20 tahun itu, pihaknya turut merampas pistol tiruan jenis Walter P99 bersama peluru plastik, telefon bimbit dan dompet milik mangsa.

"Ujian air kencing  ke atas suspek mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau bersangkutan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan pernah menjalani penjara selama enam bulan berserta denda RM1,800 pada tahun lalu.

“Suspek kini ditahan reman sehingga 16 Januari ini untuk membantu siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan dan Seksyen 32 Akta Senjata Api 1960,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Harun berkata, indeks jenayah IPD Ledang menurun sebanyak 8.45 peratus iaitu 455 kes pada tahun lalu berbanding 497 kes untuk tahun 2011.

Beliau berkata, jenayah jalanan mencatatkan penurunan sebanyak 50 peratus iaitu 75 kes berbanding tahun 2011 sekali gus membolehkan IPD Ledang mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI)  ditetapkan.

“Bahagian narkotik juga mencatatkan kejayaan apabila jumlah tangkapan meningkat dengan perbezaan 119 kes tangkapan ke atas beberapa kesalahan dadah.

“Tahun lalu kita menahan 702 pesalah berkaitan dadah berbanding 583 pada 2011. Pelbagai jenis dadah dirampas termasuk heroin, syabu, ketamin dan ecstasy,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 15 JANUARI 2013

Tiada ulasan: