Mohamed Khaled
BATU PAHAT - Kerajaan negeri Johor hari ini menafikan desas-desus
kononnya cuti hujung minggu di negeri itu akan kembali semula ke hari
Sabtu dan Ahad.
Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata perubahan cuti
minggu itu tidak timbul sama sekali walaupun ia heboh diperkatakan oleh
rakyat negeri ini serta di laman sosial.
"Tidak ada isu seperti itu...jangan percaya kepada khabar angin yang
disebarkan menerusi media sosial," katanya selepas melancarkan program
'Road to MAHA 2014', peringkat negeri Johor, di Dataran Penggaram, di
sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pertanyaan wartawan mengenai
desas-desus yang hangat diperkatakan dalam laman media sosial sejak dua
minggu lepas kononnya cuti hujung minggu di negeri itu akan diubah.
Cuti hujung minggu di Johor ditukar kepada hari Jumaat dan Sabtu mulai 1 Jan lepas atas titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim.
Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled berkata kerajaan negeri sedang
melihat potensi daerah Segamat untuk dibangunkan sebagai hab dalam
bidang pertanian dan industri asas tani.
"Untuk merealisasikan rancangan ini, kita akan minta Kementerian
Pertanian dan Industri Asas Tani untuk menyediakan pelan induk
mengenainya," katanya.
Beliau juga berkata kerajaan negeri sudah memberikan bantuan bernilai
RM11.2 juta kepada 2,558 usahawan menerusi Program Galakan Usahawan
sejak tahun 2002 hingga 2011.
Katanya, seramai 40 usahawan telah mencapai tahap pendapatan melebihi
RM250,000 setahun dan selaras pencapaian itu, kerajaan negeri bersetuju
untuk menambah sebanyak RM1 juta tahun ini bagi program galakan
berkenaan. - Bernama
SUMBER: SINAR HARIAN, 05 APRIL 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan