PENGUNJUNG SETIA

07 Mac 2013

TAMAN TANGKAK EMAS SIAP 10 BULAN LAGI

AHLI Dewan Undangan Negeri Tangkak, Goh Tee Tee meninjau kerja-kerja pembinaan semula dan baik pulih di Taman Tangkak Emas, Ledang, kelmarin. 
 
LEDANG 6 Mac - Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) menetapkan tempoh 10 bulan untuk menyiapkan projek perumahan Taman Tangkak Emas dekat sini, yang telah terbengkalai sejak lapan tahun lalu dengan kos baik pulih sebanyak RM20 juta.

Ketua Pegawai Teknikal SPNB, Datuk Ahmad Azizi Ali berkata, sehubungan itu sebanyak 60 pembeli rumah terlibat tidak perlu berasa risau lagi kerana SPNB sudah pun mengambil alih projek itu daripada pemaju asal, Koleksi Asli Sdn. Bhd. (KASB) pada Julai 2010 selepas diisytiharkan terbengkalai.

"Fasa kedua projek perumahan seluas 6.6 hektar ini melibatkan 60 unit rumah teres dua tingkat kos sederhana dan ketika diambil alih, projek itu terbengkalai di peringkat pembinaan struktur manakala satu lagi blok di peringkat pembinaan bumbung.

"Kos keseluruhan projek perumahan berkenaan lebih RM20 juta yang meliputi kerja pemulihan, kajian serta penyelesaian hutang lama bagi membolehkan proses pemulihan taman perumahan itu bermula," katanya selepas majlis taklimat pemulihan projek perumahan berkenaan di Dewan Jubli Intan, Tangkak, di sini semalam.

Ahmad Azizi berkata, proses pemulihan dapat dimulakan Disember lalu kerana pihaknya perlu menyelesaikan urusan membabitkan perundangan yang mengambil masa agak lama.

"Taman perumahan tersebut akan dapat disiapkan selewat-lewatnya tahun hadapan jika kontraktor yang dilantik dapat menyelesaikan kerja dalam tempoh lapan hingga 10 bulan," ujarnya.

Seorang pembeli, Rosewahani Wahab, 40, berkata, dia membeli rumah itu pada 2003 dan dijanjikan akan dapat mendudukinya dalam tempoh kurang dua tahun sebelum pihak pemaju menghilangkan diri termasuk menutup pejabat mereka tidak lama selepas itu.

"Saya kecewa kerana potongan gaji untuk membayar pinjaman sudah bermula pada 2005 dan pada masa yang sama perlu membayar sewa rumah yang sedang diduduki ketika ini.

"Hari ini saya berasa sangat lega kerana SPNB tampil membantu menyelesaikan projek berkenaan dan saya sekeluarga sangat berterima kasih kepada kerajaan kerana prihatin dengan masalah rakyat," katanya yang juga seorang guru.

Bagi M. Maruthan, 42, dari Tangkak, langkah pemulihan yang diambil oleh SPNB itu menunjukkan kerajaan amat prihatin terhadap nasib rakyat.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri berkata, bantuan pemulihan projek perumahan adalah sebahagian daripada janji kerajaan untuk membantu rakyat mendapatkan kehidupan selesa dan lebih sempurna.

"Di Ledang sendiri, kerajaan sudah membantu menyiapkan projek perumahan Taman Sri Nilam yang terbengkalai lebih sedekad lalu selain mengambil alih projek di Taman Tangkak Emas ini.

"Ini semua dilakukan kerajaan kerana pemimpin kita sentiasa mendengar keluhan serta masalah dihadapi rakyat dan faham penderitaan yang mereka alami," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 07 MAC 2013

Tiada ulasan: