PENGUNJUNG SETIA

01 April 2013

REMAJA PEREMPUAN 16 TAHUN DITANGKAP BERKHALWAT

LEDANG 31 Mac - Keghairahan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun meraikan ulang tahun perkenalan pertama bersama teman lelakinya dengan bermalam di sebuah hotel bajet di bandar Tangkak di sini, membawa padah apabila mereka dicekup kerana didakwa berkhalwat awal pagi ini.

Pasangan kekasih remaja itu dicekup semasa sedang tidur tanpa berpakaian dipercayai selepas mengadakan hubungan seks oleh sepasukan anggota penguat kuasa dari Pejabat Jabatan Agama Daerah Ledang (PADL) pada pukul 3.10 pagi.

Semasa ditanya pemberita yang turut serta dalam operasi serbuan itu, pelajar perempuan berasal dari Bukit Kepong, Muar itu mengaku menipu ibunya semata-mata mahu bertemu teman lelakinya yang berusia 18 tahun dengan memberi alasan mahu bermalam di rumah rakannya di bandar tersebut.

"Saya beritahu ibu yang menghantar saya ke sebuah restoran makanan segera di bandar ini dengan alasan ingin berjumpa dan bermalam di rumah teman sekolah.

"Sebenarnya saya berjumpa teman lelaki berasal dari Seri Menanti, Muar di restoran berkenaan sebelum bermalam di hotel bajet untuk meraikan ulang tahun perkenalan kami," ujarnya.

Remaja tersebut yang merupakan antara pelajar cemerlang di sekolahnya berkata, mereka berkenalan sejak setahun lalu dan mengakui datang ke hotel itu setiap kali berjumpa sebelum mengadakan hubungan seks.

Sementara itu, Kadi Daerah Ledang, Sulaiman Maidin berkata, serbuan dilakukan oleh penguat kuasa adalah berdasarkan aduan orang awam serta rutin operasi jabatan berkenaan.

"Penguat kuasa menunggu kira-kira lima minit sebelum remaja perempuan yang hanya bertuala membuka pintu dan membenarkan pemeriksaan dijalankan. Pemeriksaan lanjut dalam bilik menemui seorang remaja lelaki tanpa pakaian sedang tidur atas katil. 

"Pasangan itu ditahan untuk siasatan lanjut kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen mempunyai hubungan mahram atau suami isteri," katanya.

Sulaiman berkata, kedua-dua mereka kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang untuk laporan dan Pejabat Agama bagi siasatan lanjut sebelum dijamin keluarga masing-masing.

Katanya, mereka akan didakwa di bawah Seksyen 27(1)ab, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 01 APRIL 2013

Tiada ulasan: