PENGUNJUNG SETIA

01 September 2015

PEJABAT TANAH LEDANG JOHAN KESELURUHAN

Kontinjen Pejabat Tanah Ledang gembira selepas dinobatkan johan keseluruhan pertandingan sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2015 Peringkat Daerah Ledang.
 
LEDANG 31 Ogos – Busana baju Melayu biru dan baju kurung menjadikan Kontinjen Pejabat Tanah Daerah Ledang muncul johan ke­seluruhan pertandingan sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2015 Peringkat Ledang di Dataran Ledang di sini hari ini.
Mereka berjaya menarik perhatian juri apabila turut memenangi pertandingan pakaian terbaik ka­tegori jabatan kerajaan namun terpaksa berpuas hati di tempat kedua dalam pertandingan perbarisan yang dimenangi kontinjen Jabatan Sukarelawan Rakyat (Rela) Daerah Ledang.
 
Pertandingan perbarisan ka­tegori Jawatankuasa Penyelarasan Mukim-mukim (JPMM) pula, kontinjen JPMM Bukit Serampang menjadi johan diikuti JPMM Serom (tempat kedua) dan JPMM Gambir (tempat ketiga) manakala kategori institusi pendidikan dimenangi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Gambir.
 
Kontinjen Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Parit Pulai muncul johan perbarisan kategori Kontinjen Rak­yat Didahulukan menewaskan kontinjen JKKK Sengkang Batu 22 dan JKKK Konggo/Sagil Parit 1.
 
JPMM Bukit Serampang turut merangkul johan pertandingan pakaian terbaik kategori JPMM manakala kontinjen SMK Bukit Gambir (institusi pendidikan), HELWA Ledang (badan berkanun/Pertubuhan Bukan Kerajaan), JKKK Parit Pulai (Rakyat Didahulukan) dan Tabika Kemas Ledang (Pewaris Merdeka) menjadi johan untuk ka­tegori masing-masing.
 
Bagi pertandingan sepanduk terbaik, SMK Pesisiran Perdana, Tanjung Agas muncul juara diikuti Kolej Komuniti Ledang dan Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Ledang masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
 
Majlis Daerah Tangkak (MDT) turut menganjurkan pertandingan kibaran Jalur Gemilang, pencahayaan dan halaman indah bagi tiga kategori iaitu bangunan kerajaan, institusi pendidikan dan kediaman bertujuan untuk me­nunjukkan semangat kecintaan kepada negara dalam kalangan rak­yat Malaysia.
 
Johan bagi kategori bangunan kerajaan disandang Pejabat Daerah Ledang manakala kategori institusi pendidikan dimenangi Sekolah Kebangsaan Bandar Tangkak dan rumah Nor Mohammad Mohd. Nor bagi kategori kediaman.
 
Terdahulu, sambutan hari kebangsaan dimulakan dengan acara perbarisan disertai 64 kontinjen dengan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Mohamed menerima tabik hormat kontinjen yang membuat lintasan di pentas kenamaan di Jalan Payamas, di sini.
 
Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd. Razak Minhat dan ADUN Gambir, Datuk M.Asojan; Pegawai Daerah Ledang, Ab. Han Ramin dan Pentadbir Tanah Daerah Ledang, Shafiei Ahamad.
 
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 01 SEPTEMBER 2015