PENGUNJUNG SETIA

16 Oktober 2015

MUDIR TOKOH MAAL HIJRAH LEDANG

ZULHISHAM ISAHAK

HAMIM SAMURI (kiri) menyaksikan Ab. Han Ramin (tengah) menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah Tahun 1437 peringkat daerah kepada Muhammad Ismail sempena Malam Cinta Allah dan Rasul Sempena Program Membara Malam Ambang Maal Hijrah di Ledang, Tangkak, Johor, malam semalam.
 
LEDANG 15 Okt. - Sumbangan seorang mudir Sekolah Menengah Agama (SMA) Darul Ulum, Serom 4, dekat sini mendapat penghargaan apabila dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Tahun 1437 peringkat daerah.
Muhammad Ismail, 69, menerima anugerah itu atas komitmennya yang tinggi dalam mendalami ilmu pengajian Islam hingga berjaya mendapat Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dan Pengurusan di Open University Malaysia Melaka pada 2014.
 
Anugerah tersebut juga berdasarkan ketokohan bapa kepada sembilan anak itu yang turut melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan di tempatnya apabila dilantik sebagai Imam Masjid Jamek Parit Bunga, Guru Takmir dan Naib Kadi daerah.
 
Beliau menerima anugerah itu pada Malam Cinta Allah dan Rasul Sempena Program Membara Malam Ambang Maal Hijrah 1437H Pe­ringkat Daerah di Dataran Ledang, Tangkak di sini malam tadi.
 
Program itu dirasmikan Pegawai Daerah, Ab. Han Ramin yang turut dihadiri Ahli Parlimen Ledang, Datuk Ir. Hamim Samuri; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd. Razak Minhat dan Kadi Daerah Ledang, Mohd. Zaini Mohd. Salleh.
 
Manakala Anugerah Khas Saudara Kita pula, Nafsiah Abdullah, 58, dari Felda Sri Jaya, Bukit Serampang dipilih yang memeluk agama Islam pada tahun 1975 di Pejabat Kadi Daerah Muar.
 
Nafsiah berkata, ibu bapanya beragama Kristian tetapi dia dipelihara sebuah keluarga angkat Melayu sejak kecil dan apabila usianya 18 tahun dengan rela hati telah memeluk agama Islam.
 
“Saya mengikuti pelbagai kursus pemahaman agama dan pemantapan akidah yang dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) bertujuan mendalami Islam,” kata ibu kepada enam anak yang juga memiliki Sijil Darjah Khas Agama (SDKA) Sekolah Agama Kerajaan Johor.
 
Anugerah Khas Orang Asli diberikan kepada Niya Ng Abdullah, 21, dari Kampung Orang Asli Tanah Gembur, Tangkak yang memeluk agama Islam pada Disember 2013 di Kompleks Darul Huda, Melaka.
 
Suaminya, Abdul Rauf Asah dari Kampung Orang Asli Machap Umboo, Melaka menerima anugerah itu mewakili Niya Ng yang kini mempunyai seorang anak perem­puan berusia dua tahun.
 
Niya anak kepada seorang peniaga berbangsa Cina dan ibunya yang keturunan Orang Asli dari Tanah Gembur sentiasa memberikan komitmen berterusan sejak dia memeluk Islam dengan mengikuti program JAIJ.
 
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 16 OKTOBER 2015

01 September 2015

PEJABAT TANAH LEDANG JOHAN KESELURUHAN

Kontinjen Pejabat Tanah Ledang gembira selepas dinobatkan johan keseluruhan pertandingan sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2015 Peringkat Daerah Ledang.
 
LEDANG 31 Ogos – Busana baju Melayu biru dan baju kurung menjadikan Kontinjen Pejabat Tanah Daerah Ledang muncul johan ke­seluruhan pertandingan sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2015 Peringkat Ledang di Dataran Ledang di sini hari ini.
Mereka berjaya menarik perhatian juri apabila turut memenangi pertandingan pakaian terbaik ka­tegori jabatan kerajaan namun terpaksa berpuas hati di tempat kedua dalam pertandingan perbarisan yang dimenangi kontinjen Jabatan Sukarelawan Rakyat (Rela) Daerah Ledang.
 
Pertandingan perbarisan ka­tegori Jawatankuasa Penyelarasan Mukim-mukim (JPMM) pula, kontinjen JPMM Bukit Serampang menjadi johan diikuti JPMM Serom (tempat kedua) dan JPMM Gambir (tempat ketiga) manakala kategori institusi pendidikan dimenangi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Gambir.
 
Kontinjen Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Parit Pulai muncul johan perbarisan kategori Kontinjen Rak­yat Didahulukan menewaskan kontinjen JKKK Sengkang Batu 22 dan JKKK Konggo/Sagil Parit 1.
 
JPMM Bukit Serampang turut merangkul johan pertandingan pakaian terbaik kategori JPMM manakala kontinjen SMK Bukit Gambir (institusi pendidikan), HELWA Ledang (badan berkanun/Pertubuhan Bukan Kerajaan), JKKK Parit Pulai (Rakyat Didahulukan) dan Tabika Kemas Ledang (Pewaris Merdeka) menjadi johan untuk ka­tegori masing-masing.
 
Bagi pertandingan sepanduk terbaik, SMK Pesisiran Perdana, Tanjung Agas muncul juara diikuti Kolej Komuniti Ledang dan Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Ledang masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
 
Majlis Daerah Tangkak (MDT) turut menganjurkan pertandingan kibaran Jalur Gemilang, pencahayaan dan halaman indah bagi tiga kategori iaitu bangunan kerajaan, institusi pendidikan dan kediaman bertujuan untuk me­nunjukkan semangat kecintaan kepada negara dalam kalangan rak­yat Malaysia.
 
Johan bagi kategori bangunan kerajaan disandang Pejabat Daerah Ledang manakala kategori institusi pendidikan dimenangi Sekolah Kebangsaan Bandar Tangkak dan rumah Nor Mohammad Mohd. Nor bagi kategori kediaman.
 
Terdahulu, sambutan hari kebangsaan dimulakan dengan acara perbarisan disertai 64 kontinjen dengan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Mohamed menerima tabik hormat kontinjen yang membuat lintasan di pentas kenamaan di Jalan Payamas, di sini.
 
Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd. Razak Minhat dan ADUN Gambir, Datuk M.Asojan; Pegawai Daerah Ledang, Ab. Han Ramin dan Pentadbir Tanah Daerah Ledang, Shafiei Ahamad.
 
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 01 SEPTEMBER 2015

16 Ogos 2015

SEROM MTB JAMBOREE PERKENAL LEDANG

 Peserta Serom MTB Jamboree mengambil air minuman.
 
Datuk Ir Hamim Samuri (belakang tiga kanan) bergambar bersama pemenang Serom MTB Jamboree di Kolej Kemahiran MARA Ledang.
 
Oleh Hai Rozzaman Jalal
metaahad@hmetro.com.my


Persekitaran Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Ledang, Johor gamat dengan kehadiran 870 peminat sukan basikal lasak (MTB) dari dalam dan luar negara bagi menyertai Serom MTB Jamboree 2015, baru-baru ini.
 
Kayuhan anjuran Pejabat Daerah Ledang dengan kerjasama Gerakan Belia 4B Kawasan Ledang, KKTM Ledang, CAYO Cycling Team dan Persatuan Warisan Seni Ledang (PEWANIL), adalah sempena Hari Kemahkotaan Sultan Johor Sultan Ibrahim baru-baru ini.
 
Julung kali dianjurkan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Serom, antara lain kayuhan bertujuan memperkenalkan daerah Ledang sebagai daerah pelancongan sekali gus dapat meningkatkan ekonomi penduduk setempat.
 
Setiausaha program, Mokhtar Daud berkata, tidak ramai yang mengetahui mengenai Ledang yang sebenarnya kaya dengan keindahan alam semula jadi yang sesuai untuk pelbagai aktiviti termasuk berbasikal.
 
“Penganjuran Serom MTB Jamboree dapat merangsang minat masyarakat khususnya golongan muda menyahut cabaran aktiviti sukan basikal lasak merentas kampung, ladang sawit, paya dan kawasan berbukit.
 
“Menerusi kayuhan ini, peserta berkayuh sejauh 37 kilometer melalui 30 peratus trek ‘on road’ dan 70 peratus ‘off road’. Paling membanggakan kerana kayuhan ini turut disertai peserta luar negara dari Singapura, Filipina, Sweden dan Amerika Syarikat,” katanya.
 
Bermula seawal jam 8.30 pagi, pelepasan dilakukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd Razak Minhat bersama Pengarah KKTM Ledang, Mahzan Teh.
 
Berakhir kira-kira jam 12.30 tengah hari, penyampaian hadiah disempurnakan Ahli Parlimen Ledang, Datuk Ir Hamim Samuri.
 
Mokhtar berkata, sempena penganjuran Serom MTB Jamboree, turut diadakan program berjalan 10,000 langkah yang dikendalikan Pejabat Kesihatan Daerah Ledang dan taklimat keselamatan jalan raya oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).
 
Sementara itu, Hamim amat berpuas hati dengan penganjuran Serom MTB Jamboree itu dan berharap ia dapat dijadikan acara tahunan dengan penambahan nilai hadiah yang lebih besar kepada pemenang.
Katanya, penganjuran program itu dapat memberikan impak yang baik terhadap usaha menjadikan daerah Ledang sebagai destinasi pelancongan di samping menjana ekonomi tambahan kepada pengusaha inap desa dan penginapan di sekitar Serom dan Bukit Gambir.
 
“Penganjuran Serom MTB Jamboree ini dapat merancakkan lagi usaha mempromosi pelbagai destinasi dan produk pelancongan yang terdapat di daerah ini kepada peserta yang terlibat dengan jambori itu yang datang dari dalam dan luar negara.
 
“Paling utama, kita mahu orang tahu bahawa di Serom juga ada tempat terbaik untuk acara berbasikal yang menjanjikan pe­ngalaman kayuhan yang menarik,” katanya.
 
Dalam kayuhan ini, sebanyak empat kategori dipertandingkan iaitu Terbuka Lelaki, Master Lelaki, Veteran dan Terbuka Wanita.
 
Peserta, Mohd Farouk dari Format Malaysia Team mengungguli kategori Terbuka Lelaki apabila dengan catatan masa 1 jam 26 minit. Mohd Farouk membawa pulang hadiah wang tunai RM500 dan medal.
 
Pesaingnya, Mohd Razif Salleh (Endurance Team) di tempat kedua manakala Mohd Ikbar (Paddle Cycling Team) menduduki tempat ketiga dan masing-masing membawa pulang wang tunai RM300 dan RM100 serta medal.
 
Bagi kategori Master Lelaki, peserta dari Polygon Malaysia, Mohd Zukri Tahir muncul juara dan menggondol hadiah wang tunai RM500 beserta medal manakala Zamzi Mohd dari Endurance Team di tempat kedua (RM300 dan medal) sementara peserta individu Ong Kah Boon menduduki tempat ketiga (RM100 dan medal).
 
Peserta individu, Mohd Razli Ibrahim pula mengungguli kategori Veteran diikuti dua peserta dari Viking Team Singapore iaitu Morten Hansen (kedua) dan Lans Spangberg (ketiga) yang masing-masing menerima hadiah wang tunai dan medal.
 
Dalam kategori Wanita, peserta dari Cannondale Bike Team, Azian Alias muncul juara menewaskan Ainnurulhuda (Endurance Team) di tempat kedua dan Nur Shuhada (My Bikeshop Cycling Team) di tempat ketiga.
 
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/70635#sthash.4fR9carC.dpuf
SUMBER: METRO AHAD, 16 OGOS 2015

14 Julai 2015

NAFAS TUBUH UNIVERSITI AGROPOLITAN PADA 2020

SAIPOLBAHARI SUIB (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada sekumpulan penerima dalam majlis Penyampaian Wang Zakat Nafas Kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (PPK) seluruh Johor serta Penyampaian Duit Raya Kepada Anak-anak Yatim dan Orang Kurang Upaya di Kmall, Tanjung Agas, Ledang, Johor, semalam.

LEDANG 13 Julai - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) akan menubuhkan Universiti Agropolitan Malaysia (UAM) dalam tempoh lima tahun akan datang untuk memperkasakan bidang pertanian berteknologi tinggi. Pengerusi Nafas, Datuk Seri Saipolbahari Suib berkata, penubuhan UAM yang bakal menjadi universiti kedua di bawah pertubuhan itu mempunyai matlamat utama bagi meningkatkan pengeluaran makanan dalam negara.
 
Menurut beliau, kursus pengajian yang ditawarkan di universiti berkenaan nanti ialah berkaitan bidang pertanian seperti kejuruteraan pertanian, veterinar, perniagaan dan perakaunan.
 
“UAM akan mempunyai 600 penyelidik dan 100 ahli akademik bertaraf ijazah doktor falsafah (PhD) manakala subjek ditawarkan lebih bersifat praktikal. Ini melonjakkan lagi pencapaian transformasi Nafas dalam aspek pembangunan modal insan.
 
“Tumpuan juga untuk melatih penuntut menjadi usahawan pertanian dengan daya usaha sendiri,” katanya dalam sidang akhbar selepas Penyampaian Wang Zakat Nafas Kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (PPK) seluruh Johor serta Penyampaian Duit Raya Kepada Anak-Anak Yatim dan Orang Kurang Upaya, di sini semalam.
 
Saipolbahri berkata, keutamaan UAM adalah meningkatkan inovasi bidang pertanian kerana sektor itu kini bukan lagi seperti dahulu yang banyak tertumpu dalam ladang sebaliknya menjurus kepada pertanian berteknologi tinggi.
 
Mengenai Universiti Nafas, Saipolbahari yang juga Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) berkata, institusi pendidikan itu mula dibuka di Kota Damansara, Petaling Jaya pada 2 Jun lalu.
 
“Pengambilan kumpulan pertama pelajar pada sesi Jun lalu dengan seramai 98 orang dan kita menyasarkan kemasukan 400 lagi pelajar pada September depan. Pada awalnya Universiti Nafas mahu ditubuhkan di Batu 13, Bakri, Muar tetapi ditangguhkan.
 
“Kita masih menunggu keputusan kerajaan negeri untuk menukar status tanah di kawasan itu daripada pertanian kepada institusi pengajian tinggi. Disebabkan tidak mahu transformasi dilakukan ini terjejas, maka operasinya diteruskan dengan membeli bangunan RM60 juta di Kota Damansara sebagai pusat akademik dan pentadbiran,” katanya.
 
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 14 JULAI 2015

27 Jun 2015

USIA TIDAK HALANG TAWAN PUNCAK GUNUNG LEDANG

ABDUL RAUF MOHD. HAIRANI dan anaknya, Siti Syarifah merupakan antara 15 peserta yang berjaya menawan puncak Gunung Ledang di Ledang, Johor, baru-baru ini.
 
LEDANG 26 Jun – Usia tidak menghalang seorang guru lelaki berumur 53 tahun untuk menakluk puncak Gunung Ledang yang mempunyai ketinggian 1,276 meter dari aras laut bersama 14 rakannya di sini baru-baru ini.
 
Abdul Rauf Mohd. Hairani dari Parit Sawah, Kundang Ulu di sini berkata, stamina yang kuat membolehkannya menjejakkan kaki ke puncak dan kejayaan itu didorong minat dan semangat yang kental.
 
“Setiap pendaki terpaksa melalui pelbagai keadaan dan cabaran. Saya menjadikan aktiviti ini sebagai minat selain berpeluang melihat alam ciptaan Allah yang penuh dengan pelbagai keindahan dan dapat membina ketabahan dalam diri.
 
“Saya memegang prinsip iaitu bagaimana susah atau setinggi mana pun masalah, kita perlu berusaha sehingga berjaya. Semangat ini juga menjadi perangsang kepada anak bongsu saya yang turut serta mendaki hingga ke puncak Gunung Ledang,” katanya.
 
Program anjuran sekumpulan guru agama di daerah ini sempena cuti sekolah, disertai 15 peserta daripada pelbagai peringkat usia yang memulakan pendakian dari Taman Hutan Lagenda Gunung Ledang di Sagil, dekat sini.
 
Sementara itu, anaknya, Siti Syarifah Abdul Rauf, 14, yang me­rupakan peserta termuda, bersemangat apabila melihat kegigihan bapanya yang terpaksa ke puncak melalui pelbagai laluan mencabar walaupun sudah berusia.
 
“Saya bersemangat apabila melihat ayah begitu konsisten dalam pendakian. Saya bersyukur kerana ayah masih diberi kesihatan yang baik. Saya juga berpeluang melihat kepelbagaian flora dan fauna sepanjang pendakian,” katanya.
 
Setiausaha program itu, Siti Nor Azimah Saad berkata, aktiviti tersebut bertujuan memupuk semangat setiakawan dan menjadikan aktiviti berkenaan satu minat yang mencabar fizikal atau mental peserta.
 
Katanya, pendakian tersebut merupakan program kali kedua namun sekiranya diberikan kekuatan penganjurannya akan diteruskan dengan perancangan dan konsep yang berbeza.
 
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 27 JUN 2015

26 Jun 2015

PENIAGA BAZAR DIMINTA JAGA KUALITI, KEBERSIHAN

ZULHISHAM ISAHAK

HAMIM SAMURI menyampaikan hadiah kepada Maria Johari yang menjadi johan pertandingan gerai bersih di Bazar Ramadan Tangkak di Jalan Naib Long, Ledang, kelmarin.

LEDANG 25 Jun - Seramai 204 peniaga di empat bazar Ramadan daerah ini di bawah kendalian Majlis Daerah Tangkak (MDT) diingatkan agar sentiasa menjaga kualiti, kebersihan dan keselamatan makanan yang dijual kepada orang ramai ke­rana pihak berkuasa tersebut sentiasa melakukan pemantauan.
 
Yang Dipertuanya, Mohd. Masni Wakiman berkata, bagi mengga­lakkan peniaga di bazar Ramadan terbabit mementingkan aspek kebersihan dan keceriaan, MDT meng­adakan pertandingan gerai bersih untuk tahun yang ketiga di setiap tapak bazar.
 
“Penilaian dilakukan panel daripada Pejabat Kesihatan Daerah dan MDT untuk mendapatkan gerai terbersih. Kriteria yang diguna pakai adalah kualiti dan keselamatan makanan, kebersihan pengendali makanan, kebersihan selain kesopanan peniaga serta keceriaan dan kekemasan.
 
“Kita akan membuat penambahbaikan agar semua peniaga yang berniaga di bazar Ramadan mencapai tahap kebersihan yang boleh dibanggakan,” katanya ditemui dalam Maj­lis Penyampaian Hadiah Kepada Pemenang Pertandingan Gerai Bersih di Bazar Ramadan Tangkak di Jalan Naib Long semalam.
 
Hadiah disampaikan Ahli Parlimen Ledang, Datuk Ir. Hamim Samuri yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
 
Yang turut hadir, Setiausaha MDT, Nazri Izuddin Madon; Ketua WHIP MDT, Zakaria Othman dan Pegawai Kesihatan Daerah Ledang, Dr. Zaharah Mohd. Salleh.
 
Kesemua 204 lot perniagaan bazar Ramadan di daerah ini terdiri dari 56 lot niaga disediakan di Bazar Ramadan Tangkak manakala di Bazar Ramadan Bukit Gambir (48), Serom (30) dan Tanjung Agas (70).
 
Menurut Mohd. Masni, pemilihan tiga buah gerai bersih dilakukan di setiap bazar Ramadan di bawah kelolaan MDT dalam usaha memberi kesedaran kepada para peniaga yang perlu mementingkan aspek kebersihan makanan, gerai dan diri.
 
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 26 JUN 2015

23 Jun 2015

MAJLIS DAERAH TANGKAK SEDIA 204 LOT NIAGA BAZAR RAMADAN

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir Hamim Samuri (empat kiri) menyampaikan hadiah kepada johan pertandingan gerai bersih, Maria Johari di Bazar Ramadan Tangkak dekat Jalan Naib Long, Ledang. Foto: iNFOLEDANG
 
Ledang: Majlis Daerah Tangkak (MDT) menyediakan 204 lot niaga di empat tapak bazar Ramadan di daerah itu bagi memberi peluang peniaga makanan dan minuman menyediakan juadah berbuka puasa kepada orang ramai.

Yang Dipertuanya, Mohd Masni Wakiman, berkata sebanyak 56 lot niaga disediakan di Bazar Ramadan Tangkak manakala di Bazar Ramadan Bukit Gambir (48); Serom (30) dan Tanjung Agas (70).

Katanya, bagi menggalakkan peniaga di bazar Ramadan itu mementingkan aspek kebersihan dan keceriaan, MDT mengadakan pertandingan gerai bersih di setiap tapak bazar yang masuk tahun ketiga.

“Beberapa aspek diambil kira ketika penilaian dilakukan oleh panel yang terdiri daripada  Pejabat Kesihatan Daerah dan MDT sendiri untuk mendapatkan gerai terbersih.

“Antara aspek yang diambil kira ialah dari segi penyediaan makanan, kebersihan dan kekemasan gerai serta penampilan peniaga itu sendiri dengan pemakaian penutup kepala dan kekemasan diri.

“Kita akan membuat penambahbaikan dari tahun ke tahun agar semua peniaga yang berniaga di bazar Ramadan mencapai tahap kebersihan yang boleh dibanggakan,” katanya selepas mengiringi Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir Hamim Samuri menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan gerai bersih di Bazar Ramadan Tangkak di Jalan Naib Long, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha MDT, Nazri Izuddin Madon; Ketua WHIP MDT, Zakaria Othman dan Pegawai Kesihatan Daerah Ledang, Dr Zaharah Mohd Salleh.

Mohd Masni berkata, pemilihan tiga buah gerai bersih dilakukan di setiap bazar Ramadan di bawah kelolaan MDT dalam usaha memberi kesedaran kepada para peniaga yang perlu mementingkan aspek kebersihan makanan, gerai dan diri.

Dalam pertandingan gerai bersih untuk Bazar Ramadan Tangkak, gerai milik Maria Johari yang menjual pelbagai juadah berbuka puasa seperti nasi ayam, murtabak dan rojak petis dipilih sebagai johan.

Gerai NMR Catering milik Mohamad Nordin Mohd Raup yang menjual nasi beriani gam dipilih sebagai naib johan gerai bersih manakala gerai nasi lemak kukus milik K Mohd Hussin M Kattubana di tempat ketiga. -iNFOLEDANG

3,000 TERIMA SUMBANGAN UMNO BAHAGIAN LEDANG SEMPENA RAMADAN

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir Hamim Samuri (tengah) bertanya khabar dan menyampaikan sumbangan dalam lawatan ke Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan di Parit Bunga, Ledang. Foto: iNFOLEDANG
 
Ledang: UMNO Bahagian Ledang memperuntukan sejumlah RM450,000 sempena Ramadan tahun ini untuk memberi sumbangan kepada 3,000 penerima di bahagian berkenaan.

Ketuanya, Datuk Ir Hamim Samuri, berkata peruntukan yang diperoleh daripada pelbagai sumber menunjukkan peningkatan dari segi jumlahnya berbanding tahun lalu.

Katanya, dengan peningkatan itu, pengagihan kepada penerima dapat dilakukan secara lebih menyeluruh di setiap peringkat.

“Mereka terdiri daripada 2,800 penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) manakala selebihnya merupakan penerima bagi kes yang baru dikesan.

“Bantuan yang diberikan dalam bentuk wang tunai RM100 dan hamper barangan bernilai RM50 untuk meringankan beban mereka menyambut Ramadan,” katanya ketika ditemui dalam lawatan ke Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan dekat Parit Bunga, kelmarin.

Ahli Parlimen Ledang itu berkata, UMNO Bahagian itu sentiasa prihatin dengan keperitan hidup dilalui golongan kurang berkemampuan dan akan berusaha membantu mereka untuk meringankan beban dalam bentuk bantuan bersesuaian.

Katanya, beliau menggalakkan syarikat korporat untuk turut sama memberikan sumbangan agar lebih ramai golongan sasar dapat dibantu dan mendapat pembelaan sewajarnya.

“Sumbangan ini akan diberikan secara berperingkat di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dan diharap pemimpin setempat dapat memainkan peranan mengesan keluarga yang layak untuk dibantu.

“Kita mahu nasib rakyat di kawasan Parlimen Ledang sentiasa terbela daan tiada lagi yang terpinggir daripada menerima manfaat disediakan oleh kerajaan,” katanya. -iNFOLEDANG

15 Jun 2015

WANITA BRUNEI BEBAS MERS-COV

Menteri Kesihatan, Dr S Subramaniam ketika bercakap pada sidang media di Kolej Kemahiran Tinggi MARA Ledang. Foto: iNFOLEDANG


LEDANG 14 Jun - Kementerian Kesihatan hari ini menafikan seorang warga emas dari Brunei yang menerima rawatan di Hospital Miri, Sarawak semalam dijangkiti Sindrom Pernafasan Virus Korona Asia Barat (MERS-Cov) kerana dia hanya disyaki menerima jangkitan akibat demam sejurus pulang daripada mengerjakan umrah.
 
Menterinya, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, selepas menerima rawatan dan dikuarantin di Hospital Miri, hasil pemeriksaan menunjukkan wanita itu tidak mempunyai simptom virus tersebut dan pulang ke negara asal.

“Dia dimasukkan ke Hospital Miri semalam selepas demam lebih 20 hari. Saya mengesahkan ini bukan kes Mers-Cov dan dia dikaitkan dengan penyakit itu kerana menghidap demam selepas pulang daripada menunaikan ibadah umrah.

“Bagaimanapun, kita sudah meminta Hospital Miri menyemak semula data dan rekod perubatan wanita itu supaya beliau benar-benar bebas MERS-Cov,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penutup Sukan India Malaysia (Sukim) Peringkat Kebangsaan 2015 di Kolej Kemahiran Tinggi Mara Ledang, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, Datuk M. Asojan yang juga Pengerusi Sukim 2015; ADUN Serom, Abd. Razak Minhat dan Pengerusi Yayasan Sukan dan Kebudayaan India Malaysia (MISCF), Datuk T. Mohan.

Beliau mengulas tindakan wanita itu yang didakwa melarikan diri semasa dikuarantin di Hospital Miri untuk mendapatkan sampel kahaknya selepas disyaki dijangkiti MERS-Cov sebelum keluarganya datang membawanya keluar semalam.

MERS-CoV adalah penyakit sindrom pernafasan berpunca daripada jangkitan virus Corona yang mudah tersebar melalui udara dan menyerang sistem saluran pernafasan, termasuk paru-paru dan gejalanya adalah demam, batuk serta sukar bernafas.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mula mengesan penyakit itu pada 26 September 2012 di Arab Saudi, selepas kes pertama dikenal pasti di Jordan dan setakat ini semua kes yang dikesan didapati ada hubung kait dengan negara-negara semenanjung Arab.

Menurut Subramaniam, tidak semua yang baru balik daripada mengerjakan umrah akan mendapat MERS-Cov tetapi pihak kementerian akan melakukan pemeriksaan terhadap mereka yang balik daripada menunaikan ibadah tersebut.

Mengenai perkembangan penyakit itu di Korea Selatan yang semakin membimbangkan, beliau berkata, kerajaan melakukan saringan kesihatan kepada setiap pelancong yang memasuki negara ini untuk mengelakkan MERS-Cov daripada merebak.

“Kita juga menasihati rakyat menangguhkan hasrat untuk pergi bercuti ke Korea Selatan buat sementara waktu meskipun keadaan penyakit tersebut di negara itu masih terkawal dan sudah mencatatkan penurunan,” katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 15 JUN 2015

02 Jun 2015

52 USAHAWAN TEKUN TERIMA RM427,000

ZULHISHAM ISAHAK
 
ABDUL RAZAK MINHAT (tiga dari kiri) menyerahkan replika cek bernilai RM427,000 kepada wakil Usahawan TEKUN Parlimen Ledang semasa program Seminar Asas Keusahawanan TEKUN Kawasan Parlimen Ledang 2015 di KKTM Ledang, Johor, semalam.
 
LEDANG 1 Jun - Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) meluluskan pinjaman berjumlah RM427,000 untuk 52 usahawan kecil di daerah ini sebagai modal untuk membantu mengembangkan perniagaan mereka.
 
Pengerusi Kelab Komuniti Usahawan Tekun (KKUT) Parlimen Ledang, Mohd. Danuri Shariff berkata, dengan kelulusan tersebut, penerima yang sudah pun mempunyai perniagaan masing-masing diharap tidak meminjam daripada peminjam tidak sah.
 
“Kita tidak mahu mereka terjerat (dengan masalah hutang ah long). Kita mahu usahawan Melayu di Ledang menyertai KKUT untuk mengembangkan perniagaan sedia ada kerana kelab ini berfungsi membantu usahawan kecil termasuk melalui jaringan usahawan sedia ada.
 
“KKUT bertindak sebagai pengantara yang akan menyampaikan maklumat TEKUN kepada ahli-ahlinya,” katanya dalam program Seminar Asas Keusahawanan TEKUN Kawasan Parlimen Ledang 2015 di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Ledang, di sini hari ini.
 
Program yang dihadiri 230 usahawan dari daerah ini dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd. Razak Minhat dan disaksikan Pengurus TEKUN Kawasan Ledang, Mohd. Kidam Menin.
 
Menurut Mohd. Danuri, pe­nyertaan ke dalam KKUT memungkinkan masalah usahawan kecil diselesaikan di mana ahli juga disaran menjalin hubungan dengan usahawan luar daerah untuk membina jaringan perniagaan selain meluaskan usaha pemasaran.
 
KKUT, katanya, bekerjasama dengan pihak kastam dan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) dalam menyalurkan maklumat berkaitan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan Akta Pencatutan menerusi ceramah.
 
Sementara itu, Abd. Razak dalam ucapan beliau mencadangkan sebuah pusat pemasaran yang menghimpunkan produk keluaran usahawan TEKUN diwujudkan untuk membantu memperkenal dan memasarkan hasil mereka kepada masyarakat.
 
“Setiap usahawan perlu peka dalam mencari peluang pemasaran dan berkongsi pengalaman dengan ahli usahawan lain untuk membentuk satu persaingan yang sihat,” katanya.
 
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 02 JUN 2015

20 Mei 2015

TRAVELOG GURU: SERIBU WARNA SERIBU MAKNA (TULISAN DR HAJI RAJIEE HADI - ANAK KELAHIRAN LEDANG)

BUKU Travelog Guru: Seribu Warna Seribu Makna Tulisan Dr Haji Rajiee Hadi
 



 
 
BERSESUAIAN dengan tema Hari Guru 2015 sebagaimana judul di atas, maka buku Travelog Guru: Seribu Warna Seribu Makna amat bertepatan dengan temanya yang menggarap segala coretan pengalaman guru ketika merealisasikan P & P di bilik darjah bagi mencapai matlamat nilai-nilai murni berakhlak mulia selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara.

Buku yang mengandungi 365  (fon 14) muka surat terbitan  Penerbitan Awan Prima terbaharu  2015 dan terlaris di pasaran kini ditulis oleh Dr Haji Rajiee Hadi. Buku ini ada sumber utama motivasi, biografi dan informasi daripada penulis yang berpengalaman dalam dunia pendidikan dan keguruan. Buku ini adalah kisah guru, kisah kita dan kisah masyarakat yang secara langsung terbabit sama dalam dunia pendidikan. Penulis telah menghimpunkan coretan pengalamannya dalam dunia keguruan lebih 35 tahun. Sejarah awal kehidupan penulis dan detik hari mulanya menerima tawaran berkursus asas perguruan di sebuah maktab perguruan terulung di Kuala Lumpur telah membuka lembaran baharu perjuangannya yang penuh asam garam kehidupan. Suka lara, duka riang, marah,kecewa dan ceria telah dipaparkan dengan berani dan berterus terang demi kelangsungan dan kemuliaan profesion keguruan untuk generasi kemudian.

Dapatkan buku di atas dengan menghubungi: (Tempahan On-Line dan Terus Daripada Penerbit)

Pengurus: Pn.Nor: H/P:  01136405523 (sms)
Bank-in : Akaun BSN: 10001-41-00001008-6.
Harga Semenanjung Malaysia :RM 45.00, Sabah-Sarawak RM48, Brunei Singapura BD/SD 18
Contoh Harga Diskaun Promosi lstimewa RM40/-Semenanjung Malaysia sahaja. + kos penghantaran pos RM7.00= Jumlah RM47+ RM3.00 (tambahan derma Rumah Kebajikan Anak Yatim & Orang Tua) + AMAUN BESAR = RM50.00 (RM LIMA PULUH SAHAJA)

Nota:

Membeli sambil menderma, bersedekah amal jariah. Terima kasih, pembelian buku ini turut menyumbangkan 05 o/o Kepada  Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Kurang Upaya serta Rumah Kebajikan Orang-Orang Tua. Terima kasih!
 
SUMBER:
 

28 April 2015

JURURAWAT HAMIL 4 BULAN MAUT

ZULHISHAM ISAHAK  
ANGGOTA bomba dan penyelamat berusaha menyelamatkan Nor Farhana Ali yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 32, Jalan Muar-Segamat, Ledang, Johor, semalam.

LEDANG 27 April - Seorang jururawat yang hamil empat bulan maut manakala anaknya berusia tiga tahun patah tangan dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 32, Jalan Muar-Segamat, dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 6.45 pagi itu, Nor Farhana Ali, 32, yang bertugas di Hospital Segamat memandu kereta Perodua Myvi dari arah Muar menghala ke Segamat sebelum kenderaannya hilang kawalan lalu memasuki arah bertentangan.
 
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohamad Salleh Abd. Razak berkata, kereta dipandu mangsa kemudian merempuh sebuah kereta Toyota di depannya yang pada mulanya cuba mengelak tetapi tidak berjaya.
 
“Kereta Toyota itu yang dinaiki seorang lelaki dan dua wanita yang masing-masing berusia dalam lingkungan 50-an cuba mengelak ke bahu jalan tetapi tetap dirempuh kereta mangsa menyebabkan kenderaan itu terbabas masuk dalam parit.
 
“Pada masa sama, sebuah motosikal di belakangnya tidak sempat mengelak dan merempuh belakang kereta Toyota itu. Namun penunggang motosikal tersebut hanya cedera ringan,” katanya ketika dihubungi di sini.
 
Menurutnya, mangsa yang ce­dera parah bersama anak lelakinya yang patah tangan dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar, namun Nor Farhana disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan.
 
Mohamed Salleh berkata, pemandu dan dua penumpang kereta Toyota tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
 
Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba Tangkak, Seniman Idris berkata, seramai enam anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan pukul 6.54 pagi.
 
“Setibanya di tempat kejadian, kita mendapati seorang wanita mengandung tersepit di bahagian kaki bersama seorang anak lelakinya yang sedang menangis ketakutan dalam kereta Perodua Myvi.
 
“Kita ambil masa lapan minit mengeluarkan mangsa yang masih bernyawa tetapi lemah dengan menggunakan peralatan khas. Orang ramai turut membantu selain memujuk anak mangsa yang menangis,” katanya.
 
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 28 APRIL 2015

17 Mac 2015

PENDUDUK KESAL MASJID LAMA KAMPUNG BEKOH DIROBOHKAN

RAMLI ABD. RAHMAN menunjukkan gambar asal Masjid Kampung Bekoh berusia 117 tahun yang dirobohkan bagi digantikan dengan masjid baharu di Kampung Bekoh dekat Ledang, Johor, kelmarin.
 
LEDANG 16 Mac – Sebilangan besar daripada 1,130 umat Islam di Kampung Bekoh, dekat sini kecewa dan terkilan kerana masjid bersejarah dan tertua di kampung itu dirobohkan bulan lalu tanpa persetujuan mereka.
Penduduk mendakwa bangunan masjid berusia 117 tahun itu mempunyai nilai sejarah yang besar, antaranya satu masa dahulu pernah menjadi tempat pertemuan dan perbincangan Wali Songo, pendakwah terkenal Nusantara.
 
Seorang penduduk, Ramli Abd. Rahman, 63, berkata, masjid itu juga unik kerana seni bina mirip Masjid Agong Danak serta Masjid Sunan Kalijaga di Indonesia dan sememangnya wajar dipulihara sebagai warisan sejarah.
 
“Satu sebab masjid ini dirobohkan kerana disahkan tidak selamat digunakan. Keputusan ini dibuat dalam mesyuarat melibatkan ahli jawatankuasa masjid dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), tetapi tanpa melibatkan penduduk.
 
“Walaupun sudah tidak digunakan untuk bersolat, masjid ini masih dibuka untuk aktiviti se­perti kelas mengaji al-Quran untuk golongan dewasa dan kanak-kanak pada setiap petang,” katanya ditemui di sini.
 
Sementara itu, Shahril Sapingi, 40, sedih apabila papan dan tiang masjid yang dirobohkan itu diambil dan digunakan untuk membina sebuah madrasah persendirian yang terletak berhampiran kampung tersebut.
 
“Selepas kira-kira seminggu masjid dirobohkan, struktur utama bangunan masjid seperti papan dan tiang diambil.
 
“Kami tidak terlalu marah jika bahan binaan itu masih berada di masjid ini, tetapi sebaliknya berlaku,” katanya.
 
Zazali Osman, 58, pula berkata, bapanya, Osman Maarof, 84, generasi lama kampung itu menitiskan air mata melihat masjid tersebut dirobohkan kerana rumah ibadat itu memberi makna besar kepada mereka.
 
Sementara itu, Ketua Kampung berkenaan, Arshad Haron ketika dihubungi berkata, masjid tersebut dirobohkan mengikut prosedur yang betul dan perkara itu telah dimaklumkan kepada penduduk sejak dua tahun lalu.
 
Pejabat agama daerah juga membenarkan tindakan itu kerana masjid lama itu sudah tidak selamat digunakan dan akan diganti dengan Dewan Serbaguna Transformasi Balai Islam.
 
“Majlis Fatwa negeri juga membenarkan tapak berkenaan dibina dewan tersebut. Ini semua untuk kemudahan penduduk setempat yang sebelum ini mahukan sebuah dewan serbaguna dibina di kampung ini,” katanya.
 
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 17 MAC 2015

08 Februari 2015

KERJASAMA PENDUDUK BANTERAS WABAK DENGGI


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, Datuk M Asojan meninjau kerja pembersihan longkang pada Program Gerak Mesra dan Kempen Anti Denggi Zon Sagil di Pekan Sagil, di sini.
Foto: iNFOLEDANG

Ledang: Kejayaan daerah ini menurunkan kes denggi sehingga hampir 50 peratus tahun lalu berbanding 2013 menunjukkan kesedaran mengenai bahaya penyakit itu dan tanggungjawab masyarakat terhadap kebersihan tempat tinggal serta persekitaran mereka meningkat.

Yang Dipertua Majlis Daerah Tangkak (MDT), Mohd Masni Wakiman (Gambar Kiri), berkata kerjasama erat antara agensi kerajaan dan masyarakat bagi membersihkan kawasan yang menjadi pembiakan nyamuk aedes perlu diteruskan bagi mencegah penularan wabak demam denggi.

Katanya, sesuai dengan kejayaan daerah Ledang sebagai johan di peringkat negeri bagi kategori penurunan dan kes demam denggi paling kurang, masyarakat perlu sentiasa peka dengan kebersihan tempat tinggal mereka agar bebas dari kawasan pembiakan nyamuk aedes.

“MDT dan Pejabat Kesihatan Daerah sentiasa bergerak seiring serta bekerjasama bersama komuniti penduduk mengadakan kempen kesedaran demam denggi serta membantu mereka menjalankan gotong-royong pembersihan kawasan pembiakan nyamuk aedes.

“Kami sentiasa membantu penduduk agar kawasan kediaman mereka bersih dan selesa sebagai tempat tinggal tanpa ancaman sebarang penyakit,” katanya pada Program Gerak Mesra dan Kempen Anti Denggi Zon Sagil di Balai Raya Pekan Sagil, di sini, semalam.

Program itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, Datuk M Asojan dan turut dihadiri  Ketua Whip MDT, Zakaria Othman dan Pengerusi Program Gerak Mesra Zon Sagil A, Teo Tiam She.

Mohd Masni berkata, MDT sentiasa peka dengan kebersihan kawasan kediaman penduduk malah kontraktor pembersihan yang dilantik perlu melaksanakan kerja pembersihan mengikut jadual yang ditetapkan.

Sementara itu, Asojan berkata, tindakan pencegahan denggi itu turut mendapat kerjasama Kumpulan Komunikasi Untuk Perubahan Tingkahlaku (COMBI) daerah apabila ia menetapkan 50 program gerak mesra dan kempen anti denggi bagi tahun ini sebagai Penunjuk Prestasi Utama (KPI) kumpulan itu.

Katanya, kejayaan menurunkan kes demam denggi di daerah itu berdasarkan komitmen dan kerjasama antara agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta masyarakat yang mementingkan kebersihan kawasan kediaman mereka.

“Di Ledang terdapat lapan kes demam denggi dan tujuh daripadanya di Mukim Tangkak termasuk tiga kes berlaku di Sagil. Kita berharap kawasan yang terdapat kes demam denggi ini digempur habis-habisan agar ia tidak berlaku penularan wabak ke kawasan lain.

“Kesedaran masyarakat terhadap kebersihan persekitaran perlu dipertingkatkan bagi membolehkan mereka sentiasa peka dengan kawasan pembiakan nyamuk aedes di samping melakukan pembersihan secara berkala,” katanya. -iNFOLEDANG

24 Januari 2015

777 PENERIMA DI DAERAH LEDANG TERIMA BR1M 2015

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir Hamim Samuri (dua kiri) menyampaikan baucer Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada Md Noh Nahar sambil diperhatikan Pegawai Daerah Ledang, Ab Han Ramin (kiri)pada majlis Pelancaran Penyerahan Baucer Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) Tahun 2015 Bagi Daerah Ledang di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak. Foto: iNFOLEDANG

Ledang: Seramai 777 orang menerima baucer Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2015 bagi daerah Ledang merangkumi empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di daerah itu.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir Hamim Samuri, berkata penerima baucer berkenaan sebahagian daripada lebih 3,000 penerima bantuan itu tahun ini manakala selebihnya menerima bayaran menerusi akaun bank masing-masing.

Katanya, pemberian BR1M itu meliputi penerima bujang, isi rumah berpendapatan di bawah RM3,000 dan isi rumah berpendapatan antara RM3,000 hingga RM5,000.

“Seramai 278 individu bujang menerima RM350 yang dibayar sekali iaitu 41 orang bagi DUN Gambir, 78 (DUN Tangkak), 118 (DUN Serom) dan 41 (DUN Bukit Serampang).

“Bagi kategori penerima RM300 pula, seramai 484 orang terdiri daripada 163 penerima dari DUN Gambir, 147 (DUN Tangkak) dan 174 (DUN Serom) manakala penerima RM200 pula seramai 15 orang yang masing-masing 2 dari DUN Gambir, 7 (DUN Tangkak), 4 (DUN Serom) dan 2 (DUN Bukit Serampang),” katanya selepas merasmikan majlis Pelancaran Penyerahan Baucer Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) Tahun 2015 Bagi Daerah Ledang di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abdul Razak Minhat dan Pegawai Daerah Ledang, Ab Han Ramin.

Hamim yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata, pembayaran BR1M kepada penerima menunjukkan keikhlasan kerajaan membantu rakyat yang memerlukan sebagaimana dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dalam Bajet 2015 yang lalu. 

Katanya, walaupun kerajaan telah bersetuju meneruskan pemberian BR1M namun ada sesetengah pihak yang tidak bersetuju memusingkan fakta mengatakan terdapat agenda lain di sebalik pemberian bantuan tersebut.

Penerima BR1M kategori bujang, Zainal Abdullah, 54, dari Kampung Solok, Tangkak bersyukur dengan bantuan RM350 yang diterima dan berharap pada masa akan datang ia dapat ditambah bagi meringankan beban penerima.

Katanya, pemberian itu kali kedua buatnya dan beliau menerima baucer berikutan akaun bank kepunyaannya tidak aktif.

Adiknya, Nodin Abdullah, 49, yang tidak mampu berjalan berikutan penyakit gout yang dihidapinya sejak setahun lalu berterima kasih kepada kerajaan yang meneruskan bantuan itu lebih-lebih lagi kepada mereka yang memerlukan seperti beliau yang tidak mampu membuat sebarang pekerjaan.

Bagi Md Noh Nahar, 58, dari Bukit Gambir, berkata walaupun pemberian BR1M bagi kategori isi rumah dibuat sebanyak tiga kali namun beliau bersyukur dengan bantuan itu yang dapat meringankan beban keluarga yang berpendapatan rendah.  -iNFOLEDANG


 

19 Januari 2015

KARNIVAL GUYUP SEKAMPUNG ERATKAN SILATURAHIM PENDUDUK KAMPUNG PARIT KASSAN

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ledang, Datuk Abdul Rahim Talib (berdiri 4 dari kanan) bergambar bersama pasukan yang menyertai perlawanan bola sepak berkain batik sempena Karnival Guyup Sekampung di Kampung Parit Kassan dekat Bukit Gambir, Ledang. Foto: iNFOLEDANG

Ledang: Karnival Guyup Sekampung anjuran Pemuda UMNO Cawangan Parit Kassan, di sini berjaya mengeratkan perpaduan masyarakat kampung apabila lebih 300 penduduk menyertai pelbagai aktiviti yang diadakan.

Kehadiran mereka menyertai pelbagai acara yang disediakan seusia bayi hingga dewasa memberikan semangat kepada penganjur untuk menjadikannya sebagai program tahunan.

Ketua Pemuda UMNO Cawangan Parit Kassan, Nor Hazrin Namam (gambar), berkata pihaknya menganjurkan karnival itu bertujuan untuk merapatkan hubungan silaturahim dan mewujudkan kerjasama erat dalam kalangan penduduk di semua peringkat usia.

Katanya, pemilihan perkataan ‘guyup’ daripada bahasa Jawa yang bermaksud perpaduan dan muafakat itu adalah tepat bagi menggambarkan semangat bersatu padu dan kerjasama masyarakat kampung dalam melaksanakan program yang dirancang.

“Kami mahu perkataan ‘guyup’ menjadi ikon dan lambang permuafakatan masyarakat kampung yang sememangnya diamalkan oleh kepimpinan terdahulu dalam mewujudkan semangat kerjasama.

“Menerusi aktiviti yang disusun dalam program karnival ini, penduduk kampung pelbagai peringkat usia berpeluang menyertai acara yang diadakan mengikut kategori yang dipertandingkan,” katanya pada program Karnival Guyup Sekampung yang diadakan di padang Sekolah Kebangsaan Parit Kasan, di sini.

Karnival sehari itu dirasmikan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ledang, Datuk Abdull Rahim Talib mewakili Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir Hamim Samuri. Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, Datuk M Asojan, Ketua UMNO Cawangan Parit Kassan, Muslim Jasmin dan Ketua Kampung Parit Kassan, Mohd Hamzah Basar.

Nor Hazrin berkata, selain acara sukaneka, pertandingan gubahan dan perlawanan bola sepak kain batik, penduduk kampung turut berpeluang mendapatkan perkhidmatan dan penerangan menerusi Kaunter Bergerak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), semakan dan daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dikendalikan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Daerah Ledang dan kaunter Agrobank Cawangan Bukit Gambir.

Katanya, pameran Team ASTRO Ledang dan kereta baru Iriz oleh Proton Edar cawangan Muar turut memeriahkan karnival itu di samping pemeriksaan kesihatan percuma oleh Pejabat Kesihatan Daerah Ledang.

“Sambutan meriah dan penyertaan penduduk kampung dalam pertandingan yang diadakan mengikut kategori memberikan semangat kami untuk meneruskan program seumpama ini pada masa akan datang.

“Pemeriksaan kesihatan percuma yang dikendalikan kakitangan Klinik Kesihatan Bukit Gambir berjaya menarik lebih 100 penduduk pelbagai peringkat umur membuat pemeriksaan tahap kesihatan mereka,” katanya.

Nor Hazrin berkata, penganjuran karnival itu mendapat kerjasama UMNO Bahagian Ledang, Pemuda UMNO Bahagian Ledang, UMNO Cawangan Parit Kassan, Pusat Daerah Mengundi (PDM) Parit Kassan dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Parit Kassan.

Sementara itu, Datuk Abdull Rahim berkata, program yang dianjurkan di sesebuah komuniti itu dapat mengakrabkan lagi jalinan kekeluargaan yang saling berkaitan antara satu sama lain terutama di dalam sebuah kampung.

Katanya, semangat kerjasama perlu dipupuk dalam kalangan masyarakat agar ia berterusan dan menjadi contoh kepada generasi akan datang.

“Karnival Guyup Sekampung ini satu program yang mampu membentuk perpaduan dan kerjasama masyarakat kampung tidak mengira peringkat umur kerana aktiviti yang disusun melibatkan semua penduduk.

“Semoga program seumpama ini dapat diadakan di setiap kampung sebagai wadah untuk menyatukan masyarakat dan melahirkan barisan kepimpinan pelapis yang mampu mencetuskan pelbagai idea yang bermanfaat,” katanya ketika berucap menutup rasmi karnival tersebut. -iNFOLEDANG
 
Kaum wanita menyertai acara boling kelapa sempena Karnival Guyup Sekampung.
 
Kaum wanita menyertai acara kupas bawang sempena Karnival Guyup Sekampung di Kampung Parit Kassan dekat Bukit Gambir, Ledang.
 
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ledang, Datuk Abdul Rahim Talib mencuba permainan dart sempena Karnival Guyup Sekampung di Kampung Parit Kassan dekat Bukit Gambir, Ledang.
 
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ledang, Datuk Abdul Rahim Talib (tengah) menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan sempena Karnival Guyup Sekampung di Kampung Parit Kassan dekat Bukit Gambir, Ledang.

 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, Datuk M Asojan (dua kiri) menyampaikan hadiah basikal kepada Mohamad Irfan Mohd Ismail sempena Karnival Guyup Sekampung di Kampung Parit Kassan dekat Bukit Gambir, Ledang. Foto: iNFOLEDANG

12 Januari 2015

MURID SK BANDAR TANGKAK BERTEMU SEMULA SELEPAS 32 TAHUN BERPISAH

Bekas murid Sekolah Kebangsaan (Lelaki) Bandar Tangkak sesi 1978-1983 bergambar ramai bersama bekas guru mereka dalam Majlis Jalinan Mesra (Reunion...32 Tahun Berlalu) di Sekolah Kebangsaan Seri Tangkak, dekat Tangkak, Ledang.Foto: iNFOLEDANG

Ledang: Kenangan di zaman persekolahan dapat diimbau kembali oleh 37 bekas murid Sekolah Kebangsaan (Lelaki) Bandar Tangkak apabila mereka dapat bertemu kembali dalam majlis pertemuan semula selepas 32 tahun berpisah.

Pengerusi Alumni sekolah, Hamaran Mohamed Ariff berkata pertemuan semula (reunion) itu melibatkan bekas murid yang belajar di sekolah berkenaan antara tahun 1978 hingga 1983.

Katanya, usaha menghimpunkan rakan-rakan lama bermula Oktober tahun lalu selepas perbincangan bersama beberapa bekas murid yang menetap di Tangkak untuk menjejaki semula mereka serta bekas guru yang pernah mengajar di sekolah itu.
 
“Menerusi medium media sosial Whatsapp dan Facebook, kami melancarkan usaha menjejaki mereka yang kebanyakannya tinggal di luar Ledang dan apabila beberapa rakan telah dikumpulkan, kami mengadakan perjumpaan awal membentuk jawatankuasa.

“Kami membahagikan tugas kepada rakan-rakan yang ada bagi menjejaki seberapa ramai lagi bekas murid yang sama-sama belajar di sekolah ini untuk menghimpunkan mereka dalam satu majlis yang penuh kenangan,” katanya pada majlis Jalinan Mesra (Reunion...32 Tahun Berlalu) di Sekolah Kebangsaan Sri Tangkak, Ledang.
 
Naib Pengerusi Alumni, Abdul Rashid Ahmad (tengah) memotong kek bersama bekas guru dalam Majlis Jalinan Mesra (Reunion...32 Tahun Berlalu) di Sekolah Kebangsaan Seri Tangkak, dekat Tangkak, Ledang. Foto: iNFOLEDANG

Hamaran berkata, majlis itu bertujuan mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara bekas murid dan guru yang sama-sama menimba ilmu di sekolah lama selain membuat perancangan membantu meningkatkan keceriaan dan kecemerlangan sekolah itu.

Katanya, nama Sekolah Kebangsaan (Lelaki) Bandar Tangkak kini telah ditukar kepada Sekolah Kebangsaan Sri Tangkak namun nostalgia menimba ilmu di sekolah itu masih terpahat apabila bangunan lama yang dijadikan bilik darjah dahulu masih kekal hingga sekarang.

Naib Pengerusi Alumni, Abdul Rashid Ahmad, berkata majlis jalinan mesra itu lebih bermakna apabila turut dihadiri lima orang bekas guru yang pernah mengajar mereka ketika berada di Darjah Satu hingga Darjah Enam.

Katanya, walaupun masing-masing telah berusia namun semangat dan jasa mereka tetap tersemat dalam jiwa anak didik yang pernah mendapat didikan di sekolah itu sehingga menempa kejayaan dalam hidup.

“Walaupun masing-masing mempunyai tugas namun dengan kerjasama dan komitmen yang tinggi, majlis jalinan mesra ini dapat direalisasikan bagi mengeratkan semula hubungan antara rakan-rakan yang sebahagiannya terputus selepas zaman persekolahan tamat.

“Kami berharap pada masa akan datang, majlis reunion ini dapat diadakan dengan lebih meriah serta dapat dihadiri lebih ramai bekas murid yang pernah belajar di sini,” katanya. -iNFOLEDANG