PENGUNJUNG SETIA

20 Julai 2023

ASAM PEDAS KAK FYDA TAMBAT SELERA

 HAFIDAH menunjukkan seleksi asam pedas dan lauk-pauk kampung yang ditawarkan di warungnya di Kampung Sagil Parit 2, Tangkak, Johor.

Oleh SITI SARAH NURUL LIYANA
20 Julai 2023, 9:17 am

KESEGARAN ikan jenahak jelas terasa saat menjamahnya bersama kuah asam pedas yang pekat.

Gabungan rempah yang dikisar dalam kuah masakan kampung itu menerbitkan kesimbangan rasa pedas dan masam.

Masakan asam pedas itu menjadi bertambah lengkap dan enak apabila dimakan bersama nasi putih, telur masin dan sayur atau ulam.

Set makanan itu merupakan antara pilihan makanan paling laris yang boleh didapati di warung Asam Pedas Kak Fyda, Kampung Sagil Parit 2, Tangkak, Johor.

Selain ikan jenahak, warung tersebut turut menawarkan asam pedas ikan pari, merah, mayung, sembilang, parang, kembung dan cencaru.

Menurut pemilik kedai, Hafidah Kamarodin, 35, aneka ikan segar yang dimasak di gerainya diambil dari Kampung Parit Jawa, Muar.

“Ayah saya merupakan seorang nelayan laut di sekitar Parit Jawa.

“Di situlah, saya mendapat bekalan ikan laut segar untuk menampung permintaan pelanggan.

“Kesegaran ikan adalah keutamaan saya kerana ia merupakan penyumbang terbesar kepada keenakan asam pedas kami.

“Oleh itu, kami akan membawa ikan segar dari Parit Jawa ke sini (Sagil, Tangkak) setiap dua kali sehari,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Menurutnya, inspirasi untuk membuka warung tersebut bermula pada 2019 setelah perniagaan ‘masakan dari rumah’ yang diusahakan sejak 2015 mendapat sambutan.

Sokongan daripada keluarga dan sahabat membuatkan Hafidah yakin untuk membuka warung yang menyediakan juadah dalam skala lebih besar.

Sejak itu, Hafidah dan suami, Arifudin Wagiman, 43, membuka warung di hadapan rumah mereka dengan mengetengahkan resepi ibunya sendiri.

Selain asam pedas, warung tersebut turut menyediakan masakan kampung seperti ayam goreng berempah, ikan masin pekasam dan aneka sayur-sayuran.

Lebih unik, pelanggan juga boleh mencuba juadah berasaskan siput sedut dan belangkas yang turut mendapat permintaan tinggi di warungnya.

HAFIDAH (tiga dari kanan) bergambar bersama tenaga kerja di warung Asam Pedas Kak Fyda.

“Kebiasaannya, kami akan masak siput sedut dan belangkas dengan gulai masak lemak cili api.

“Tetapi, pelanggan boleh buat permintaan awal sekiranya mahu dimasak sambal atau asam pedas.

“Disebabkan belangkas adalah makanan bermusim, saya sarankan pelanggan menghubungi kami dahulu untuk tahu tentang stok makanan ini sebelum datang,” ujarnya.

Bagi seleksi minuman pula, para pe­langgan di gerai tersebut gemar memesan air soda herbs, strawberi herb serta asam boi.

Untuk pencuci mulut pula, warung itu menyediakan tapai pulut, tapai ubi, pulut mangga serta kudapan seperti kuih-muih tradisional.

SUMBER: KOSMO! ONLINE