Hamim (kiri) dan Tee Tee sempena penyampaian sumbangan di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Jalan Hassan, Tangkak. [ FOTO HAI ROZZAMAN JALAL]
Oleh Hai Rozzaman Jalal
bhjb@bharian.com.my
bhjb@bharian.com.my
LEDANG: Perkongsian bijak antara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan badan korporat dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka dapat membantu golongan kurang bernasib baik.
Pegawai JKM Daerah, Ab Ghani Abu Bakar, berkata melalui program itu, pihaknya sentiasa mengalu-alukan sumbangan badan korporat dalam pelbagai bentuk bantuan untuk disalurkan kepada golongan memerlukan.
Bantu individu berdikari
Katanya, ramai golongan kurang berkemampuan dalam senarai JKM memerlukan bantuan dan jabatan akan mengagih-agihkan sumbangan badan korporat kepada mereka yang layak.
“Sumbangan badan korporat di bawah tanggungjawab sosial mereka ini dapat membantu individu yang mendapat bantuan jabatan berdikari menerusi agihan peralatan seperti mesin jahit.
“Bantuan diberikan oleh jabatan bersifat sementara dan apabila individu yang diberikan sumbangan peralatan dapat berdikari, bantuan kepada mereka akan ditamatkan,” katanya pada majlis penyampaian sumbangan peralatan oleh Ar-Rahnu X’Change Bank Rakyat Cawangan Tangkak di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Jalan Hassan dekat Tangkak.
Sumbangan disampaikan Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tangkak, Goh Tee Tee; Penaksir 1, Ar-Rahnu X’Change, Mohd Helmy Md Salleh dan Bendahari PDK Tangkak, Tan Chiang Soon.
Pada majlis itu, Ar-Rahnu X’Change Tangkak menyampaikan sumbangan mesin jahit kepada ibu tunggal, Suria Ahmad dari Taman Intan; PDK Serom menerima sebuah peti sejuk manakala PDK Tangkak menerima mesin pemotong rumput, kerusi roda dan buku untuk kegunaan pelatihnya.
Ab Ghani berkata, penerima bantuan jabatan yang produktif, diberi peralatan untuk menambah pendapatan bagi mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan keluarga.
Tingkat kualiti kehidupan
Katanya, pelatih PDK pula diberi bantuan bagi mengimbangi kehidupan individu itu dengan fizikal mereka untuk membolehkannya berdikari atas bimbingan guru di pusat itu.
Sementara itu, Mohd Helmy berkata, sumbangan yang disalurkan pihaknya diharap dapat membantu golongan kurang berkemampuan meningkatkan kualiti kehidupan mereka ke arah lebih baik.
Chiang Soon pula berkata, sumbangan yang diterima PDK Tangkak dapat digunakan untuk melatih pelajar di pusat itu berdikari seperti memotong rumput bagi membolehkan mereka melakukannya di rumah.
SUMBER: BH JOHOR, 07 JANUARI 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan