LEDANG 2 April - Tenaga Nasional Berhad (TNB) Johor tahun ini
memperuntukkan hampir RM40,000 untuk Projek Mesra Rakyat (PMR)
melibatkan usaha membaik pulih dua buah rumah keluarga miskin kaum Cina
dan India di luar bandar.
Pengurus Besarnya, Datuk Ir. Mohd. Aminuddin Mohd. Amin berkata,
tanggungjawab sosial korporat TNB itu menyasarkan kediaman golongan
kurang bernasib baik antaranya golongan orang kurang upaya (OKU), ibu
tunggal, warga emas dan penduduk miskin.
"Projek pertama melibatkan rumah di Kampung Batu 63 di Pontian minggu
lalu yang dimiliki Tan Ah Ngo dengan kos kira-kira RM10,000 hingga
RM20,000.
"Hari ini adalah projek kedua melibatkan kos hampir sama dengan
menukar atap, membina tembok menghalang daripada tanah runtuh dan baiki
mana-mana bahagian rosak," katanya ketika berucap dalam Majlis
Penyerahan Rumah PMR Peringkat Negeri 2013 di Kampung Termil, Sagil,
dekat sini hari ini.
Penyerahan rumah itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
Gambir, M. Asojan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber
Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri kepada pemiliknya, K.
Jeyapal.
Mohd. Aminuddin berkata, pemilihan untuk projek tersebut dilakukan
ADUN atau Ahli Parlimen di kawasan terbabit melalui kriteria tertentu
sebelum kerja-kerja baik pulih dengan modal awal sebanyak RM10,000
dimulakan.
Beliau berharap, Jeyapal akan menjalani kehidupan lebih selesa kerana
sebelum ini terpaksa hidup dalam rumah yang hampir roboh kerana sudah
uzur dan diancam kejadian tanah runtuh setiap kali hujan lebat.
Sementara itu, Asojan berkata, pihaknya berterima kasih atas
keprihatinan TNB dan berharap syarikat korporat lain mencontohi usaha
murni tersebut bagi meringankan beban golongan yang tidak mampu atau
kurang bernasib baik.
Beliau turut berharap lebih banyak rumah dalam kawasan yang diwakilinya akan terpilih pada masa hadapan.
Dalam pada itu, Jeyapal, 62, melahirkan rasa terharu selepas
diberitahu rumahnya terpilih dalam projek tersebut dan merakamkan terima
kasih kepada TNB dan kerajaan atas keprihatinan tersebut.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 03 APRIL 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan