Ledang: Seorang pemandu terselamat daripada maut apabila lori balak
yang sarat dengan muatan terbalik ketika mengambil selekoh tajam di
berhampiran Kampung Parit Kassan, dekat Bukit Gambir, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, lori dipandu Abd Razak
Jusoh, 50, yang dalam perjalanan ke sebuah kilang kayu di Sungai Mati,
dekat sini, tiba-tiba hilang kawalan sebaik tiba di selekoh berkenaan
sebelum terbalik.
Menurut Abd Razak, dia bertolak dari
Muadzam Shah, Pahang awal pagi semalam, membawa muatan kayu balak
bersama beberapa lori lain untuk dihantar ke kilang kayu berkenaan.
“Ini adalah kali pertama saya menggunakan jalan ini dan apabila
mengambil selekoh apabila berasa kayu di belakang lori jatuh diikuti
lori yang dipandu pandu tiba-tiba senget dan terus terbalik,” katanya.
Katanya, dia sempat memperlahankan lori apabila menyedari ada satu
selekoh di hadapan, namun tidak menyangka ia satu selekoh tajam
menyebabkan kenderaannya hilang kawalan.
“Mungkin rantai
pengikat kayu balak itu longgar atau tercabut menyebabkan kayu
menggelungsur jatuh. Saya cuba mengawal lori, namun ia terus terbalik.
KEADAAN lori selepas terbalik dekat Kampung Parit Kassan.
“Nasib menyebelahi saya kerana tidak cedera dan sebaik lori terbalik
saya terus keluar dan mematikan enjin dikhuatiri terbakar kerana diesel
tumpah,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Sementara itu, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit
Gambir yang diketuai Pegawai Bomba Kanan 2 Musa Kasbullah bersama lima
anggota dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan
kecemasan.
Musa berkata, pihaknya menabur habuk kayu di atas jalan raya
dilimpahi diesel yang tumpah dari lori berkenaan bagi mengelakkan jalan
licin dan mendatangkan bahaya kepada pengguna lain.
Ketua
Kampung Parit Kassan, Mohd Hamzah Basar, berkata kemalangan sering
berlaku di selekoh terbabit membabitkan kenderaan dari arah Sagil ke
Bukit Gambir.
Katanya, keadaan selekoh tajam menyebabkan ada kenderaan yang dipandu laju gagal mengawal pemanduan mereka sebelum terbabas.
“Kami berharap Jabatan Kerja Raya (JKR) mengambil langkah sewajarnya
dengan melebarkan kawasan selekoh itu bagi mengelakkan kemalangan terus
berlaku,” katanya.
SUMBER: HARIAN METRO, 02 APRIL 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan