PENGUNJUNG SETIA

30 Ogos 2023

PERTANDINGAN RUMAH CERIA MERDEKA SEMARAKKAN SAMBUTAN AMBANG MERDEKA 2023 KAMPUNG PARIT KASSAN

Antara rumah yang menyertai pertandingan Rumah Ceria Merdeka 2023 bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan ke-66 di Kampung Parit Kassan dekat Bukit Gambir.

TANGKAK:
Bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan ke-66, Jawatankuasa Sambutan Ambang Merdeka 2023 Peringkat Kampung Parit Kassan mengadakan pertandingan Rumah Ceria Merdeka 2023.

Pengerusi sambutan, Mohamad Farhan Mohd Janis berkata, pertandingan itu diadakan bertujuan untuk menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan penduduk kampung sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Katanya, pertandingan menghias rumah itu terbahagi kepada dua kategori iaitu Rumahku Ceria Merdeka untuk penilaian sebelah siang manakala Rumahku Warna-warni Merdeka pula dihakimi pada sebelah malam.

Mohamad Farhan Mohd Janis

"Sebanyak 18 penyertaan diterima daripada kalangan penduduk Kampung Parit Kassan yang begitu bersemangat membuat hiasan dengan memasang bendera Jalur Gemilang dan Johor ditambah pelbagai idea kreatif masing-masing selaras dengan tema tahun ini Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan.

“Penganjuran pertandingan ini bukan bermatlamatkan hadiah semata-mata tetapi untuk menggalakkan masyarakat mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang Bulan Kemerdekaan," katanya ketika ditemui di Kampung Parit Kassan dekat Bukit Gambir, di sini.

Acara pertandingan masakan dan gubahan yang diadakan sempena program Ambang Merdeka 2023 Peringkat Kampung Parit Kassan

Mohamad Farhan berkata selain pertandingan Rumah Ceria Merdeka, pihaknya juga menganjurkan pelbagai aktiviti pertandingan untuk disertai masyarakat kampung pelbagai peringkat umur termasuk menjala, gubahan masakan, basikal berhias dan sukaneka.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Supt Roslan Mohd Talib (tengah) menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan yang dianjurkan.

Katanya, aktiviti pertandingan tersebut diadakan di Laman 3 Segi Komuniti Parit Kassan pada petang 30 Ogos sehinggalah menjelang detik 12 tengah malam 31 Ogos di mana penduduk kampung akan menyambutnya beramai-ramai.

Pelancaran aktiviti menjala dan sukaneka telah disempurnakan oleh Ketua Polis Daerah Tangkak, Supt Roslan Mohd Talib dengan gimik menebar jala. Beliau turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang pelbagai kategori bagi acara yang dijalankan pada sebelah petang.

Ahli Dewan Undangan Negeri Gambir, Sahrihan Jani (tiga dari kiri) menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada pemenang sempena Malam Ambang Merdeka 2023.

Pada sebelah malam pula diadakan pertandingan karaoke dan acara kerusi berirama. Kemeriahan sambutan detik 12 malam 31 Ogos turut disambut bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Gambir, YB Sahrihan Jani yang turut menyanyikan beberapa lagu patriotik sambil mengibarkan bendera Jalur Gemilang. -INFOLEDANG

25 Ogos 2023

KONVOI KEMBARA JALUR GEMILANG DAERAH TANGKAK SINGGAH DI LAMAN 3 SEGI KOMUNITI PARIT KASSAN

 
PENDUDUK Kampung Parit Kassan, Bukit Gambir bergambar ramai bersama peserta Konvoi Kembara Kibar Jalur Gemilang Daerah Tangkak terdiri daripada ketua-ketua jabatan ketika singgah di Laman 3 Segi Komuniti Parit Kassan, Tangkak, Johor baru-baru ini. Pelancaran dan pelepasan konvoi disempurnakan oleh Pegawai Daerah Tangkak, Azman Haji Mohamed Shah.-INFOLEDANG

20 Ogos 2023

TINTA KARYA LANCAR TIGA BUKU BAHARU

Ahli Dewan Undangan Negeri Gambir, Sahrihan Jani (duduk 3 dari kanan) dan Pengerusi Tinta Karya, Datuk Ab Ghafar Nin (duduk 4 dari kiri) bergambar ramai selepas majlis Pelancaran Buku dan Kibar Jalur Gemilang di Perbadanan Perpustakaan Awam Johor Cawangan Bukit Gambir dekat Tangkak, Johor, baru-baru ini.

TANGKAK: Persatuan Pengkarya Dan Pencinta Seni Tinta Karya Tangkak (Tinta Karya) melancarkan tiga buah buku terbitan persatuan itu yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Gambir, Sahrihan Jani di Perbadanan Perpustakaan Awam Johor Cawangan Bukit Gambir, baru-baru ini.

Tiga buah buku yang dilancarkan itu ialah Antologi Pantun: Sesejuk Rimba Ledang; Antologi Puisi Kemerdekaan: Teguh Bersama dan Antologi Puisi Khas Amazing Tangkak: Tangkak Di Hati.

Sahrihan dalam ucapan perasmian berkata para penulis yang terlibat dalam penerbitan buku tersebut tidak jemu mencanai idea, mencari dan menulis saban waktu terluang biarpun kebanyakannya sudah berusia.

Katanya, mereka merupakan pejuang kental seni yang bersemangat menggarap karya dalam bentuk penulisan untuk manfaat khalayak pembaca serta menyumbang sesuatu kepada negara.

“Generasi muda khususnya golongan pelajar wajar mencontohi semangat para penulis ini untuk terus berjaya dalam dunia seni malah dalam bidang yang akan diceburi satu hari nanti,” katanya pada majlis itu yang turut dihadiri Pengerusi Tinta Karya, Datuk Ab Ghafar Nin; Penasihat Tinta Karya, Prof Madya Dr Zaleha Kassim; 22 pelajar Tingkatan Enam SMK Bukit Gambir bersama guru pengiring mereka.

Pada majlis itu turut diadakan sambutan kibar Jalur Gemilang sempena kemerdekaan ke-66 dan Baca Puisi Santai oleh ahli Tinta Karya, guru dan pelajar yang hadir. Dr Zaleha turut memberikan penerangan mengenai inovasi teknologi pertanian Akuatani - Sistem Menegak Tanpa Tanah.-INFOLEDANG

 

16 Ogos 2023

40 PEKEBUN SAWIT TANGKAK LAWAT KILANG PEMPROSESAN MINYAK SAWIT

Seramai 40 orang pekebun kecil kelapa sawit daerah Tangkak bergambar ramai dalam lawatan ke Kilang Sawit Dan Penapisan Minyak Sawit Keck Seng (M) Berhad di Masai, Johor, baru-baru ini.

TANGKAK: Seramai 40 orang pekebun kecil kelapa sawit daerah Tangkak menyertai lawatan ke Kilang Sawit dan Penapisan Minyak Sawit Keck Seng (M) Berhad di Masai, Johor, baru-baru ini.

Lawatan sehari itu diketuai Ketua Pejabat MPOB Cawangan Tangkak, Razman Roslan bersama Pegawai TUNAS yang menjaga Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) di lima mukim dalam daerah itu.

Peserta yang menyertai lawatan itu terdiri daripada pekebun kecil kelapa sawit yang telah mempunyai Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Dalam lawatan itu,peserta diberikan penerangan oleh pentadbiran Kilang Sawit Keck Seng (M) Berhad mengenai kepentingan pensijilan MSPO dimiliki oleh pekebun kecil sawit yang berhubungkait dengan minyak sawit yang diproses untuk pasaran ke luar negara.

Peserta juga diberi penerangan mengenai pemprosesan buah kelapa sawit dari awal penerimaan sehingga proses menjadi minyak sawit mentah untuk kegunaan pelbagai industri.

Dalam lawatan itu peserta diberi peluang meninjau sendiri  proses pengilangan minyak sawit di kilang pemprosesan dan penapisan minyak sawit tersebut.

Pensijilan MSPO oleh pekebun kecil akan menjamin peningkatan produktiviti dan kualiti hasilbuah sawit dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan pendapatan mereka.

Lawatan tersebut sedikit sebanyak dapat mendedahkan kepada peserta bagaimana buah kelapa sawit diproses bukan sahaja untuk mendapatkan minyak sawit tetapi bahan-bahan lain yang boleh digunakan melalui proses tertentu.-INFOLEDANG