PUTRAJAYA 3 April - Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Parlimen Ke-12 selepas mendapat
perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya
Umum Ke-13 (PRU-13) berkuat kuasa hari ini.
Pengumuman yang dibuat selepas mesyuarat Kabinet itu disiarkan secara
langsung oleh saluran televisyen dan radio utama pada pukul 11.30 pagi.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan semua anggota
Jemaah Menteri yang lain hadir pada pengumuman di Pejabat Perdana
Menteri itu dengan masing-masing memakai sut hitam dan bertali leher
merah.
Mengambil sempena genap empat tahun beliau menggalas tanggungjawab
serta amanah sebagai Perdana Menteri, Najib menurunkan peringatan serta
nasihat satu per satu dalam mesej pembubaran itu.
Beliau berkata, ketua-ketua kerajaan negeri dinasihatkan menghadap
ketua-ketua negeri bagi mendapat perkenan pembubaran Dewan Undangan
Negeri masing-masing agar PRU-13 dapat diselaraskan serentak di seluruh
negara.
''Saya ingin memaklumkan kepada rakyat Malaysia bahawa pada pagi ini
saya telah menghadap Yang di-Pertuan Agong dan menyembah warkah kepada
Baginda memohon perkenan supaya Parlimen ke-12 dibubarkan pada hari ini
Rabu 3 April 2013.
''Sehubungan itu, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, baginda
telah pun memperkenankan bagi Parlimen Ke-12 dibubarkan berkuatkuasa
hari ini," katanya di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
Najib seterusnya menarik perhatian rakyat dengan mengimbas semula
tarikh 3 April 2009 sehingga hari ini yang genap empat tahun beliau
mengangkat sumpah untuk memikul amanah serta tanggungjawab sebagai
Perdana Menteri.
Sepanjang tempoh tersebut, katanya, beliau bersama Timbalan Perdana
Menteri, anggota Jemaah Menteri dan anggota pentadbiran lain dengan
segala ikhtiar dan upaya, mencetus dan melaksanakan pembaharuan serta
perubahan berpaksikan kepada falsafah 1Malaysia, Rakyat Didahulukan
Pencapaian Diutamakan serta dipandu oleh Dasar Transformasi Nasional.
Beliau berkata, kerajaan yang ada hari ini adalah kerajaan yang
bertanggungjawab meletakkan kepentingan rakyat di atas segala-galanya
kerana apabila berjanji menepatinya dan apabila diberi amanah akan
menjunjung dan melaksanakannya, bukan bersikap menanam tebu di bibir.
''Semuanya bukti komitmen kami mampu dinilai serta diukur daripada
prestasi dan track rekod kami sepanjang empat tahun yang lalu,
pembubaran ini akan membuka laluan kepada bermulanya proses PRU-13 untuk
negara sejak tahun 1959 iaitu pilihan raya umum pertama selepas
merdeka," katanya.
Menurut Najib, sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem
demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan, kuasa mutlak memilih
kerajaan berada di tangan rakyat.
Katanya, sejarah telah menunjukkan bahawa kebugaran demokrasi berjaya
menyediakan asas-asas yang subur untuk kestabilan dan keamanan nasional
yang dinikmati warga negara ini selama lebih lima dekad.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 04 APRIL 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan