PENGUNJUNG SETIA

06 April 2014

TINGKATKAN RISIKAN ESSCOM

LEDANG 5 April - Kabinet sudah mengarahkan pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) meningkatkan risikan dan maklumat awam bagi memastikan keselamatan di negeri itu diperketat dan dipertingkatkan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tahap kesiapsiagaan di kawasan berkenaan akan dipertingkat dalam semua aspek dengan meneliti langkah-langkah yang perlu diambil selepas ini berdasarkan semua aset dan kemampuan pihak Esscom.

“Kita sedar memang ada kumpulan penculik dan mesyuarat Kabinet semalam telah putuskan supaya kita teliti struktur command yang ada di Esscom sebab di situ ada agensi seperti tentera, polis dan pegawai awam yang terlibat.

“Di samping itu apa aset yang disediakan sama ada alatan-alatan ketenteraan, kawalan bot, helikopter, ini juga akan kita teliti. Jadi, kita telah putuskan supaya Esscom memberi taklimat dalam mesyuarat akan datang dan dari situ kita akan dapat laporan terkini apa yang perlu dilakukan," katanya mengulas perkembangan terkini kes penculikan seorang pelajar China dari Shanghai, Gao Hua Yun, 29, dan seorang pekerja Filipina yang berusia dalam lingkungan 40-an di Resort Singamata, Semporna, Sabah pada Rabu lalu.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Pendidikan Islam Sepanjang Hayat di Kolej Komuniti Ledang di sini hari ini.


SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 06 APRIL 2014

Tiada ulasan: