PENGUNJUNG SETIA

29 April 2014

KPDNKK RAMPAS LORI, DIESEL SUBSIDI

Oleh Zulhisham Isahak

MD Arifin Baharin (kiri) menunjukkan sebuah lori dipercayai menyimpan 300 liter diesel subsidi yang ditahan dan dirampas oleh PPDNKK di Bukit Gambir, Ledang, Johor, semalam.

MUAR 28 April - Taktik satu sindiket menjual diesel bersubsidi dengan menggunakan lori membawa air batu berjaya dibongkar selepas kenderaan itu ditahan untuk pemeriksaan oleh sepasukan polis di sebuah stesen minyak di pekan Bukit Gambir, Ledang dekat sini, semalam.

Lori tersebut ditahan kira-kira pukul 6.30 petang selepas pemandunya yang berusia 27 tahun dilihat berkelakuan mencurigakan sebelum diserahkan kepada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) untuk pemeriksaan lanjut.

Ketua PPDNKK daerah, Md. Arifin Baharin berkata, hasil pemeriksaan ke atas lori itu mendapati terdapat 300 liter diesel bersubsidi bernilai RM600 disimpan di dalam tangkinya yang telah diubah suai.

"Kita juga mendapati tangki yang telah diubah suai itu boleh memuatkan 1,000 liter diesel," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Menurut Md. Arifin, pihaknya percaya, pemandu lori tersebut akan berhenti di beberapa stesen minyak untuk mengisi diesel bagi mengaburi pihak berkuasa.

Ujarnya, minyak tersebut kemungkinan akan diedarkan kepada pengusaha kilang sekitar daerah ini dan dijual pada harga yang lebih tinggi berbanding harga pasaran semasa.

"Keseluruhan rampasan termasuk lori dan minyak diesel dianggarkan bernilai lebih RM20,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 atau penjara tiga tahun," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 29 APRIL 2014

Tiada ulasan: