Menterinya, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, selepas menerima rawatan dan dikuarantin di Hospital Miri, hasil pemeriksaan menunjukkan wanita itu tidak mempunyai simptom virus tersebut dan pulang ke negara asal.

“Dia dimasukkan ke Hospital Miri semalam selepas demam lebih 20 hari. Saya mengesahkan ini bukan kes Mers-Cov dan dia dikaitkan dengan penyakit itu kerana menghidap demam selepas pulang daripada menunaikan ibadah umrah.

“Bagaimanapun, kita sudah meminta Hospital Miri menyemak semula data dan rekod perubatan wanita itu supaya beliau benar-benar bebas MERS-Cov,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penutup Sukan India Malaysia (Sukim) Peringkat Kebangsaan 2015 di Kolej Kemahiran Tinggi Mara Ledang, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, Datuk M. Asojan yang juga Pengerusi Sukim 2015; ADUN Serom, Abd. Razak Minhat dan Pengerusi Yayasan Sukan dan Kebudayaan India Malaysia (MISCF), Datuk T. Mohan.

Beliau mengulas tindakan wanita itu yang didakwa melarikan diri semasa dikuarantin di Hospital Miri untuk mendapatkan sampel kahaknya selepas disyaki dijangkiti MERS-Cov sebelum keluarganya datang membawanya keluar semalam.

MERS-CoV adalah penyakit sindrom pernafasan berpunca daripada jangkitan virus Corona yang mudah tersebar melalui udara dan menyerang sistem saluran pernafasan, termasuk paru-paru dan gejalanya adalah demam, batuk serta sukar bernafas.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mula mengesan penyakit itu pada 26 September 2012 di Arab Saudi, selepas kes pertama dikenal pasti di Jordan dan setakat ini semua kes yang dikesan didapati ada hubung kait dengan negara-negara semenanjung Arab.

Menurut Subramaniam, tidak semua yang baru balik daripada mengerjakan umrah akan mendapat MERS-Cov tetapi pihak kementerian akan melakukan pemeriksaan terhadap mereka yang balik daripada menunaikan ibadah tersebut.

Mengenai perkembangan penyakit itu di Korea Selatan yang semakin membimbangkan, beliau berkata, kerajaan melakukan saringan kesihatan kepada setiap pelancong yang memasuki negara ini untuk mengelakkan MERS-Cov daripada merebak.

“Kita juga menasihati rakyat menangguhkan hasrat untuk pergi bercuti ke Korea Selatan buat sementara waktu meskipun keadaan penyakit tersebut di negara itu masih terkawal dan sudah mencatatkan penurunan,” katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 15 JUN 2015