Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, jumlah anak pokok itu mengatasi rekod yang diiktiraf MBOR di Dungun, Terengganu yang menanam 1,500 pokok pada 2013.

Menurutnya, anak pokok tersebut ditanam oleh masyarakat daerah itu di atas tanah seluas 12.14 hektar di Kampung Parit Kasan, Bukit Gambir; Kampung Pulau Penarik, Sungai Mati dan Bandar Baharu Tangkak.

“Jumlah itu menjadikan pokok yang ditanam di seluruh negara kini mencapai 42 juta pokok selaras komitmen kerajaan untuk mengekalkan sekurang-kurang­nya 50 peratus keluasan tanah negara dilitupi pokok dan kawasan berhutan.

“Selain menyemai sikap keprihatinan masyarakat terhadap alam sekitar, program ini juga bertujuan mengajak orang ramai bersama-sama memelihara dan memulihara eko-sistem,” katanya dalam sidang akhbar selepas me­rasmikan Program Tanam Pokok Mega Parlimen Ledang di Kampung Parit Kasan, Bukit Gambir, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd. Razak Minhat; ADUN Gambir, Datuk M. Asojan dan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Datuk Dr. Abd. Latif Mohmod.

Dalam majlis itu, Pegawai MBOR, Nurasyikin Ramli mengumumkan pengiktirafan tersebut serta menyampaikan sijil ber­kenaan kepada Hamim yang juga Ahli Parlimen Ledang.

Tambah Hamim, pokok karas yang ditanam hasil usaha sama Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Ledang dan kementeriannya itu boleh menjadi teduhan kepada pengunjung taman rekreasi dan menambah nilai kekayaan ekologi.

“Saya berharap setiap individu yang menanam pokok tersebut serta kerajaan tempatan dapat meneruskan usaha menjaga dan melindungi agar pokok itu terus hidup hingga ia membesar,” katanya.

Sementara itu, Hamim pada masa sama turut melancarkan buku Gunung Ledang Malaysia, Flora Puncak Tertinggi Paling Selatan Asia yang mendokumentasikan keindahan flora Gunung Ledang serta memperkenalkan logo Love Ledang Tangkak.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA|01JANUARI2017 
#ledangtangkakluarbiasa #loveledangtangkak