LEDANG 30 Mac - "Tolong encik jangan ambil tindakan, teruk saya jika ketua jabatan tahu tentang kejadian ini."
Demikian rayuan seorang wanita kakitangan sebuah jabatan kerajaan di
daerah ini apabila dicekup semasa sedang berkhalwat bersama pasangannya
oleh Penguat Kuasa Pejabat Agama Daerah Ledang, awal pagi ini.
Wanita yang berusia 30 tahun dan pasangannya berusia 33 tahun itu
dicekup dalam serbuan kira-kira pukul 12.10 pagi ketika berdua-duaan
dalam sebuah bilik di rumah sewa wanita berkenaan di Tangkak, di sini.
Menurut wanita itu yang bekerja sebagai juruteknik dan berasal dari
Batu Pahat, teman lelakinya hanya 'singgah' ke bilik itu sementara
menunggu ibunya memasukkan wang ke dalam akaun bank untuk pulang ke
kampungnya juga di Batu Pahat.
"Teman lelaki saya bekerja sebagai juruteknik sebuah kilang
elektronik di Kuala Lumpur tiba di Tangkak, semalam, namun disebabkan
tidak mempunyai wang yang cukup memaksanya tinggal sementara di bilik
saya.
"Dia akan segera pulang ke kampung sebaik sahaja terima wang kiriman
daripada ibunya," ujar wanita itu ketika ditemui pemberita semasa
operasi cegah maksiat sekitar Ledang malam tadi, dalam usaha memujuk
anggota PPADL melepaskannya.
Difahamkan wanita berkenaan yang baru menyewa bilik itu hampir
sebulan lalu, dilihat kerap membawa teman lelakinya datang ke bilik
tersebut pada waktu malam.
Sementara itu, Kadi Daerah Ledang, Sulaiman Maidin berkata,
berdasarkan aduan orang awam, sepasukan anggota PPADL memeriksa bilik di
rumah berkenaan.
"Penguat kuasa hanya menunggu kira-kira lima minit sebelum wanita itu
membuka pintu. Pemeriksaan lanjut di bilik itu menemui seorang wanita
memakai baju-T dan berseluar pendek dan pasangannya juga memakai baju-T
dan berseluar pendek bersembunyi di belakang pintu," katanya.
Sulaiman berkata, pasangan itu kemudiannya ditahan untuk siasatan
lanjut kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen mempunyai hubungan
mahram atau suami isteri dan dibawa ke Balai Polis Tangkak sebelum
dibawa ke Pejabat Agama untuk siasatan lanjut dan dijamin keluarga
masing-masing.
SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 31 MAC 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan