PENGUNJUNG SETIA

11 April 2013

10 WARGA MYANMAR TERMASUK SEORANG WANITA DITAHAN SELUDUP ARAK

LEDANG 10 April - Cubaan 10 warga Myanmar termasuk seorang wanita menyeludup 346 kotak berisi 4,152 botol minuman keras bernilai lebih RM100,000 digagalkan oleh polis dalam serbuan di sebuah gudang di Kampung Merbau Berdarah, Sungai Mati dekat sini baru-baru ini.

Kesemua suspek berusia 20 hingga 40-an yang merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI) ditangkap dalam serbuan pukul 12.30 tengah hari pada awal bulan ini, ketika sedang leka menjalankan kerja menampal label pelekat pada botol minuman keras untuk diisi ke dalam kotak.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Harun Idris berkata, suspek terdiri daripada sembilan lelaki dan seorang wanita tidak sempat melarikan diri setelah dikepung oleh sepasukan lapan anggota polis yang menjalankan serbuan di premis berkenaan. 

"Pemeriksaan mendapati gudang lama yang terletak dalam ladang kelapa sawit itu dijadikan tempat untuk menjalankan kerja-kerja menampal label pelekat pada botol minuman keras yang diseludup sebelum dijual. 

"Kita percaya minuman keras itu diproses di tempat lain sebelum dibawa ke gudang terbabit kerana pemeriksaan tidak menemui peralatan digunakan untuk memprosesnya di situ," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang di sini hari ini.

Menurut Harun, pihaknya percaya minuman keras tersebut adalah untuk dijual kepada rakyat Myanmar yang tinggal di negara ini.

Beliau berkata, kesemua suspek tidak mempunyai dokumen perjalanan dan dipercayai sudah melakukan kegiatan itu sejak awal tahun ini tetapi tidak disedari penduduk setempat kerana lokasi gudang tersebut jauh dari rumah mereka.

Katanya, polis masih menyiasat dalang di sebalik sindiket berkenaan dan tidak menolak kemungkinan terdapat lagi rakyat Myanmar yang terlibat.

"Kita juga masih menyiasat siapa pemilik gudang lama tersebut. Kesemua suspek direman sehingga 17 April ini untuk siasatan di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155)," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 11 APRIL 2013

Tiada ulasan: