SAIPOLBAHARI SUIB (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada sekumpulan penerima
dalam majlis Penyampaian Wang Zakat Nafas Kepada Pertubuhan Peladang
Kebangsaan (PPK) seluruh Johor serta Penyampaian Duit Raya Kepada
Anak-anak Yatim dan Orang Kurang Upaya di Kmall, Tanjung Agas, Ledang,
Johor, semalam.
LEDANG 13 Julai - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) akan menubuhkan
Universiti Agropolitan Malaysia (UAM) dalam tempoh lima tahun akan
datang untuk memperkasakan bidang pertanian berteknologi tinggi.
Pengerusi Nafas, Datuk Seri Saipolbahari
Suib berkata, penubuhan UAM yang bakal menjadi universiti kedua di
bawah pertubuhan itu mempunyai matlamat utama bagi meningkatkan
pengeluaran makanan dalam negara.
Menurut
beliau, kursus pengajian yang ditawarkan di universiti berkenaan nanti
ialah berkaitan bidang pertanian seperti kejuruteraan pertanian,
veterinar, perniagaan dan perakaunan.
“UAM
akan mempunyai 600 penyelidik dan 100 ahli akademik bertaraf ijazah
doktor falsafah (PhD) manakala subjek ditawarkan lebih bersifat
praktikal. Ini melonjakkan lagi pencapaian transformasi Nafas dalam
aspek pembangunan modal insan.
“Tumpuan juga
untuk melatih penuntut menjadi usahawan pertanian dengan daya usaha
sendiri,” katanya dalam sidang akhbar selepas Penyampaian Wang Zakat
Nafas Kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (PPK) seluruh Johor serta
Penyampaian Duit Raya Kepada Anak-Anak Yatim dan Orang Kurang Upaya, di
sini semalam.
Saipolbahri berkata, keutamaan
UAM adalah meningkatkan inovasi bidang pertanian kerana sektor itu kini
bukan lagi seperti dahulu yang banyak tertumpu dalam ladang sebaliknya
menjurus kepada pertanian berteknologi tinggi.
Mengenai
Universiti Nafas, Saipolbahari yang juga Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah
Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) berkata, institusi pendidikan
itu mula dibuka di Kota Damansara, Petaling Jaya pada 2 Jun lalu.
“Pengambilan
kumpulan pertama pelajar pada sesi Jun lalu dengan seramai 98 orang dan
kita menyasarkan kemasukan 400 lagi pelajar pada September depan. Pada
awalnya Universiti Nafas mahu ditubuhkan di Batu 13, Bakri, Muar tetapi
ditangguhkan.
“Kita masih menunggu keputusan
kerajaan negeri untuk menukar status tanah di kawasan itu daripada
pertanian kepada institusi pengajian tinggi. Disebabkan tidak mahu
transformasi dilakukan ini terjejas, maka operasinya diteruskan dengan
membeli bangunan RM60 juta di Kota Damansara sebagai pusat akademik dan
pentadbiran,” katanya.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 14 JULAI 2015