TANGKAK: Sempena Festival Amazing Tangkak 2023, Majlis Daerah Tangkak dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Daerah Tangkak, Persatuan Pengkarya Dan Pencinta Seni Tinta Karya Tangkak dan Perbadanan Perpustakaan Awam Johor menganjurkan Sayembara Deklamasi Sajak 2.0.
Sayembara kali ini terbahagi kepada dua kategori iaitu 8 - 17 tahun disertai 12 peserta manakala 18 tahun ke atas pula disertai tujuh peserta yang bertanding di Dataran Ledang, Tangkak, baru-baru ini.
Bagi kategori 8 - 17 tahun, Hamzah Muzhafar Saipul Bahri yang mendeklamasikan sajak Kitalah Lasykar Yang Berani karya Rohaidah Yon dinobatkan sebagai johan sayembara bagi kategori berkenaan.
Hazif Emyr Ishaqee Mohd Hazhar yang mendeklamasikan sajak Sasterawan Negara Usman Awang berjudul Balada Langit Tua Manusia Sengketa muncul naib johan manakala peserta bukan Melayu, Grace Awenita Suresh di tempat ketiga yang mendeklamasikan sajak Pahlawan Merdeka karya Sasterawan Negara Usman Awang.
Mohd Norazizi Samsudain (Gambar atas) yang mendeklamasikan sajak bertajuk Menjulang Bahtera Madani karya Mohd Radzi Haji Abd Hamid menyandang gelaran juara bagi kategori 18 tahun ke atas.
Naib johan disandang oleh Syarifah Fairus Abdul Ghani mendeklamasikan sajak karya Sasterawan Negara, Datuk Dr Zurinah Hassan berjudul Pesanan Puteri Gunung Ledang manakala Raja Muhammad Khairul Anwar Raja Mohd Naguib dengan sajak Negaraku Madani karya Solihin Osman di tempat ketiga.
Mohamad Amir Mohtaram dipilih memenangi Busana Tercantik bagi kategori lelaki manakala Zety Natamulia Elias bagi kategori wanita.
Semua pemenang membawa pulang hadiah wang tunai, piala dan sijil yang disampaikan oleh Ketua Unit Perhubungan Awam dan Korporat MDT, Siti Hawa Md Zin. -INFOLEDANG
Tiada ulasan:
Catat Ulasan