PENGUNJUNG SETIA

26 September 2023

KANAK-KANAK TADIKA DURRATUL HIKMAH LAWAT LADANG TANAMAN NANAS MD2

Seramai 90 kanak-kanak Tadika Durratul Hikmah, Little Caliphs Bukit Gambir berusia 4 - 6 tahun mengadakan lawatan sambil belajar ke Projek Tanaman Nanas MD2 Integrasi, Mohd Janis Sdn Bhd di Kampung Parit Kassan dekat Tangkak, Johor.

Tangkak: Bagi memberikan pendedahan awal kepada kanak-kanak berkaitan proses penanaman hingga penuaian buah nanas, seramai 90 kanak-kanak Tadika Durratul Hikmah, Little Caliphs Bukit Gambir dibawa melawat ke ladang penanaman nanas, baru-baru ini.

Kanak-kanak berusia antara empat hingga enam tahun itu mengadakan lawatan sambil belajar ke Projek Penanaman Nanas MD2 Integrasi Mohd Janis Sdn Bhd di Kampung Parit Kassan, dekat sini.


Guru pengiring, Nurshaliza Abdul Kadir berkata objektif lawatan itu untuk memperkenalkan makanan daripada buah-buahan melalui Pembelajaran Berasaskan Kontekstual untuk memberikan pengalaman kepada kanak-kanak melihat, menyentuh, menghidu, menanam dan menuai buah segar dari ladang.

Pengurus Mohd Janis Sdn Bhd, Mohd Janis Abu Bakar pula berkata pendedahan awal kepada kanak-kanak ini dapat memberikan pengalaman berharga kepada mereka mengenai proses penanaman nanas dan merasai kelazatan buah nanas yang baru dipetik.

Katanya, syarikatnya mengusahakan lebih 20 hektar tanaman nanas MD2 secara integrasi dengan tanaman sawit secara berperingkat-peringkat di bawah khidmat nasihat Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia Negeri Johor. -INFOLEDANG 

17 September 2023

SAYEMBARA DEKLAMASI SAJAK 2.0 SEMPENA FESTIVAL AMAZING TANGKAK 2023

Ketua Unit Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Daerah Tangkak, Siti Hawa Md Zin (enam dari kanan) bergambar ramai bersama pemenang dan peserta Sayembara Deklamasi Sajak 2.0 sempena Festival Amazing Tangkak 2023 di Dataran Ledang, Johor

TANGKAK: Sempena Festival Amazing Tangkak 2023, Majlis Daerah Tangkak dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Daerah Tangkak, Persatuan Pengkarya Dan Pencinta Seni Tinta Karya Tangkak dan Perbadanan Perpustakaan Awam Johor menganjurkan Sayembara Deklamasi Sajak 2.0.

Sayembara kali ini terbahagi kepada dua kategori iaitu  8 - 17 tahun disertai 12 peserta manakala 18 tahun ke atas pula disertai tujuh peserta  yang bertanding di Dataran Ledang, Tangkak, baru-baru ini.

Bagi kategori 8 - 17 tahun, Hamzah Muzhafar Saipul Bahri yang mendeklamasikan sajak Kitalah Lasykar Yang Berani karya Rohaidah Yon dinobatkan sebagai johan sayembara bagi kategori berkenaan.

Hazif Emyr Ishaqee Mohd Hazhar yang mendeklamasikan sajak Sasterawan Negara Usman Awang berjudul Balada Langit Tua Manusia Sengketa muncul naib johan manakala peserta bukan Melayu, Grace Awenita Suresh di tempat ketiga yang mendeklamasikan sajak Pahlawan Merdeka karya Sasterawan Negara Usman Awang.

Mohd Norazizi Samsudain (Gambar atas) yang mendeklamasikan sajak bertajuk Menjulang Bahtera Madani karya Mohd Radzi Haji Abd Hamid menyandang gelaran juara bagi kategori 18 tahun ke atas.

Naib johan disandang oleh Syarifah Fairus Abdul Ghani mendeklamasikan sajak karya Sasterawan Negara, Datuk Dr Zurinah Hassan berjudul Pesanan Puteri Gunung Ledang manakala Raja Muhammad Khairul Anwar Raja Mohd Naguib dengan sajak Negaraku Madani karya Solihin Osman di tempat ketiga.

Mohamad Amir Mohtaram dipilih memenangi Busana Tercantik bagi kategori lelaki manakala Zety Natamulia Elias bagi kategori wanita.

Semua pemenang membawa pulang hadiah wang tunai, piala dan sijil yang disampaikan oleh Ketua Unit Perhubungan Awam dan Korporat MDT, Siti Hawa Md Zin. -INFOLEDANG