PENGUNJUNG SETIA

26 Jun 2015

PENIAGA BAZAR DIMINTA JAGA KUALITI, KEBERSIHAN

ZULHISHAM ISAHAK

HAMIM SAMURI menyampaikan hadiah kepada Maria Johari yang menjadi johan pertandingan gerai bersih di Bazar Ramadan Tangkak di Jalan Naib Long, Ledang, kelmarin.

LEDANG 25 Jun - Seramai 204 peniaga di empat bazar Ramadan daerah ini di bawah kendalian Majlis Daerah Tangkak (MDT) diingatkan agar sentiasa menjaga kualiti, kebersihan dan keselamatan makanan yang dijual kepada orang ramai ke­rana pihak berkuasa tersebut sentiasa melakukan pemantauan.
 
Yang Dipertuanya, Mohd. Masni Wakiman berkata, bagi mengga­lakkan peniaga di bazar Ramadan terbabit mementingkan aspek kebersihan dan keceriaan, MDT meng­adakan pertandingan gerai bersih untuk tahun yang ketiga di setiap tapak bazar.
 
“Penilaian dilakukan panel daripada Pejabat Kesihatan Daerah dan MDT untuk mendapatkan gerai terbersih. Kriteria yang diguna pakai adalah kualiti dan keselamatan makanan, kebersihan pengendali makanan, kebersihan selain kesopanan peniaga serta keceriaan dan kekemasan.
 
“Kita akan membuat penambahbaikan agar semua peniaga yang berniaga di bazar Ramadan mencapai tahap kebersihan yang boleh dibanggakan,” katanya ditemui dalam Maj­lis Penyampaian Hadiah Kepada Pemenang Pertandingan Gerai Bersih di Bazar Ramadan Tangkak di Jalan Naib Long semalam.
 
Hadiah disampaikan Ahli Parlimen Ledang, Datuk Ir. Hamim Samuri yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
 
Yang turut hadir, Setiausaha MDT, Nazri Izuddin Madon; Ketua WHIP MDT, Zakaria Othman dan Pegawai Kesihatan Daerah Ledang, Dr. Zaharah Mohd. Salleh.
 
Kesemua 204 lot perniagaan bazar Ramadan di daerah ini terdiri dari 56 lot niaga disediakan di Bazar Ramadan Tangkak manakala di Bazar Ramadan Bukit Gambir (48), Serom (30) dan Tanjung Agas (70).
 
Menurut Mohd. Masni, pemilihan tiga buah gerai bersih dilakukan di setiap bazar Ramadan di bawah kelolaan MDT dalam usaha memberi kesedaran kepada para peniaga yang perlu mementingkan aspek kebersihan makanan, gerai dan diri.
 
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 26 JUN 2015

Tiada ulasan: