LEDANG 14 Julai - Kegembiraan menyambut Syawal tidak lama lagi jelas
kelihatan bagi 20 penerima Program Ziarah Aspirasi Ramadan 2014 yang
mendapat sumbangan Hari Raya Aidilfitri daripada Pemuda UMNO Bahagian
Ledang.
Mereka terharu dengan program anjuran pergerakan itu yang disampaikan
terus dari rumah ke rumah, sekali gus melihat sendiri kesusahan
penerima termasuk orang kurang upaya (OKU).
Esni Sarkinin, 50, bapa kepada Mohd. Zainol Hanif, 22, berterima
kasih kepada Pemuda UMNO Bahagian Ledang yang sanggup turun padang
menyampaikan sumbangan walaupun anaknya itu ada menerima bantuan Jabatan
Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Anak lelaki saya menghidap penyakit sawan dan dikategorikan OKU. Dia
ada menerima bantuan bulanan daripada JKM dan usaha Pemuda memberikan
sumbangan sempena bulan Ramadan amat kami hargai.
"Belum ada mana-mana pihak menghulurkan sumbangan sebagaimana
dilakukan Pemuda UMNO Bahagian Ledang dan kami sekeluarga amat terharu
dengan pemberian ini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung
Parit Kassan dekat Bukit Gambir di sini baru-baru ini.
Sementara itu, Ketua pergerakan itu, Sahrihan Jani berkata, seramai
20 pemuda kurang berkemampuan dan tidak bernasib baik dipilih dari 13
cawangan UMNO di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir dan Tangkak untuk
menerima bantuan itu.
Jelasnya, program yang julung kalinya diadakan itu diselaraskan Biro
Kebajikan Pemuda UMNO Bahagian Ledang, bertujuan merapatkan silaturahim
antara kepimpinan pergerakan tersebut dengan ahli di peringkat akar
umbi, selain menziarahi dan menyelami kesusahan mereka yang kurang
bernasib baik.
"Kami mendapatkan maklumat golongan pemuda yang perlu dibantu
menerusi Ketua Pemuda cawangan manakala pengagihan sumbangan
diselaraskan Biro Kebajikan bahagian yang dipengerusikan Jamaludin
Mustafa. Sumbangan keperluan harian ini tidak seberapa, namun diharap
dapat meringankan beban mereka," katanya.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 15 JULAI 2014
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 15 JULAI 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan