PENGUNJUNG SETIA

31 Mac 2013

BUAT PILIHAN BIJAK - MB

ABDUL Ghani Othman (tengah) menerima hadiah gitar selepas pelancaran Karnival Astro Fiesta Mesra Belia 1Malaysia Parlimen Ledang 2013 di Pulau Penarik, Sungai Mati, Muar, kelmarin. - MINGGUAN/ZULHISHAM ISAHAK 
 
LEDANG 30 Mac - Generasi muda bakal mewarisi negeri ini dalam keadaan yang suram, gelap dan tidak menentu masa depannya jika mandat kali ini diberi kepada pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, ketidakcekapan pembangkang dalam urus tadbir akan membuatkan pembangunan serta pertumbuhan ekonomi negara terjejas dan secara langsung memberi kesan buruk terhadap peluang dan pasaran kerja.

"Kita tidak boleh harap pembangkang untuk membawa pembangunan dan kemajuan. 

"Kalau biarkan negara ini ditadbir pembangkang, maka ekonomi terbantut, tidak ada pertumbuhan ekonomi dan tidak ada pelaburan," katanya ketika berucap dalam Karnival Astro Fiesta Mesra Belia 1Malaysia Parlimen Ledang 2013 di Pulau Penarik, Sungai Mati dekat sini malam tadi. 

Bukan itu sahaja katanya, langkah tersebut juga akan menyebabkan peluang kerja begitu terhad untuk anak-anak muda.

"Mereka yang keluar sekolah, universiti dan maktab tidak akan mempunyai pekerjaan," katanya.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, M. Asojan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri dan ADUN Tangkak, Goh Tee Tee.

Pada majlis tersebut, Abdul Ghani yang juga ADUN Serom menerima hasil kutipan derma Tabung Wira Lahad Datu daripada ahli-ahli Muar Scram Club berjumlah RM1,782.

Abdul Ghani berkata, jika diberi peluang kepada pembangkang menjadi kerajaan bermakna menempa kemusnahan kepada negara dan perkara ini harus dielakkan dengan membuat pilihan yang bijak serta menjamin masa depan dalam pilihan raya umum akan datang.

Katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terus mencipta kemajuan sebagai kesinambungan sejak merdeka 56 tahun lalu dan nasib orang muda cukup terbela serta berperanan dalam pembangunan negara.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 31 MAC 2013

Tiada ulasan: