PENGUNJUNG SETIA

20 Disember 2014

SASAR LEDANG BEBAS DENGGI

ir.HAMIM Samuri (dua dari kiri) menziarahi dan beramah mesra dengan
HAMIM Samuri (dua dari kiri) menziarahi dan beramah mesra dengan warga emas, Ithnin Ghazali semasa Program Gerak Mesra dan Anti Denggi Zon Bukit Gambir dan Mini Karnival Pesta Rakyat Masyarakat Gambir di Dewan Serbaguna Bukit Gambir dekat Ledang, Johor,kelmarin.
LEDANG 19 Dis. – Ledang muncul sebagai daerah kedua terendah bagi kes denggi di negeri ini dan usaha membanteras tempat pembiakan nyamuk aedes perlu dite­ruskan sehingga berjaya mencapai tahap bebas sepenuhnya.
 
Ahli Parlimen Ledang, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, antara yang perlu dilakukan ialah melalui kempen-kempen sedia ada selain gotong-royong membersihkan kawasan yang berpotensi menjadi pembiakan nyamuk aedes.
 
“Selain itu kita perlu terus mengamalkan gaya hidup sihat yang berkualiti. Daerah ini di tempat kedua paling bawah berlaku kes denggi, ini bermakna Ledang adalah daerah kedua terbaik dalam Kempen Johor Bebas Denggi.
 
“Jika dahulu kawasan Ledang di tempat teratas mengenai kes denggi namun hasil kesedaran dan sokongan masyarakat menjaga kebersihan persekitaran kediaman mereka, kini kes berkenaan sudah menurun,” katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Gerak Mesra dan Anti Denggi Zon Bukit Gambir dan Mini Karnival Pesta Rakyat Masyarakat Gambir di Dewan Serbaguna Bukit Gambir, dekat sini kelmarin.
 
Program anjuran Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pekan Bukit Gambir Barat dan Majlis Daerah Tangkak itu turut dihadiri Pengerusi PDM, Abu Bakar Md. Affandi dan Penghulu Mukim Grisek, Ishak Abu Bakar.
 
Statistik terbaharu demam denggi di negeri ini dari awal tahun hingga 7 Disember lalu menunjukkan daerah ini kedua terendah iaitu 0.4 peratus diikuti Mersing (2 peratus), Segamat (3 peratus), Batu Pahat (4.2 peratus), Muar (5 peratus), Kluang (7 peratus) dan paling tinggi Johor Bahru (67 peratus).
 
Justeru, Hamim berharap penduduk di sini bersama-sama memikul tanggungjawab menjaga kebersihan di kawasan masing-masing dan kesedaran bahaya demam denggi akan dapat terus diterjemahkan dalam bentuk tindakan.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 20 DISEMBER 2014

18 Disember 2014

KONVOKESYEN TAJ LEDANG RAI 216 MURID

ZULHISHAM ISAHAK  
HAMIM Samuri menyampaikan sijil sambil disaksikan oleh Khalid Ithnin (kanan) semasa majlis Konvokesyen TAJ Kali Ke-6 Daerah Ledang 2014 di Tangkak, Johor, baru-baru ini.

Pegawai Pendidikan Agama Daerah Ledang, Khalid Ithnin berkata, mereka terdiri daripada kanak-kanak yang mengikuti pembelajaran selama dua tahun daripada 16 buah kelas TAJ di sini sejak berusia lima tahun lagi.
 
Katanya, sepanjang mengikuti pembelajaran di TAJ, mereka dididik mengikut silibus yang disediakan bagi memupuk keyakinan diri, berani bersaing dengan rakan selain belajar membaca dan menulis.
 
“Kita memberikan penghargaan kepada kanak-kanak yang berjaya mengikuti kelas TAJ selama dua tahun agar mereka berasa gembira dan menanamkan semangat untuk terus belajar dan berjaya dalam pelajaran khususnya pendidikan agama.
 
“Harapan guru dan ibu bapa semoga mereka akan terus berjaya dan menggunakan ilmu yang ada untuk memajukan agama, bangsa dan tanah air sebagai pelapis kepimpinan akan datang,” katanya pada Majlis Konvokesyen TAJ Daerah Ledang kali ke-6 di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak, di sini kelmarin.
 
Perasmian disempurnakan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri yang turut dihadiri Penolong Pegawai Pendidikan Agama Daerah (PPAD) Ledang, Sairozi Subakhir dan Penyelia TAJ Daerah Ledang, Mohd. Khir Abdullah.
 
Menurut Khalid, ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang besar untuk menerapkan nilai agama, budaya dan adat resam dalam diri anak mereka untuk cemerlang dari sudut akademik dan kerohanian.
 
Sementara itu, Hamim dalam ucapannya berkata, kerajaan sangat prihatin dengan masa depan anak-anak khususnya dalam pendidikan agama Islam dengan menyalurkan secara berterusan peruntukan kepada sekolah agama di negeri ini.
 
Katanya, dengan usaha kerajaan secara berterusan, umat Islam akan terus mempunyai jati diri yang kukuh dan kefahaman terhadap agama Islam yang betul di samping menguasai ilmu sama ada akademik mahu pun kerohanian.
 
 
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 18 DISEMBER 2014

28 November 2014

JOHOR HASILKAN BERAS WANGI SRI LEDANG

ZULHISHAM ISAHAK
ABD. Razak Minhat (tengah) memasukkan padi ke dalam mesin PGU untuk diproses menjadi beras sewaktu majlis Perasmian Tanaman Padi Kaedah SRI dan Penyampaian Sijil Mygap serta Mesin PGU di Kampung Kesang Tasek, Sungai Mati, Ledang, Johor, kelmarin. – UTUSAN/Ishak Rahmad.

Pegawai Pertanian Daerah Ledang, Abdullah Rashidi berkata, usaha komersial beras daripada varieti MRQ76 itu sudah dilakukan awal tahun ini melibatkan lima buah kawasan sawah padi utama dengan keluasan kira-kira 809 hektar di sini.
 
“Beras wangi ini akan menjadi produk istimewa daerah ini yang mungkin dinamakan Beras Wangi Sri Ledang. Kualitinya setanding beras wangi import dan kini dita­nam di Kesang Tasik, Pulau Penarek, Telok Rimba, Kesang Gate, Pulau Penarek dan Sawah Ring.
 
“Kita mahu mengurangkan import beras wangi antara dua hingga lima peratus yang kini berjumlah RM500 juta setahun,” katanya ditemui selepas majlis pelancaran Tanam­an Padi Kaedah SRI, Penyampaian Sijil Mygap dan Mesih PGU di Ke­sang Tasik, di sini semalam.
 
Majlis itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd. Razak Minhat.
 
Abdullah berkata, sebagai langkah awal, pesawah-pesawah di sini dibekalkan dengan mesin kisar padi yang mempunyai lima fungsi bagi membantu dan memudah penga­singan beras selain dapat menambah pendapatan.
 
Katanya, ketika ini terdapat dua mesin berkenaan untuk kegunaan di Kesang Tasik serta Kesang Gate dan peralatan buatan Thailand itu pertama kali digunakan di negeri ini malah pada masa akan datang sebanyak 25 lagi mesin akan dibawa masuk.
 
Mesin tersebut, ujarnya, mempunyai lima peranan utama iaitu mengasingkan padi berkenaan kepada beras wangi, beras perang dan beras hancur selain serkam dan dedak yang boleh dijual sebagai baja serta makanan ayam.
 
Bagi jangka masa panjang, Abdullah berkata, pihaknya merancang untuk menjadikan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) sebagai pihak yang mengkormesialkan Beras Wangi Sri Ledang termasuk usaha pembungkusan, pelabelan dan pemasaran.
 
“Namun sebelum itu kita merancang untuk bekerjasama dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mendirikan sebuah kilang memproses beras wangi di Teluk Rimba supaya produktiviti dalam skala besar dapat dihasilkan.
 
“Kilang itu juga akan memproses hasil beras sama dari Negeri Sembilan dan Melaka. Selain itu kita juga akan terus membaiki prasarana di kawasan sawah padi di sini yang merupakan dikategorikan sebagai bukan jelapang padi,” katanya.
 
Menurut beliau, Ledang merupakan perintis kepada penghasilan beras wangi di negeri ini dengan produktiviti yang tinggi berbanding negeri lain dan dijangka menjadi model untuk daerah lain bagi menghasilkan beras wangi.
 
 
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 28 NOVEMBER 2014

26 November 2014

18 TERIMA SIJIL AMALAN PERSEKITARAN BERKUALITI

HAMIM SAMURI (dua dari kanan) menyampaikan sijil kepada penerima pada Seminar Perkongsian Amalan Terbaik dan Majlis Penyampaian Sijil Sistem Amalan Persekitaran Berkualiti QE/5S di Ledang, Johor, kelmarin.
LEDANG 25 Nov. – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) me­nganugerahkan Sijil Amalan Per­sekitaran Berkualiti QE/5S kepada 18 organisasi di negeri ini yang berpotensi untuk ditingkatkan kualiti dan produktiviti perkhidmatannya secara optimum.
 
Ketua Pengarah MPC, Datuk Mohd. Razali Hussain berkata, pensijilan diberikan selepas orga­nisasi terlibat melaksanakan amalan QE/5S melalui bimbingan, latihan, panduan dan tunjuk ajar MPC dalam tempoh tujuh bulan.

"Kita mahu organisasi yang dianugerahkan sijil ini dapat menyumbang kepada peningkatan produktiviti, kualiti, penurunan kos operasi, penambahbaikan kepada sistem penyampaian, moral kakitangan dan peningkatan dalam aspek keselamatan.

"MPC berharap amalan persekitaran berkualiti di organisasi yang diberikan pensijilan dapat dikekalkan serta ditingkatkan daripada segi kecekapan sistem dan proses kerja yang boleh menjadi contoh terbaik serta penanda aras kepada organisasi lain,” katanya demikian pada perasmian Seminar Perkongsian Amalan Terbaik dan Majlis Penyampaian Sijil Sistem Amalan Persekitaran Berkualiti QE/5S Parlimen Ledang di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak, di sini semalam.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri merasmikan program tersebut.

Mohd. Razali berkata, agensi terpilih menerima manfaat melalui bimbingan berupa persekitaran kerja lebih baik dan kondusif, mendapat pengiktirafan dan lebih penting suntikan anjakan pemikiran untuk melakukan penambahbaikan secara berterusan.

Sementara itu, Hamim berkata, MPC perlu terus menggandakan usaha agar pelaksanaan sistem amalan persekitaran berkualiti dilakukan lebih banyak organisasi sama ada sektor awam atau swasta khususnya di negeri ini.

Hamim yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata, daripada 18 organisasi yang menerima pensijilan itu, 12 organisasi dari daerah ini dan kejayaan berkenaan amat membanggakan.

Pada majlis itu, organisasi di sini yang menerima pensijilan itu ialah Pejabat Daerah Ledang; Majlis Daerah Tangkak; Pejabat Kadi Daerah Ledang; Majlis Agama Islam Johor Daerah Ledang; Masjid Jamek Tangkak dan Masjid Sultan Ismail, Tanjung Agas.

Bagi kategori pendidikan pula, Pejabat Pelajar Daerah Muar; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Persisiran Perdana; SMK Tengku Mahmud Iskandar; SMK Ledang; SMK Tun Mamat dan Sekolah Menengah Agama Lughatul Quran, Kesang Tasek.

Turut menerima pensijilan itu Institut Latihan Perindustrian (ILP) Ledang; Johor Corporation; Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora); Kolej Komuniti Segamat; Politeknik Ibrahim Sultan dan Puteri Specialist Hospital, Johor Bahru.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 26 NOVEMBER 2014

25 November 2014

RM41.2 BILION PELABURAN MELALUI AEC TAHUN DEPAN

HAMIM Samuri menyerahkan sijil kepada salah seorang wakil penerima
HAMIM Samuri menyerahkan sijil kepada salah seorang wakil penerima pada Seminar Perkongsian Amalan Terbaik dan Majlis Penyampaian Sijil Sistem Amalan Persekitaran Berkualiti QE/5S Parlimen Ledang di Ledang, semalam.
LEDANG 24 Nov. - Kira-kira RM41.2 bilion pelaburan dijangka berjaya dibawa masuk ke negara ini berdasarkan jumlah pelaburan negara-negara ASEAN yang akan meningkat 10 peratus apabila Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dilaksanakan akhir tahun depan.
 
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, jumlah pelaburan di negara-negara ASEAN ialah RM406.4 bilion pada tahun lalu dan kewujudan AEC akan menawarkan pasaran daripada 627 juta penduduk rantau ini.
 
“AEC boleh meningkatkan ekonomi peserta negara anggota ASEAN melalui jalinan kerjasama ekonomi di antara 10 negara terlibat. Ini memberi banyak kebaikan kepada Malaysia dengan peluang memasarkan lebih banyak produk ke rantau ASEAN dengan segala kemudahan eksport dan import yang lebih seragam.
 
“Sebagai contoh dengan keseragaman ini menjadikan aktiviti import dan eksport lebih mudah,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Perkongsian Amalan Terbaik dan Majlis Penyampaian Sijil Sistem Amalan Persekitaran Berkualiti QE/5S Parlimen Ledang di Dewan Jubli Intan Tangkak, di sini hari ini.
 
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Razali Hussain dan Pegawai Daerah Ledang, Ab. Han Ramin.
 
AEC bakal membentuk sebuah blok ekonomi lebih liberal dan perdagangan terbuka melalui penghapusan tarif cukai, kebebasan pasaran kerja (kemahiran tinggi) dan pergerakan modal yang bertujuan menjadikan ASEAN sebagai satu pasaran yang tunggal.
 
Menurut Hamim, Malaysia perlu mengambil peluang dengan pelaksanaan AEC di samping meningkatkan daya saing dalam sektor pelaburan dan perdagangan supaya dapat menarik lebih banyak pelabur ke negara ini.
 
Beliau yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata, negara juga perlu meningkatkan daya saing produk supaya setanding dengan negara lain bagi menembusi pasaran dalam ASEAN yang luas dan berpotensi tinggi.
 
“Jika kualiti produk keluaran Malaysia rendah, ini akan menyukarkan untuk eksport dan sebaliknya hanya akan dijual di peringkat domestik sahaja. Ramai pelabur mencari negara dengan persekitaran ekonomi yang baik.
 
“Sistem Amalan Persekitaran Berkualiti QE/5S adalah sebahagian daripada kaedah meningkatkan daya saing mutu produk dan pendapatan serta menjadikan pertumbuhan ekonomi negara berterusan meningkat secara positif,” katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 25 NOVEMBER 2014

25 Oktober 2014

WIRA PERKASA JOHOR BUAT LAPORAN POLIS


KETUA Wira PERKASA Johor, Datuk Md Ismail Hamdan bersama ahli PERKASA selepas membuat laporan polis di IPD Ledang, Tangkak.
 
Ledang: Tindakan tegas di bawah Akta Hasutan 1948 selain pemecatan keahlian perwakilan GERAKAN Johor, Tan Lai Soon perlu dikenakan berikutan kenyataan biadapnya yang mendakwa Melayu adalah pendatang di negara ini sama seperti Cina dan India.

Ketua Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Johor, Datuk Md Ismail Hamdan, berkata kenyataan Lai Soon itu satu bentuk provokasi melampau selain membuktikan dirinya amat jahil dengan sejarah orang Melayu dan negara.

“Kenyataan yang dikeluarkannya amat menyinggung perasaan orang Melayu. Kita beri amaran kepada Lai Soon supaya jangan bermain api dan jangan cuba menjolok sarang tabuan.

“Di Malaysia kita hidup  aman damai serta berbilang kaum. Seharusnya tidak ada pihak yang cuba menggugat dan meruntuhkan keharmonian sedia ada,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis membantah kenyataan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang dekat Tangkak, di sini.

Md Ismail diiringi ahli PERKASA membuat laporan pada 9.33 pagi menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap Lai Soon yang mengeluarkan kenyataan itu pada Persidangan Perwakilan GERAKAN ke-43 di Shah Alam, Selangor, 19 Oktober lalu.

Lai Soon turut mendakwa Melayu bukan Bumiputera di negara ini kerana berhijrah dari Indonesia dan kaum pribumi asal adalah penduduk asal Sabah dan Sarawak serta Orang Asli.

Md Ismail berkata, beliau sepatutnya mengkaji dan membaca buku sejarah tentang orang Melayu sebelum mengeluarkan kenyataan yang menyentuh perkara sensitif sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati terutama orang Melayu terhadap GERAKAN.

Katanya, secara peribadi beliau berpendapat, Lai Soon merupakan satu produk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang gagal memahami aspirasi nasional dan seharusnya tampil memohon maaf kepada semua orang Melayu di atas kebiadapannya.

“Sebagai pengajaran kepada semua, kita menuntut Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mengambil tindakan mendakwanya di bawah Akta Hasutan 1946 dan mendesak Presiden GERAKAN, Datuk Mah Siew Kiong memecat keahlian Lai Soon,” tegasnya.

Sementara itu, Wira PERKASA Johor menasihatkan pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus yang dikaitkan dengan klip video lucah yang dikatakan miripnya agar segera membuat laporan polis bagi membersihkan namanya berikutan perkara itu amat mengaibkannya.

Katanya, penceramah bebas itu tidak seharusnya mengelak atau terus berdiam diri kerana perkara itu membabitkan maruahnya selain dikhuatiri tindakannya akan mengakibatkan orang ramai terus membuat andaian yang buruk. -iNFOLEDANG

11 September 2014

MJSB JOHAN SEPANDUK TERCANTIK PERINGKAT LEDANG

AHLI Kelab Sosial Dan Kebajikan Pekerja Syarikat Mohd. Janis Sdn. Bhd. bersama-sama sepanduk yang memenangi pertandingan sepanduk tercantik sempena Hari Kemerdekaan Ke-57 peringkat daerah Ledang, baru-baru ini.

Pengerusinya, Yazali Pairon berkata, tahun ini merupakan kali ketiga MJSB menyertai acara perbarisan sempena Hari Kemerdekaan peringkat daerah bagi kategori swasta.
 
"Kami sepakat menyertai pertandingan sepanduk yang diadakan kali ini dengan melukis dan mewarna secara bergotong-royong selama tiga malam. Sebelum ini, kami menggunakan sepanduk bercetak yang ditempah.
 
"Memandangkan pemenang sepanduk tercantik tahun sebelum ini menggunakan kreativiti melukis dan mewarna d serta dapat menarik perhatian, kami mencubanya pula tahun ini," katanya ketika ditemui selepas menyertai Perhimpunan Hari Kemerdekaan Kali Ke-57 peringkat daerah Ledang di Dataran Ledang, Tangkak di sini baru-baru ini.
 
Yazali berkata, kemenangan itu merupakan 'hadiah' kepada Pengarah Urusan MJSB, Mohd. Janis Abu Bakar yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-57 tahun ini.
 
Dengan kemenangan itu, pasukannya membawa hadiah RM300 dan trofi yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia negeri, R. Vidyanathan yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
 
Tempat kedua kategori itu dimenangi Pejabat Pendidikan Agama Daerah Ledang, manakala Pejabat Daerah Ledang meraih tempat ketiga.
 
Tiga lagi kategori yang dipertandingkan ialah Kontinjen Perbarisan Terbaik, Pakaian Terbaik dan Kibaran Jalur Gemilang Tercantik di halaman rumah serta premis.
 
Jawatankuasa Penyelarasan Mukim-mukim (JPMM) Dewan Undangan negeri (DUN) Serom muncul johan Pertandingan Perbarisan Terbaik, Pejabat Tanah Ledang (Pakaian Terbaik) dan Pejabat Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Ledang (Halaman Premis Terbaik) dan Lewan Basman dari Kampung Sagil Parit 1 (Halaman Rumah Terbaik).
 
Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd. Razak Minhat; ADUN Gambir, M. Asojan dan Pegawai Daerah Ledang, Ab. Han Ramin.
 
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 11 SEPTEMBER 2014

05 September 2014

SENGKANG MATA TIGA MALAM


Ledang: Kesanggupan bersengkang mata selama tiga malam untuk menyiapkan sepanduk bagi menyertai sambutan Hari Kemerdekaan Ke-57 Peringkat Daerah Ledang di sini, berbaloi apabila hasil kreativiti berkenaan mendapat perhatian juri untuk dinobatkan sebagai johan sepanduk tercantik.

Usaha ahli Kelab Sosial Dan Kebajikan Pekerja (KESOKEP) Mohd Janis Sdn Bhd membuat persiapan menyediakan sepanduk dan mewarnakannya secara bergotong-royong memberi kepuasan kepada setiap ahli dengan kemenangan yang diperoleh.

Pengerusinya, Yazali Pairon berkata, tahun ini merupakan kali ketiga Mohd Janis Sdn Bhd (MJSB) menyertai acara perbarisan sempena Hari Kemerdekaan bagi kategori swasta.

Menurutnya, walaupun sambutan dibuat secara sederhana tahun ini, tetapi MJSB tetap bersemangat menyertai acara perbarisan dan pertandingan sepanduk.

"Sebelum ini kami menggunakan sepanduk bercetak yang ditempah. Memandangkan pemenang sepanduk tercantik sebelum ini menggunakan kreativiti sendiri dengan melukis dan mewarnanya secara manual menyebabkan kami mencubanya pada tahun ini," katanya.

Yazali berkata, kemenangan itu hasil kerjasama dan muafakat ahli KESOKEP dalam menghasilkan sepanduk yang menarik dan ia juga hadiah kepada Pengarah Urusan MJSB Mohd Janis Abu Bakar yang juga menyambut ulang tahun kelahiran ke-57 pada tahun ini.

Hadiah wang tunai RM300 dan trofi itu disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia Johor R Vidyanathan selaku wakil Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Naib johan disandang Pejabat Pendidikan Agama Daerah Ledang dan Pejabat Daerah Ledang pula dipilih pemenang ketiga.
 
SUMBER: HARIAN METRO - METRO PLUS, 05 SEPTEMBER 2014

01 September 2014

PENAGIH SERANG POLIS

Ledang: Akibat ketagihan melampau, seorang penagih dadah yang ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang di sini, menyerang seorang anggota polis yang cuba mententeramkannya.

Dalam kejadian pada jam 6 petang kelmarin, penagih tegar yang berusia 26 tahun dikatakan membuat bising di dalam lokap, menyebabkan anggota polis itu cuba mententeramkannya.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Mohd Salleh Abdul Razak, berkata suspek kemudian bertindak ganas dengan memukul anggota polis terbabit hingga menyebabkan kecederaan ringan pada bahagian muka mangsa.

"Melihatkan kelakuan suspek yang agresif, anggota terbabit terus beredar dari kawasan kejadian, sebelum beberapa anggota lain berjaya mengawal keadaan.

Alami gangguan mental

"Suspek kemudian dihantar ke Hospital Tangkak untuk menjalani pemeriksaan susulan dan pegawai perubatan kemudiannya mengesahkan suspek mengalami gangguan mental akibat pengambilan dadah dan gam berlebihan sejak beberapa tahun lalu," katanya ketika dihubungi semalam.

Mohd Salleh berkata, anggota polis yang juga berusia 26 tahun turut dihantar ke hospital sama dan hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar akibat cedera ringan.

"Berikutan itu, suspek ditahan sementara di lokap IPD Ledang bagi membantu siasatan sebelum kejadian itu berlaku," katanya.
 
SUMBER: BH, 01 SEPTEMBER 2014

29 Ogos 2014

PADI WANGI LUAR JELAPANG

Oleh Hai Rozzaman Jalal

Ledang: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menyasarkan pengurangan mengimport beras wangi ketika ini yang berjumlah 250,000 tan metrik atau RM500 juta setahun dari Thailand, Kemboja dan Vietnam menjelang 2020.

Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Sharif Haron berkata, usaha itu dilakukan menerusi pengkomersialan benih padi wangi MRQ 76 yang ditanam dengan skala besar di luar kawasan saliran dan di luar kawasan jelapang padi dalam tempoh lima tahun.

Katanya, MARDI mensasarkan kira-kira 73,000 tan metrik padi daripada penanaman padi MRQ 76 dan MRQ 74 dapat dihasilkan setahun terutama di kawasan tadahan hujan dan sistem pengairan kecil menjelang 2020.

"Setakat ini, padi jenis itu sudah ditanam secara meluas di Pahang, Kelantan, Melaka, Kedah dan Johor.

"Beras wangi yang dihasilkan daripada MRQ 76 ini mampu menyaingi beras wangi import yang harganya lebih murah dan mempunyai 80 peratus ciri yang sama dengan beras wangi import," katanya selepas majlis Penuaian Padi Wangi MRQ 76 Di Luar Jelapang di Kampung Kesang Tasek di Sungai Mati di sini, baru-baru ini.

Perasmian disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Johor Ismail Mohamed.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom Abd Razak Minhat, Pengarah Pusat Penyelidikan Bioteknologi MARDI Dr Marzukhi Hashim, Pengarah MARDI Johor Saniah Kormin, Pengarah Urusan Bionic Agro Sdn Bhd Profesor Ir Salleh Yahya dan Pegawai Pertanian Daerah Ledang Abdullah Rashidi.

Sharif berkata, bagi memastikan beras wangi tempatan terjamin kualitinya, setiap kawasan yang menanam benih padi berkenaan akan dilantik satu pengilang khas untuk mengelakkan percampuran dengan beras putih biasa.

Katanya, jika kualiti dapat dijaga, petani akan mendapat harga padi yang lebih tinggi antara 20 hingga 30 peratus daripada padi biasa sekali gus meningkatkan pendapatan mereka.

"Petani tidak perlu risau menanam benih MRQ 76 kerana syarikat peneraju yang dilantik pihak kementerian akan membeli hasil padi mereka, malah impak daripada projek itu akan mewujudkan 4,998 peluang pekerjaan," katanya.
 
SUMBER: HARIAN METRO - METRO PLUS, 29 OGOS 2014

26 Ogos 2014

SASAR PENGURANGAN IMPORT BERAS WANGI MENJELANG 2020


Ledang: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menyasarkan pengurangan mengimport beras wangi dari Thailand, Kemboja dan Vietnam menjelang 2020 yang ketika ini berjumlah 250,000 tan metrik atau RM500 juta setahun.

Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Sharif Haron berkata, usaha itu dilakukan menerusi pengkomersialan benih padi wangi MRQ 76 yang ditanam dengan skala besar di luar kawasan saliran dan di luar kawasan jelapang padi dalam tempoh lima tahun ini.

Katanya, MARDI menyasarkan 73,000 tan metrik padi daripada penanaman padi varieti MRQ 76 dan MRQ 74 dapat dihasilkan setahun terutama di kawasan tadahan hujan dan sistem pengairan kecil menjelang 2020.

Setakat ini, padi jenis ini sudah ditanam secara meluas di Pahang, Kelantan, Melaka, Kedah dan Johor dan mampu meningkatkan pendapatan pesawah.

"Beras wangi yang dihasilkan daripada jenis MRQ 76 ini mampu menyaingi beras wangi import yang harganya lebih murah dan mempunyai 80 peratus ciri-ciri sama dengan beras wangi import," katanya pada sidang media selepas Majlis Penuaian Padi Wangi MRQ 76 Di Luar Jelapang di sawah Kampung Kesang Tasek Sungai Mati, di sini, semalam.
 
SUMBER: HARIAN METRO, 26 OGOS 2014

25 Ogos 2014

'PERGI' MENJELANG HARI BAHAGIA

Oleh Ibrahim Isa

Muar: Luluh hati seorang bapa apabila melihat anak perempuannya yang bakal melangsungkan perkahwinan hujung minggu ini terbujur kaku ditutup dengan kain di lokasi kemalangan di Kilometer 148 arah utara Lebuhraya Utara-Selatan dekat Pagoh, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, Amirah Abd Rahim, 25, yang juga jururawat maut di tempat kejadian apabila Perodua Kancil dipandunya hilang kawalan sebelum melanggar besi penghadang kiri lebuh raya itu.

Rempuhan di sebelah kiri kereta menyebabkan mangsa parah di badan serta kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Bapanya, Abd Rahim Sobri, 48, berkata, dia hanya mengetahui anaknya sudah meninggal dunia apabila tiba di lokasi selepas dimaklumkan Amirah terbabit dalam kemalangan dan terkejut apabila melihat satu jasad terbujur kaku di lokasi yang ditutup dengan kain.

Katanya, lebih menyedihkan apabila mengenangkan arwah yang juga anak sulung daripada tiga beradik itu tidak sempat melangsungkan perkahwinan yang dijadualkan Sabtu ini ini.

"Beberapa minit sebelum itu, saya dihubungi anggota bomba dan mereka hanya memaklumkan Amirah terbabit dalam kemalangan.

"Saya ingat dia hanya cedera, malangnya kemalangan itu meragut nyawanya," katanya.

Abd Rahim berkata, arwah yang bertugas di Klinik Kesihatan Bukit Gambir, Ledang sudah melakukan pelbagai persiapan untuk majlis perkahwinannya.

"Arwah pulang ke rumah saya di Rengit, Batu Pahat, Khamis lalu untuk menguruskan persiapan majlis perkahwinan dengan tunangnya yang berasal dari Segamat.

"Ketika dia keluar rumah jam 6 pagi tadi (semalam), dia sempat bersalam dan cium tangan saya sebelum bergerak ke tempat kerjanya. Benda sudah berlaku dan saya reda," katanya.

Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jambi, Rengit, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta mangsa hilang kawalan lalu melanggar penghadang jalan bahagian kiri lebuh raya itu.

"Rempuhan kuat menyebabkan bahagian kiri kereta remuk teruk dan mangsa yang cedera parah meninggal dunia di tempat kejadian.

"Hasil siasatan mendapati mangsa ingin ke tempat kerja di Klinik Kesihatan Bukit Gambir dari rumahnya di Rengit, Batu Pahat.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi polis bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 2 Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar Razali Ismail berkata, seramai enam anggota membabitkan sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 7.20 pagi.
 
SUMBER: HARIAN METRO, 25 OGOS 2014

BAKAL PENGANTIN BAHARU MAUT NAHAS

Oleh Badrul Kamal Zakaria

Pagoh: Seorang jururawat yang dijadual melangsungkan perkahwinan hujung minggu ini, maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 148 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, Amirah Abd Rahim, 25, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan selepas PERODUA Kancil dipandunya dipercayai gagal dikawal lalu melanggar pembahagi jalan.

Mangsa yang bertugas di Klinik Kesihatan Bukit Gambir, Ledang sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada 30 Ogos ini.

Bapanya, Abd Rahim Sobri, 48, berkata segala persediaan perkahwinan Amirah bersama pasangannya yang berasal dari Segamat sudah disiapkan.

Katanya, Amirah bersama tunangnya pulang ke kampung di Rengit, Batu Pahat pada Khamis lalu untuk membuat persiapan akhir majlis perkahwinan mereka.

"Anak saya keluar rumah kira-kira jam 6 pagi tadi (semalam) dan sempat bersalam serta mencium tangan saya sebelum ke tempat kerja.

"Tidak lama kemudian pihak bomba memaklumkan anak saya terbabit dalam kemalangan.

"Saya cuma mengetahui dia meninggal dunia ketika tiba di lokasi kejadian dan melihat tubuhnya ditutup dengan kain," katanya.

Rempuhan kuat

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob, berkata rempuhan kuat kenderaan dipandu mangsa menyebabkan bahagian kiri kereta terbabit rosak teruk dan memberi impak kepada mangsa.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Pegawai Kanan 2 Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Razali Ismail, berkata sebuah jentera dengan enam anggota dihantar ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 7.20 pagi semalam.

Beliau berkata, bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu.
 
SUMBER: BH, 25 OGOS 2014

22 Ogos 2014

SAMBUT MERDEKA PUPUK PERPADUAN


Ledang: Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang yang diadakan mampu memupuk semangat perpaduan dalam kalangan semua rakyat tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia Johor R Vidyanathan berkata, semangat perpaduan dan persefahaman tunjang utama dalam masyarakat berbilang kaum untuk menggerakkan negeri menjadi lebih maju.

Menurutnya, setiap rakyat negeri itu perlu berbangga dengan budaya yang unik dan dapat hidup bersama dengan ikatan kemesraan yang kental melalui budaya muafakat yang diamalkan.

"Perpaduan dan permuafakatan adalah asas pegangan yang patut dikekal dan dipelihara bersama-sama.

"Kedamaian dan keharmonian yang berterusan di Johor ini bertitik tolak daripada rakyat berbilang kaum yang bersedia menerima kepelbagaian dalam mencari perpaduan," katanya.

Beliau berkata demikian di majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Johor serta pelancaran logo Muafakat Johor di Dataran Ledang dekat Tangkak, di sini, baru-baru ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan turut dihadiri Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ir Hamim Samuri, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Tan Sri Mohamad Aziz, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ismail Karim dan Pegawai Daerah Ledang Ab Han Ramin.

Vidyanathan berkata, konsep Muafakat Johor yang diperkenalkan oleh Menteri Besar memberi kesan yang baik kepada rakyat dan kerajaan negeri mengambil tanggungjawab serius dalam memastikan objektif pelaksanaan tercapai sepenuhnya.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, pelancaran logo Muafakat Johor bagi menggambarkan semangat permuafakatan yang terjalin sejak dulu lagi dalam kalangan rakyat.

Menurutnya, semangat permuafakatan itu perlu disemarakkan dan dipertahankan seiring dengan nikmat kemerdekaan yang dapat dikecapi setiap rakyat.

"Dengan adanya logo Muafakat Johor ini, ia akan sentiasa mengingatkan kita betapa nilai permuafakatan menjadi satu faktor penting kepada kejayaan negeri pada hari ini," katanya.
 
SUMBER: HARIAN METRO - METRO PLUS, 22 OGOS 2014

18 Ogos 2014

BUKAN SEKADAR KENANG PERJUANGAN

Oleh Hai Rozzaman Jalal
     
Ledang: Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (gambar) mengingatkan setiap lapisan rakyat bahawa sambutan kemerdekaan yang dianjurkan setiap tahun bukan sekadar bagi mengenang kembali perjuangan menuntut merdeka.

Sebaliknya, beliau berkata, apa yang lebih utama adalah keupayaan mengisi ruang kemerdekaan itu, antaranya menanamkan sifat kasih dan sayang kepada tanah air.

"Semangat merdeka dan sayang kepada negara harus berakar teguh dalam fikiran setiap individu di samping kegigihan serta rasa mendalam bahawa tanah air ini milik kita semua. Namun, dalam meniti usia kemerdekaan yang lebih setengah abad ini, masih ada sebilangan kecil rakyat tidak tahu erti sebenar merdeka," katanya.

Semat sifat sayangkan negara

Berucap melancarkan Bulan Kemerdekaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Johor di Dataran Ledang, Tangkak, semalam, beliau berkata, mengisi kemerdekaan bukan setakat mengibarkan bendera atau perarakan, sebaliknya disematkan sifat kasih dan sayangkan negara.

Katanya, tema sambutan kemerdekaan tahun ini amat signifikan dengan situasi semasa di mana rasa cinta kepada negara menjadi sebahagian sifat patriotisme yang perlu dipupuk dalam kalangan rakyat.

Laksana visi bersama

"Patriotisme bukan boleh dibentuk begitu saja. Kegilaan materialistik, sikap tidak prihatin dan tidak mengambil endah kepentingan bersama dengan mementingkan kepentingan peribadi, keluarga atau golongan tertentu perlu dielakkan kerana ia sesuatu yang tidak patriotik.

"Kita masih mempunyai tanggung jawab yang belum selesai untuk melaksanakan visi bersama yang disebut sebagai Malaysia. Kita semua sebenarnya dimiliki oleh bangsa dan negara yang kita cintai ini iaitu Malaysia," katanya.

Sambil menekankan peranan generasi muda sangat penting sebagai pelapis yang akan meneruskan visi Malaysia pada masa depan, beliau bagaimanapun bimbang dengan kehidupan generasi itu yang hidup penuh selesa dibuai dengan obsesi material dan teknologi yang semakin canggih.
 
SUMBER: BH, 18 OGOS 2014

15 Ogos 2014

MENANGANI PENYAKIT TIDAK BERJANGKIT

 
Oleh Hai Rozzaman Jalal
    
Program Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN) di bawah Kementerian Kesihatan menjadi pendekatan terbaik menangani beban penyakit tidak berjangkit dalam kalangan masyarakat.

Sehubungan itu, Kampung Parit Haji Idris dekat Bukit Gambir cukup bertuah apabila dipilih antara tujuh KOSPEN perintis di daerah Ledang.

Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Sungai Mati, Dr Aznil Atiman berkata, tujuan penubuhan KOSPEN di kampung itu untuk meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai penyakit tidak berjangkit.

Katanya, aktiviti berjalan 10,000 langkah dan berbasikal bukan saja boleh mewujudkan persekitaran sihat, tapi turut mengeratkan hubungan penduduk kampung yang menyertainya.

"Pejabat Kesihatan Daerah akan melatih orang kampung yang berminat menjadi sukarelawan KOSPEN. Mereka akan membantu mengukur tahap kesihatan tubuh badan penduduk.

"Latihan berkala turut diberi kepada sukarelawan bagi meningkatkan kefahaman dan kemahiran mereka dalam membuat saringan kesihatan penduduk termasuk memeriksa tekanan darah serta kandungan gula," katanya ketika menghadiri Program Sukarelawan KOSPEN Parit Haji Idris, baru-baru ini.

Program itu dirasmikan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Hamim Samuri.

Turut hadir Penghulu Mukim Grisek, Ishak Abu Bakar; Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Bukit Gambir, Dr Sethil dan Pengerusi KOSPEN Parit Haji Idris, Keliwon Mohamed.

Sementara itu, Hamim yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata, langkah awal menjaga kesihatan dan amalan gaya hidup sihat penting kerana Malaysia antara negara yang mempunyai peratusan penghidap diabetes dan hipertensi tertinggi di rantau Asia.

"Setakat ini, kerajaan membelanjakan kira-kira RM2 bilion setahun bagi merawat pesakit kencing manis. Jadi, Program KOSPEN ini amat baik untuk membudayakan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

"Paling penting, usaha mengurangkan penyakit tidak berjangkit ini bukan saja memberi manfaat kepada individu tetapi turut mengurangkan perbelanjaan kerajaan yang dalam jangka panjang," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi KOSPEN Parit Haji Idris, Keliwon Mohamed berkata, pihaknya berbangga apabila dipilih menjadi perintis program KOSPEN bagi daerah Ledang.

"Lebih 200 penduduk kampung turun padang menyertai aktiviti program dan melakukan saringan kesihatan masing-masing," katanya.
 
SUMBER: HARIAN METRO, 15 OGOS 2014

08 Ogos 2014

DIPERDAYA TAWARAN KOPEK IKAN BILIS

NOR ‘ASYIKIN MAT HAYIN

            Siti Morjanah (dua, kanan) dan Saniah menunjukkan laporan polis yang mereka buat.
Siti Morjanah (dua, kanan) dan Saniah menunjukkan laporan polis yang mereka buat.

LEDANG – Empat warga emas mendakwa mereka dipukau hingga menyerahkan hampir RM30,000 kepada dua wanita yang menawarkan kerja sambilan membersihkan ikan bilis di Kampung Parit Kassan dekat Bukit Gambir di sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu berlaku semasa mereka dibawa menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Tangkak seperti yang dikehendaki sebagai memenuhi syarat pekerjaan yang ditetapkan suspek.

Saniah Senawi, 56, berkata, dua wanita itu menemuinya bersama tiga rakannya dan menawarkan pekerjaan tersebut kepada mereka selepas majlis marhaban sempena Aidilfitri dari rumah ke rumah.

“Mereka perkenalkan diri dan menawarkan pekerjaan kopek ikan bilis dengan upah RM10 bagi setiap kilogram (kg) dan jika kami setuju, kami akan dibekalkan 20kg setiap seorang. Kami juga boleh ambil upah bungkus rempah sup pada kadar 20 sen sepeket.

“Tawaran itu agak menarik. Jadi kira-kira 15 ahli kumpulan marhaban mendaftar untuk kerja itu. Dua wanita itu bagi tahu,  kami kena jalani pemeriksaan kesihatan dan buat x-ray sama ada di klinik atau hospital,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Saniah, dia dan dua rakan mulanya curiga dengan tawaran dua wanita itu, tetapi diyakinkan oleh seorang lagi rakan mereka, yang percaya mereka tidak ditipu.

Mereka dibawa oleh dua wanita itu ke Hospital Tangkak dengan kereta, dipandu seorang lelaki.

“Apabila tiba di hospital jam 6 petang, mereka arah kami menanggalkan barang kemas yang kami pakai. Mereka kata, kami tak boleh pakai barang kemas masa x-ray," katanya.

Menurutnya, semua barang kemas berserta dompet yang mengandungi wang dan dokumen penting dikumpulkan dalam beg tangan salah seorang daripada warga emas itu, iaitu Siti Morjanah Jemin, 66.

Selepas itu, katanya, tiga daripada mereka diarahkan ke kaunter pendaftaran, manakala Siti Morjanah, yang memegang beg berisi barang kemas itu, ditinggalkan dalam kereta bersama dua wanita dan lelaki itu.

“Ketika Siti Morjanah pergi ke tandas, wanita itu tak benarkan dia bawa beg itu. Selepas daftar di kaunter, saya jumpa Siti Morjanah yang baru keluar dari tandas. Apabila kami sama-sama pergi ke tempat letak kereta, dua-dua wanita, kereta dan lelaki itu sudah tiada di situ,”
katanya.

Menurutnya, selepas itu mereka sedar ditipu dan percaya dipukau kerana menuruti arahan dua wanita itu, termasuk menyerahkan barang-barang kemas.

Katanya, antara yang dilarikan dua wanita itu ialah cincin emas, rantai emas, gelang emas, wang tunai, telefon bimbit, serta dokumen-dokumen penting yang kesemuanya dianggarkan bernilai hampir RM30,000.

“Kami minta orang hospital hantar kami ke Balai Polis Tangkak untuk buat laporan,” katanya.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Mohd Salleh Razak berkata, polis sudah menerima laporan dan tiga individu tersebut diburu.
 
SUMBER: SINAR HARIAN, 08 OGOS 2014

03 Ogos 2014

TAK LUPA PADA MANGSA MH17

Shafie Bachok memimpin bacaan doa pada rumah terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Ledang.
 
Ledang: Orang ramai yang mengunjungi rumah terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Ledang Datuk Ir Hamim Samuri kelmarin, bertafakur dan berdoa 10 minit bagi memperingati mangsa tragedi pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 dan kesejahteraan umat Islam di Gaza.

Bacaan doa dipimpin Imam Masjid Jamek Bandar Tangkak Shafie Bachok antara lain memohon kesejahteraan mangsa nahas MH17 serta dipermudahkan segala urusan membawa pulang jenazah mangsa rakyat Malaysia ke tanah air.

Tetamu turut mengaminkan doa yang memohon kepada Allah SWT supaya saudara Islam di Gaza yang diserang dan dizalimi rejim Zionis memperoleh kemenangan.

Menurut Hamim, rakyat negara ini turut bersimpati dengan penderitaan umat Islam di Gaza yang kehilangan keluarga dan harta benda akibat serangan rejim Zionis.

"Kita mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ganas rejim Zionis yang menyebabkan ramai umat Islam terbunuh dan cedera selain kemusnahan bangunan kediaman serta masjid," katanya pada majlis rumah terbuka yang diadakan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak.

Turut hadir Pengerusi Sime Darby Berhad Tan Sri Abdul Ghani Othman; Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Halimah Mohamed Sadique, Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri Datuk Tahir Md Taat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom Abd Razak Minhat, dan Pegawai Daerah Ledang Ab Han Ramin.
 
SUMBER: METRO AHAD, 03 OGOS 2014

15 Julai 2014

PEMUDA UMNO LEDANG SERAH SUMBANGAN KEPADA 20 PENERIMA

SAHRIHAN Jani (empat dari kanan) bersama-sama rombongan Ziarah Aspirasi Ramadan 2014 menyampaikan sumbangan kepada lelaki OKU, Ariffin Abas Buser (lima dari kanan) di Kampung Parit Kassan, Bukit Gambir, Ledang, baru-baru ini.

LEDANG 14 Julai - Kegembiraan menyambut Syawal tidak lama lagi jelas kelihatan bagi 20 penerima Program Ziarah Aspirasi Ramadan 2014 yang mendapat sumbangan Hari Raya Aidilfitri daripada Pemuda UMNO Bahagian Ledang.

Mereka terharu dengan program anjuran pergerakan itu yang disampaikan terus dari rumah ke rumah, sekali gus melihat sendiri kesusahan penerima termasuk orang kurang upaya (OKU).

Esni Sarkinin, 50, bapa kepada Mohd. Zainol Hanif, 22, berterima kasih kepada Pemuda UMNO Bahagian Ledang yang sanggup turun padang menyampaikan sumbangan walaupun anaknya itu ada menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Anak lelaki saya menghidap penyakit sawan dan dikategorikan OKU. Dia ada menerima bantuan bulanan daripada JKM dan usaha Pemuda memberikan sumbangan sempena bulan Ramadan amat kami hargai.

"Belum ada mana-mana pihak menghulurkan sumbangan sebagaimana dilakukan Pemuda UMNO Bahagian Ledang dan kami sekeluarga amat terharu dengan pemberian ini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Parit Kassan dekat Bukit Gambir di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua pergerakan itu, Sahrihan Jani berkata, seramai 20 pemuda kurang berkemampuan dan tidak bernasib baik dipilih dari 13 cawangan UMNO di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir dan Tangkak untuk menerima bantuan itu.

Jelasnya, program yang julung kalinya diadakan itu diselaraskan Biro Kebajikan Pemuda UMNO Bahagian Ledang, bertujuan merapatkan silaturahim antara kepimpinan pergerakan tersebut dengan ahli di peringkat akar umbi, selain menziarahi dan menyelami kesusahan mereka yang kurang bernasib baik.

"Kami mendapatkan maklumat golongan pemuda yang perlu dibantu menerusi Ketua Pemuda cawangan manakala pengagihan sumbangan diselaraskan Biro Kebajikan bahagian yang dipengerusikan Jamaludin Mustafa. Sumbangan keperluan harian ini tidak seberapa, namun diharap dapat meringankan beban mereka," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 15 JULAI 2014


14 Julai 2014

RTD REACHES OUT TO PARIT KASSAN YOUTH

By Hai Rozzaman Jalal
LEDANG

Nor Hazrin Namam (left) handing out a registration form for Skuad Muda 1JPJ.

Muar RTD female staff with womenfolks of Kg Parit Kassan preparing the meals in Kembara Insaniah 2014 at Kampung Parit Kassan near Bukit Gambir. Pix by Hai Rozzaman Jalal 

Participants of Kembara Insaniah 2014 getting together to clean out the sorroundings of Kampung Parit Kassan.

APART from enforcing laws to ensure peace and safety on the roads, the Road Transport Department (RTD) is also reaching out to the community.

The department is doing this by organising numerous programmes to improve ties with the public.

Thus, its Muar branch's Dakwah Bureau had recently organised Kembara Insaniah 2014, a programme in collaboration with the Village Development and Security Committee (JKKK) at Parit Kassan near Bukit Gambir here.

The programme was declared open by Deputy International Trade and Industry Minister Datuk Hamim Samuri at the Masjid Jamek Parit Kassan.

RTD Muar branch chief Azmil Zainal Adnan said the expedition was aimed at reaching out to the villagers, namely, the youth at mosques and surau.

Azmil said the event was a joint effort with the Parit Kassan Umno youth wing, with the full support of Umno Ledang branch.

"This is the second time the Dakwah Bureau has organised such an expedition. Last year, we conducted outreach programmes at the Madrasah At-Tarbiah Tahfiz Sungai Pulai in Seri Menanti, Muar.

"This year, we chose to have it at Kampung Parit Kassan to foster the camaraderie between the department's personnel and the villagers.

"Activities like this can enhance the spirit of cooperation in a community and forge close ties between the department and the local folk."

Azmil said some 200 people attended the programme, which include senior RTD Muar officers, members of the Muar Bikers and Umno Ledang Youth Wing.

There was also a gotong-royong programme to clean-up the mosques, and participants recited prayers at the Bukit Kundur Muslim cemetery there.

The womenfolk also joined the Muar RTD officers to prepare bubur lambuk.

Hamim, who is also the Ledang MP, encouraged the youth to foster a spirit of cooperation while working in a group.

He said the spirit of helping one another is a practice of the Muslim community that should be maintained to create unity.

"One needs to be nurtured at a young age and such activities will ensure that. The villagers still uphold the long-standing tradition of mutual respect as they will attend weddings, funerals and other gatherings," Hamim said.

Kampung Parit Kassan village chief Hamzah Mohd Basar thanked RTD Muar for including the village as one of its stopovers .

Umno Youth Parit Kassan branch chief Nor Hazrin Namam, said the programme has proven to be effective as many youth had attended the event.

Nor Hazrin also urged the youth to register as a squad member for the 1JPJ Young Malaysians programme.

"By joining the programme, the youth can assist RTD to improve road safety measures," Nor Hazrin said.

SOURCE: NST STREETS JOHOR, JULY 14, 2014

11 Julai 2014

PROJEK ATASI GERAI BERDEBU

Hamim (kanan) menyampaikan hadiah kepada Zaleha di Bazar Ramadan Tangkak.

Oleh Hai Rozzaman Jalal


Ledang: Demi keselesaan peniaga dan pengunjung Bazar Ramadan Jalan Naib Long di Tangkak, di sini, sebanyak RM80,000 akan disalurkan bagi menurap tar tapak perniagaan berkenaan.

Ahli Parlimen Ledang Datuk Hamim Samuri berkata, pelaksanaan menaik taraf kawasan itu dijalankan apabila mendapat persetujuan pemilik tanah iaitu Sekolah Agama (SA) Bandar Tangkak.

Menurutnya, apabila tapak berkenaan ditar, ia dapat mengelakkan kawasan itu berdebu kerana pada masa kini hanya diturap batu kerikil saja.

"Apabila orang ramai berkunjung untuk mencari juadah berbuka puasa keadaan tapak bazar ini yang diturap batu kerikil akan menyebabkan habuk dan sebab itu ia perlu ditar bagi mengelakkannya berdebu.

"Kami akan berbincang dengan pengurusan SA Bandar Tangkak mengenai perkara ini. Jika mereka bersetuju, peruntukan disalurkan bagi melaksanakannya tahun depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang gerai terbersih Bazar Ramadan Tangkak anjuran Majlis Daerah Tangkak (MDT).

Hadir sama, Setiausaha MDT Sulaiman Ismail, Ketua WHIP MDT Zakaria Othman, Pegawai Kesihatan Persekitaran MDT Muhammad Sidek Arasu Abdullah dan Pegawai Kesihatan Daerah Ledang Dr Zaharah Mohd Salleh.

Hamim yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berharap peniaga di bazar Ramadan mengutamakan kebersihan dan kualiti makanan dijual kepada orang ramai.

Dalam pertandingan itu, Gerai 1Malaysia milik Zaleha Aliddin yang menjual pelbagai jenis nasi memenangi tempat pertama, manakala tempat kedua Gerai NMR Beryani Gam milik Noraedah Mohamed Raup dan ketiga Gerai Nasi Lemak Kukus milik K Mohd Hussin M O Kattubawa.

Sementara itu, Sulaiman berkata pertandingan yang memasuki tahun kedua hasil cetusan idea Yang Dipertua MDT Ab Han Ramin bagi menimbulkan kesedaran dalam kalangan peniaga bazar Ramadan menjaga kualiti dan keselamatan makanan dijual.

Menurutnya, terdapat tiga lokasi bazar Ramadan kelolaan MDT dengan 135 tapak niaga iaitu di Tangkak (59 lot), Bukit Gambir (47) dan Taman Serom Utama (29).

SUMBER: HARIAN METRO, 11 JULAI 2014

07 Julai 2014

MB TAK PERLU TUNDUK DESAKAN PEMIMPIN PKR

Ledang: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak perlu tunduk kepada desakan segelintir pemimpin PKR yang meminta beliau meletak jawatan sebagai Menteri Besar Selangor.


Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Hamim Samuri, berkata Abdul Khalid harus bertanggungjawab terhadap amanah diberikan rakyat yang memilih beliau dalam pilihan raya.

Katanya, PKR tidak perlu campur tangan dalam urusan dan hal ehwal pentadbiran Selangor malah kepentingan rakyat Selangor seharusnya diutamakan.

"Isu dalaman PKR yang sedang huru-hara akibat pemilihan parti itu jangan diheret ke dalam pentadbiran kerajaan Selangor. Masalah PKR perlu diselesaikan di peringkat dalaman parti dan isu pertukaran Menteri Besar bukan satu perkara yang boleh diubah sesuka hati," katanya.

Hamim yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Pembangunan dan Prapelancaran Inap Desa Sagil di Pejabat Daerah Ledang, di sini, semalam.

SUMBER: BH, 07 JULAI 2014

03 Julai 2014

PEMAJU PUNCA PROJEK TERBENGKALAI

Oleh Zulhisham Isahak

HAMIM Samuri (dua dari kanan) diiringi Sairozi Subakhir (kanan) meninjau bahagian kantin bangunan Sekolah Agama Parit Kassan dekat Bukit Gambir, Ledang, Johor. baru-baru ini.

LEDANG 2 Julai - Masalah beberapa bangunan sekolah agama terbengkalai termasuk yang sudah siap tetapi belum diserahkan kepada Pejabat Pendidikan Agama Daerah Ledang berpunca daripada pihak pemaju gagal membayar kontraktor yang terlibat.

Ahli Parlimen Ledang, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, sekolah agama yang baharu itu terbahagi kepada fasa kedua dan ketiga yang dimulakan awal 2012 dan sepatutnya telah siap dan boleh digunakan awal tahun ini.

"Masalah ini dikenal pasti berpunca daripada pihak pemaju yang diberi amanah oleh kerajaan negeri gagal melunaskan pembayaran kemajuan kerja kepada kontraktor yang melaksanakan pembinaan bangunan berkenaan mengikut jadual.

"Kontraktor menggunakan modal pusingan untuk menjalankan kerja pembinaan, tetapi apabila pihak pemaju lewat membuat pembayaran, kontraktor terpaksa menghentikan pembinaan sehingga pembayaran diterima untuk menyelesaikan kos bahan binaan dan tenaga kerja," katanya selepas meninjau bangunan baharu Sekolah Agama Parit Kassan (SAPK), Bukit Gambir, dekat sini kelmarin yang telah siap, namun belum diserahkan pihak kontraktor untuk digunakan.

Hamim yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri sebelum itu merasmikan Mesyuarat Agung Badan Kebajikan SAPK Ke-19. Yang turut hadir Penolong Pegawai Pendidikan Agama Daerah Ledang, Sairozi Subakhir; Ketua Kampung Parit Kassan, Mohd. Hamzah Basar; Pengerusi Badan Kebajikan SAPK, Rozaini Abd. Hamid dan Guru Besarnya, Nolida Ahmad.

Beliau berkata, antara sebab utama sekolah-sekolah baharu itu masih belum beroperasi kerana terdapat beberapa kemudahan seperti kantin dan tandas termasuk sistem paip yang masih belum disiapkan.

Menurutnya, sekolah agama dalam fasa ketiga yang sepatutnya beroperasi awal tahun ini tetapi gagal disiapkan mengikut jadual ialah SAPK, Sekolah Agama (SA) Parit Kassan; SA Paya Mas; SA Pangkalan Besar dan SA Seri Makmur.

"Berikutan masalah itu, setakat ini hanya SA Bukit Banjar dan SA Bukit Kangkar yang dibina dalam fasa kedua sudah mula digunakan untuk sesi pengajaran dan pembelajaran, manakala yang lain masih belum siap sepenuhnya.

"Ibu bapa amat berharap bangunan yang telah siap dapat diserahkan segera untuk keselesaan anak-anak belajar dan guru-guru melaksanakan pendidikan agama," katanya.

Sementara itu, Rozaini menggesa pihak yang bertanggungjawab dengan pembinaan bangunan baharu berkenaan agar dapat menyiapkan kerja-kerja akhir bagi membolehkan sekolah tersebut dapat digunakan secepat mungkin.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 03 JULAI 2014


27 Jun 2014

TAWAR KURSUS TEKNOLOGI PERUBATAN

NOR ‘ASYIKIN MAT HAYIN


LEDANG - Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Ledang berupaya melahirkan pelajar berkemahiran dalam bidang teknologi perubatan yang memenuhi keperluan industri pada masa kini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, KKTM adalah satu-satunya kolej yang menyediakan kursus tersebut yang akan membantu melonjakkan kemajuan negara.

“Saya harap Majlis Amanah Rakyat (Mara) dapat melakukan usaha melahirkan tenaga manusia bukan hanya dalam bidang vokasional tetapi juga dalam bidang lain yang amat diperlukan oleh pihak industri pada masa kini (teknologi perubatan).

“Kita bukan hanya buat analisa secara mendalam tetapi juga  bekerjasama dengan kementerian  Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dan sektor  lain,” katanya pada sidang media selepas merasmikan kolej berkenaan di Serom 4, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Menteri Miti yang juga Ahli Parlimen Ledang, Datuk Ir Hamim Samuri  dan Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Ahmad.

Beliau berkata, tujuaannya untuk  mengenalpasti tenaga apa yang diperlukan industri dalam negara supaya kokurikulum KKTM dapat diselaraskan disamping melahirkan pelajar berpengetahuan dalam bidang keusahawanan.

Pada majlis itu, beliau turut menyaksikan memorandum persefahaman (MOU) antara KKTM dan Hospital Penawar yang disifatkan akan melonjakan keupayaan lulusan kolej terbabit dengan kemahiran semasa dalam bidang perubatan.

“Saya gembira apabila satu MOU antara KKTM, Mara dengan pihak swasta iaitu Hospital Penawar ditandatangani yang membolehkan pelajar menjalani latihan praktikal di hospital berkenaan.

“Ini satu usaha yang baik kerana dapat meningkatkan upaya mendalami ilmu pengetahuan yang mereka pelajari,” katanya.

Harapan beliau dengan MoU itu akan membantu kerajaan memperkasakan keupayaan Mara melahirkan pelajar berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi perubatan.

SUMBER: SINAR HARIAN, 27 JUN 2014

KEKALKAN TRADISI GOTONG-ROYONG

HAMIM Samuri (tiga dari kiri) turut memasak makanan bersama penduduk sewaktu Program Kembara Insaniah 2014 di Kampung Parit Kassan dekat Bukit Gambir, Ledang, baru-baru ini.

LEDANG 26 Jun - Budaya gotong-royong yang menjadi tradisi penduduk kampung sebelum ini semasa majlis perkahwinan, kematian dan kenduri perlu disemarakkan semula bagi mengukuhkan ikatan kemasyarakatan.

Ahli Parlimen Ledang, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, semangat yang terdapat dalam budaya itu sememangnya menjadi jati diri masyarakat Melayu dan perlu dikekalkan sebagai satu elemen perpaduan.

"Perkara ini sudah sebati dalam jiwa orang Melayu. Golongan muda perlu diterapkan dengan semangat kerjasama dan gotong-royong agar sebati dalam jiwa mereka apabila berada dalam kelompok masyarakat.

"Galakan ini perlu dipupuk sejak usia muda bagi mendedahkan mereka dengan aktiviti kemasyarakatan seterusnya menjadi amalan dalam diri," katanya semasa merasmikan Program Kembara Insaniah 2014 Jabatan Pengangkutan Jalan(JPJ) cawangan Muar di Kampung Parit Kassan, Bukit Gambir dekat sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ketua Cawangan JPJ Muar, Azmil Zainal Adnan; Ketua Kampung Parit Kassan, Mohd. Hamzah Basar dan Ketua Pemuda UMNO Ledang, Sahrihan Jani.

Beliau berkata, penduduk kampung masih memegang tradisi lama iaitu bergotong-royong dalam segenap hal dan pakatan tersebut membentuk satu komuniti yang kuat, sekali gus meringankan setiap kerja yang dilakukan.

Menurutnya, program kembara dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Parit Kassan itu dapat merapat hubungan antara warga JPJ dengan penduduk setempat menerusi gotong-royong serta pengisian aktiviti lain.

Sementara itu, Azmil berkata, program tersebut yang dikelolakan Biro Dakwah JPJ Muar bertujuan mendekatkan golongan muda dengan masjid dan surau yang disertai 200 peserta terdiri daripada warga JPJ Muar, Pemuda UMNO Ledang, ahli Muar Bikers dan Bukit Gambir Bikers serta penduduk kampung.

Beliau berkata, mereka membersihkan masjid, tiga buah surau dan tanah perkuburan Islam Bukit Kundur selain mendengar tazkirah bertajuk 'Peranan Masjid' disampaikan Pegawai Jasa Daerah Ledang, Mohd. Fadli Saat.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 27 JUN 2014


24 Jun 2014

KEMPEN 'KE ARAH LEDANG BEBAS ASAP ROKOK' DILANCAR

Oleh Badrul Kamal Zakaria; Hai Rozzaman Jalal


Ledang: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar semalam berkenan melancarkan kempen `Ke Arah Ledang Bebas Asap Rokok', antara usaha awal bagi mengurangkan risiko penyakit yang berpunca daripada tabiat tidak sihat itu.

Pelancaran disempurnakan sempena program Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2014 yang turut singgah di daerah ini pada hari ketiga semalam. Kempen itu menjadikan Ledang daerah pertama di negeri ini yang melancarkan usaha berterusan membendung gejala negatif terbabit.

Pada majlis di FELDA Bukit Serampang itu, baginda turut menyaksikan demonstrasi memusnahkan rokok menggunakan mesin khas `Cruncher M1' yang biasanya digunakan kastam, selain menceritakan kesan negatif tabiat itu yang boleh menyebabkan barah mulut dan membahayakan kesihatan mereka yang tidak merokok.

Bantu golongan memerlukan

Pada majlis berasingan, dilangsungkan majlis kurniaan bantuan kepada golongan memerlukan yang disempurnakan oleh Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah. Program dimeriahkan dengan persembahan muzik kesenian Jawa dinamakan kempling oleh Perkumpulan Kempling Parit Kassan, Bukit Gambir.

Pengerusi persatuan itu, Muslim Jasmin, berkata beliau bersama ahli kumpulannya berasa bertuah apabila dijemput membuat persembahan kempling pada program itu selepas melakukan persiapan dan latihan sejak dua bulan lalu.

Bagi Pegawai Daerah Ledang, Ab Han Ramin, kehadiran rombongan KMJ 2014 sememangnya dinantikan rakyat daerah ini, selain dapat membantu mempromosi Ledang kepada pengunjung luar selaras hasrat menjadikan kawasan ini sebagai daerah pelancongan.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Seri Lanang, Muhd Nizam Hamzah, 17, pula berkata, dia bersama rakan gembira dapat menatap wajah Sultan Johor dan kerabat diraja dengan lebih dekat selain melihat sendiri kebolehan baginda memandu bas.

Perasaan sama turut dikongsi Aina Madia Mazlan, 18, dari SMK Tengku Temenggong Ahmad, yang mengakui tidak sabar menunggu ketibaan rombongan KMJ sejak minggu lalu.

Sementara itu, lebih 10,000 penduduk sekitar daerah Muar turut menghadiri Karnival KMJ 2014 di Dataran Tanjung Emas, sempena Hari Perbandaran Muar Ke-13 yang diserikan dengan pelbagai program menarik seperti pameran, pertandingan memanjat tembok, perlumbaan motosikal mini, gerai jualan dan pertandingan mengangkat kereta.

SUMBER: BH, 24 JUN 2014

KEMPLINGAN SEMPENA KMJ 2014



KUMPULAN muzik kemplingan membuat persembahan sempena Kembara Mahkota Johor 2014 di tapak Terminal Bas dan Teksi Bukit Gambir, Ledang, Johor, semalam.

LEDANG 23 Jun - Kemplingan iaitu muzik kesenian masyarakat Jawa yang hanya terdapat di daerah ini merupakan antara persembahan istimewa dalam program Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2014 di sini hari ini.

Muzik tersebut dimainkan semasa Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bersama-sama rombongan mencemar duli bertemu rakyat di tapak Terminal Bas dan Teksi Bukit Gambir, sebagai satu destinasi KMJ 2014 di sini.

Persembahan muzik itu dimainkan Perkumpulan Kempling Parit Kassan bersama-sama kumpulan gamelan semasa mengiringi majlis kurniaan bungkusan kepada golongan memerlukan yang disempurnakan Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

Timbalan Pengerusi Perkumpulan Kemplingan Parit Kassan, Mohd. Janis Abu Bakar melahirkan rasa terharu dan bertuah kerana terlibat dalam sambutan yang dibuat dua bulan lalu.

"Walaupun membuat persembahan yang singkat, namun kami tetap teruja apabila dapat memperkenal kesenian masyarakat Jawa kepada orang ramai yang terdiri daripada berbilang bangsa pada KMJ 2014," katanya ketika ditemui.
Mohd. Janis berkata, kumpulannya antara yang masih aktif memelihara kesenian itu di daerah ini dan turut dianggotai golongan muda berharap muzik tradisional berkenaan terus kekal ditelan arus moden.

Sementara itu, Pegawai Daerah Ledang, Ab. Han Ramin berkata, rombongan KMJ 2014 sememangnya amat dinantikan semua lapisan rakyat di sini dan melambangkan kasihnya baginda kepada penduduk Ledang.

Katanya, bertepatan dengan tema kembara iaitu Gaya Hidup Sihat, pentadbiran daerah dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Ledang melancarkan Kempen Ledang Bebas Asap Rokok di Felda Sri Jaya, Bukit Serampang dekat sini.

"Mengambil konsep pengangkutan yang digunakan baginda dalam kembara ini, kami turut menyediakan beberapa perkhidmatan bergerak disediakan agensi kerajaan merangkumi kesihatan, keselamatan dan perkhidmatan perhubungan yang membolehkan penduduk setempat mendapatkan perkhidmatan," katanya.

Ab. Han berkata, program KMJ 2014 itu sedikit-sebanyak dapat mempromosikan kawasan tersebut kepada pengunjung luar selaras dengan hasrat untuk merealisasikan daerah Ledang sebagai daerah pelancongan.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 24 JUN 2014