Hamim melawat gerai pelatih selepas merasmikan Eksplorasi Anak Muda di Kolej Kemahiran Tinggi Mara
Ledang di Serom 4, semalam.
LEDANG – Kerajaan memandang serius usaha pihak tertentu yang cuba mengeruhkan lagi hubungan di antara negara Malaysia dengan China berhubung insiden penculikan seorang pelancong negara itu di Semporna, Sabah.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Hamim
Samuri berkata, perkara itu tidak wajar dijadikan isu utama
memandangkan kes tersebut agak terpencil dan tidak dijangka berlaku yang
membabitkan warganegara China.
Beliau turut menasihatkan segelintir pihak agar tidak membuat penilaian
sendiri yang langsung tidak signifikan tentang hala tuju hubungan
negara China selepas ini.
“Kita sedar tragedi kehilangan pesawat MH370 yang membawa 153 penumpang
termasuk seorang bayi dari negara China memberi tamparan hebat kepada
negara apabila media antarabangsa membuat laporan memburukkan negara
ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan
Eksplorasi Anak Muda di Kolej Kemahiran Tinggi Mara Ledang di Serom 4 di
sini, semalam.
Ahli Parlimen Ledang itu mengulas mengenai penculikan seorang warga
China yang berasal dari Shanghai, Gao Hua Yun, 29, dan seorang pekerja
Filipina di sebuah resort di Semporna dekat Kota Kinabalu, Sabah, malam
Rabu lalu.
Mengulas lanjut, Hamim berkata, kerajaan China masih menghargai
hubungan dengan Malaysia sebagai rakan perdagangan dan kerjasama
antarabangsa serta akan membuat usaha terbaik mengekalkan hubungan dua
hala seperti yang diperkatakan duta negara itu ketika berkunjung ke
negara ini, baru-baru ini.
“Setakat ini hubungan kedua-dua negara masih baik serta tidak
dipengaruhi dengan dua kejadian itu (kehilangan MH370 dan penculikan di
Semporna).
“Negara China merupakan rakan dagangan paling utama negara yang
mencecah nilai dagangan bernilai RM500 bilion tahun lalu,” katanya.
Hamim berkata, beliau yakin pihak berkuasa terutamanya pasukan
keselamatan di wilayah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah
(Esscom) akan dapat mengatasi masalah tersebut.
SUMBER: SINAR HARIAN, 05 APRIL 2014
SUMBER: SINAR HARIAN, 05 APRIL 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan