TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

17 Disember 2016

PERLU LEBIH KREATIF KOMERSIALKAN PRODUK

Ir. Hamim Samuri
 
TANGKAK - Penduduk kampung di daerah ini digalakkan agar lebih kreatif dalam menghasilkan produk komersil yang bernilai tinggi bagi menambah pendapatan mereka.

Ahli Parlimen Ledang, Datuk Ir Hamim Samuri berkata, ini selaras dengan usaha kerajaan untuk membangunkan daerah terbabit.

"Penduduk kampung perlu memikirkan produk-produk yang mempunyai daya saing agar ia mampu berkembang dan bertahan lama, tidak kiralah berbentuk barangan, perkhidmatan, makanan, pelancongan dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Riuh Sekampung 2 di Sagil Parit Tiga, di sini hari ini.

Hamim yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata, kerajaan telah menyediakan pelbagai prasarana untuk membantu masyarakat kampung mencapai matlamat terbabit namun ia tidak bermakna jika tiada sambutan dan penyertaan daripada masyarakat.

"Saya fikir mereka (penduduk kampung) tidak mempunyai masalah dari segi modal kerana agensi berkaitan menyediakan peruntukan tertentu...yang hanya perlu dilakukan ialah masyarakat perlu kreatif dan mempunyai keinginan untuk berusaha memulakannya terlebih dahulu," katanya.

Hamim berkata, pembangunan projek tanaman herba kacip fatimah yang sedang giat dijalankan di Tangkak adalah satu contoh kepada pembangunan produk komersil itu.

Menurutnya, biarpun tanaman tersebut pada masa ini hanya dibangunkan di atas tanah seluas 0.8 hektar melibatkan beberapa peladang namun dalam perancangan, ia bakal diperluaskan secara berperingkat sehingga kawasannya menjadi empat hektar.

Justeru, beliau berharap lebih banyak lagi usaha sebegini dilakukan penduduk setempat supaya dapat menambah pendapatan mereka. - Bernama
 
SUMBER: SINAR HARIAN ONLINE 17 DISEMBER 2016

01 Mei 2016

TANGKAK DIISYTIHAR SEBAGAI DAERAH PELANCONGAN

TANGKAK: Tangkak diisytihar sebagai daerah pelancongan, malam tadi, sejajar hala tuju kerajaan Johor dan Pelan Induk Perancangan Negeri Johor 2016-2020 untuk menjadikan sektor pelancongan sebagai penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi di daerah itu. 

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Ir Hamim Samuri, berkata Tangkak bertuah kerana dianugerahkan keindahan alam semulajadi yang sering menjadi tumpuan pelancong, khususnya Gunung Ledang yang kaya dengan pelbagai flora dan fauna. 

"Sebagai langkah awal, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar bersetuju menyalurkan peruntukan berjumlah RM200,000 untuk mewujudkan taman mini ajaib di sebelah Masjid Tangkak dan peruntukan memperindahkan landskap kawasan Tol Tangkak dengan spesies tumbuhan Gunung Ledang manakala Tol Bukit Gambir akan dihiasi tumbuhan hutan negeri Johor bernilai RM800,000.

"Di samping itu, peruntukan sebanyak RM200,00 diluluskan bagi membina skrin elektronik di Dataran Ledang bagi kemudahan penduduk Tangkak menonton perlawanan pasukan bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT)," katanya. 

Beliau berkata demikian berucap pada majlis pelancaran daerah Tangkak sebagai daerah pelancongan dan Pelan Pembangunan Strategik Majlis Daerah Tangkak 2016-2020 sempena program Semarak Johor Tangkak 2016 di Dataran Ledang, di sini malam tadi. 

Program Semarak Johor Tangkak 2016 adalah anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bertujuan mewujudkan perpaduan antara masyarakat berbilang kaum di negara ini. 

Turut dilancarkan serentak ialah buku mewah bertajuk 'Biodiversity of Gunung Ledang-Mountaineering the Nature' yang dihasilkan Kementerian Sumber Asli Dan Alam Sekitar. 

Hamim yang juga anggota Parlimen Ledang berkata, terdapat 22 produk pelancongan lama dan baharu dikenal pasti dalam draf Rancangan Tempatan Daerah Tangkak 2016-2020 dan hasil kajian tersebut menyasarkan sektor pelancongan sebagai sektor utama yang bakal memacu ekonomi daerah berkenaan. 

Beliau berkata, antara produk berkenaan adalah penanaman padi di Sawah Ring, perusahaan cendawan, memancing udang galah di Sungai Muar, tanaman sayuran di seluruh daerah Tangkak, pelbagai kebudayaan serta pusat tekstil dan pakaian di bandar Tangkak. 

"Peluang ini mestilah direbut dan digunakan dengan sebaiknya oleh penduduk Tangkak kerana sektor pelancongan sebenarnya mampu menjana pulangan lebih lumayan.

"Industri pelancongan juga boleh mewujudkan peluang pekerjaan kepada belia umpamanya dalam bidang perhotelan, pengangkutan, perusahaan ringan dan bidang lain yang berkaitan dengan sektor pelancongan," katanya. 

Mengikut Hamim, dalam keghairahan mengaut keuntungan sektor pelancongan, aspek pemuliharaan alam sekitar perlu diambil berat supaya anugerah yang tidak ternilai di Tangkak itu dapat mendatangkan manfaat berganda kepada semua pihak. 

Katanya, kerajaan persekutuan dan kerajaan Johor juga akan memberi penekanan dalam meningkatkan kedatangan pelancong dari dalam mahupun luar negara. 

"Untuk masa hadapan, beberapa tarikan baharu akan dibina di Tangkak antaranya ialah litar perlumbaan di Gerisik dan pusat pameran perabot bagi menambah tarikan di daerah ini," katanya. - BERNAMA

SUMBER : http://www.bharian.com.my/node/149203

20 Mac 2016

PERSEMBAHAN KUMPULAN KEMPLING KONTEMPORARI DAERAH TANGKAK 2016


KUMPULAN KEMPLING KONTEMPORARI DAERAH TANGKAK 2016
 
Gabungan ahli Perkumpulan Kempling Parit Kassan Ledang dan Persatuan Warisan Seni Ledang (PEWANIL) yang menggabungkan seni muzik tradisional dan muzik kontemporari. Ia adalah inisiatif Penyelaras Kebudayaan dan Kesenian Daerah Tangkak dan Pejabat Daerah Tangkak serta Majlis Daerah Tangkak untuk mempromosi kesenian kempling dalam Pelancongan Daerah Tangkak.

02 Mac 2016

PENDUDUK KESAL RISALAH TILIK NASIB, JUDI DIEDAR KE RUMAH

Penduduk kesal risalah tilik nasib, judi diedar ke rumah
Risalah tilik nasib dan judi diselitkan di pintu pagar rumah penduduk di beberapa kampung sekitar Bukit Gambir
 
TANGKAK - Penduduk beberapa kampung di sekitar Bukit Gambir, di sini, kesal tindakan tidak bertanggungjawab individu yang mengedarkan risalah berbentuk perjudian ke rumah mereka.

Risalah itu memaparkan gambar Angkor Wat dan tiket pembelian judi sebuah syarikat perjudian dan salinan cek yang kononnya memenangi perjudian.

Selain itu, turut disertakan dua nombor telefon bimbit dan alamat lengkap berpangkalan di Rantau Panjang, Kelantan, bagi memudahkan orang ramai berhubung.

Penduduk Kampung Parit Bunga Raya Hujung, Mohd Ghazali Ali, 46, berkata, ketika hendak keluar ke pekan bersama isterinya kira-kira jam 10 pagi, dia terlihat ada kertas putih diselitkan di beranda rumahnya.

Menurutnya, pada mulanya, dia menyangka ia bil elektrik atau air yang diletakkan di situ.

Namun katanya, selepas melihatnya, dia terkejut mendapati kertas berkenaan risalah yang mengajak orang ramai berjudi.

“Saya tak tahu siapa letak risalah tu. Apabila saya tanya penduduk kampung, mereka pun dapat risalah sama yang diselitkan di pintu atau tingkap rumah penduduk.

“Ada yang terlihat beberapa individu tak dikenali berjalan kaki dari rumah ke rumah mengedarkan risalah tersebut. Beberapa kampung berhampiran seperti Parit Kassan, Parit Bunga Raya Luar dan Parit Pulai juga menjadi sasaran individu terbabit,” katanya di sini, semalam.

Mohd Ghazali kesal dengan pengedaran risalah itu yang seolah-olah mengajak umat Islam tinggal di kampung berjudi, yang ditegah agama.

Seorang warga emas di Kampung Parit Kassan, Bariah Taib, 74, berkata, ketika membersihkan halaman rumah pada sebelah petang, dia terlihat kertas yang diselitkan di pintu pagar beranda rumahnya.

Menurutnya, biasanya, kad jemputan atau bil utiliti yang diselitkan di situ tetapi apabila diberitahu anaknya ia risalah yang mengajak orang kampung berjudi, dia terkejut.

“Orang itu tidak sepatutnya mengedarkan risalah tersebut di kawasan kampung yang penduduknya beragama Islam. Mereka perlu sensitif dengan perasaan orang Islam,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Parit Pulai, Mohd Som Leman berkata, kegiatan mengedarkan risalah tersebut turut berlaku di kampungnya.

Menurutnya, perbuatan tidak bertanggungjawab itu perlu dibanteras terutama dalang yang mengedarkan risalah itu ke rumah penduduk.

“Masyarakat kampung kesal dengan perbuatan itu dan bertambah gusar apabila pengaruh menggalakkan orang ramai berjudi telah sampai ke pintu rumah penduduk.

“Kami bimbang ia mempengaruhi generasi muda terlibat judi. Perbuatan individu terbabit juga tidak menjaga perasaan dan sensitiviti masyarakat Islam di kampung,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 02 MAC 2016

10 Januari 2016

PENDEKATAN BERDAKWAH YANG BAIK DAPAT MANTAPKAN IMAN - HAMIM



Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Ir Hamim Samuri (tengah) menandatangani plak perasmian Program Komuniti Aktif anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) sambil disaksikan Eksekutif Kanan YADIM Zon Selatan, Muhamad Ammar Abdullah (dua kiri) di Dewan Serbaguna Bukit Gambir, Tangkak.


Tangkak: Tugas berdakwah dengan pendekatan yang menarik dan betul mampu memantapkan keimanan selain dapat menarik minat bukan Islam menghayati dan mendalami agama Islam.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Ir Hamim Samuri, berkata pendekatan berdakwah yang baik dapat memantapkan keimanan seseorang dengan memberikan kefahaman secara terus atau tidak langsung kepada mereka yang kurang memahami sesuatu berkaitan agama Islam.

Katanya, tugas dakwah itu dapat memperbaiki kesempurnaan agama setiap individu yang sebenarnya masih belum sempurna sepenuhnya dan memerlukan bimbingan serta kefahaman yang menyeluruh daripada mereka yang lebih mahir.

“Pendakwah juga perlu mempamerkan cara hidup Islam yang sebenar kepada mereka yang belum memeluk Islam dengan menunjukkan kehidupan yang menarik berpandukan ajaran agama yang dijelaskan dalam al-Quran dan Sunnah.

“Apabila kita wujudkan cara hidup yang menarik serta mempamerkan kehidupan Islam sebenar, lama kelamaan mereka (bukan Islam) akan tertarik dengan Islam,” katanya ketika merasmikan Program Komuniti Aktif anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dengan kerjasama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Ledang dan Pejabat Kesihatan Daerah Tangkak di Dewan Serbaguna Bukit Gambir, di sini, semalam.

Hadir sama, Eksekutif Kanan YADIM Zon Selatan, Muhamad Ammar Abdullah dan Penghulu Mukim Kundang, Jamaluddin Jamil selaku wakil rasmi Pegawai Daerah Tangkak.

Hamim yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata, YADIM perlu membuat satu panduan bagi membolehkan pendakwah yang dilatih mereka dapat menyampaikan dakwah atau ceramah agama dengan lebih berkesan dan sampai kepada sasarannya.

Katanya, YADIM perlu menggabungkan pakar-pakar dalam bidang alam sekitar, ekonomi, kesihatan dan lain-lain dalam menyampaikan dakwah Islamiah dengan lebih berkesan supaya Islam di negara ini dipandang tinggi oleh pihak lain.

Sementara itu, Muhamad Ammar berkata, YADIM melatih 100 tenaga muda setiap tahun sejak 2014 di bawah program Felo Muda Dakwah untuk menjadi tenaga dakwah supaya tidak bergantung kepada guru atau ustaz semata-mata dalam menyebarkan syiar Islam.
MUHAMAD AMMAR

Katanya, mereka terdiri daripada pelajar daripada institusi pengajian tinggi tempatan yang mengambil jurusan berkaitan Islam dilatih selama enam bulan menjalankan tugas-tugas dakwah di bawah bimbingan YADIM.
  

“Pelajar yang menyertai program Felo Muda Dakwah ini dilatih melaksanakan kerja berdakwah berdasarkan ilmu dan keyakinan diri mereka dengan bimbingan YADIM kepada orang ramai.

“Program Komuniti Aktif yang dianjurkan hari ini bertemakan Ke Arah Komuniti Sihat Dengan Sunnah dalam usaha mengajak dan mewujudkan masyarakat setempat menjalankan aktiviti sihat berpandukan kaedah kesihatan dalam Islam,” katanya.

Muhamad Ammar berkata, antara aktiviti yang dijalankan sempena program itu ialah senaman secara teori dan praktikal yang dikendalikan oleh Ketua Jurulatih 10Kg 10Week, Mohd Sufian Sulaiman dari Kementerian Kesihatan yang disertai golongan muda dan dewasa.

Katanya, pameran gaya hidup sihat dan pemeriksaan kesihatan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Tangkak turut diadakan selain tazkirah disampaikan Felo Muda Dakwah YADIM, Syakir Abdul Azam.

[INFOLEDANG|2016]

09 Januari 2016

7 SEKELUARGA DAPAT KEDIAMAN BARU

Rumah lama dan baru yang didiami keluarga Abu Bakar Pardan dan Rotisah Kaulani di Kampung Konggo, Sagil, Tangkak. -INFOLEDANG

Tangkak: “Saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu hingga dapat menikmati kehidupan di rumah baru yang lebih selesa,” kata Rotisah Kaulani (gambar) yang menerima sebuah rumah baru dibina secara gotong-royong di Kampung Konggo, Sagil, di sini.
Sebelum ini, Rotisah, 43, tinggal bersama suaminya, Abu Bakar Pardan, 46 dan lima orang anak mereka berusia antara 17 hingga 2 ½ tahun di rumah yang uzur dan kurang selesa berikutan pernah ditimpa bencana ribut.

Katanya, dia sekeluarga tinggal di rumah itu yang asalnya didiami ibu bapanya sejak 17 tahun lalu namun keadaannya kurang selesa berikutan kejadian ribut yang turut menimpa rumahnya pertengahan tahun lepas.

“Saya dan suami tidak mampu untuk membina kediaman baru dan terpaksa tinggal di rumah lama yang kurang selesa. Pendapatan pun tidak seberapa untuk menyara perbelanjaan harian dan persekolahan anak-anak.

“Pendapatan saya bekerja mencucuk sate hanya RM200 seminggu. Kalau banyak tempahan, dapat lebih dan suami yang bekerja sebagai buruh di sebuah kilang sawit di Tangkak menerima gaji RM900 sebulan,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan kediaman itu yang disempurnakan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Hamim Samuri, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sagil, Datuk Md Ismail Hamdan; Ketua UMNO Cawangan Kampung Konggo, Abd Razak Rapon dan Ketua Kampung Sagil Parit Satu dan Konggo, Senen Kadong.

Abu Bakar pula melahirkan kesyukuran dan terima kasih kepada Hamim yang juga Ahli Parlimen Ledang serta pihak penyumbang dan penduduk kampung yang membantu beliau sekeluarga mendapatkan sebuah kediaman yang selesa.

Sementara itu, Md Ismail berkata, pembinaan rumah berukuran 20 kaki x 30 kaki itu dilaksanakan berkonsepkan gotong-royong dari segi penyediaan bahan binaan dan kerja membinanya .

Katanya, kos pembinaan rumah itu menelan belanja kira-kira RM35,000 yang dimulakan Jun 2015 dan siap pada akhir tahun lepas yang meliputi tiga bilik tidur dan dua bilik air.

“Pembinaan rumah ini bukan projek daripada peruntukan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) tetapi dibina hasil sumbangan bahan binaan oleh Hamim, DMH Resourses, Asri Agro Ledang dan beberapa individu lain malah ia dibina berkonsepkan gotong-royong.

“Bentuk rumah ini seperti rumah PPRT namun ia sebenarnya dibina secara gotong-royong yang melibatkan penduduk kampung seperti Jawatankuasa Pemuda dan UMNO Cawangan dalam Zon Sagil serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sagil Parit 1 dan Konggo yang mahir dalam pertukangan,” katanya.

Hamim yang juga Ketua UMNO Bahagian Ledang pula berkata, beliau bersimpati dengan keadaan rumah milik keluarga itu yang uzur  selepas ditimpa bencana ribut dan mencadangkan supaya ia dibuat yang baru.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Ir Hamim Samuri (empat kiri) bersama Pengerusi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sagil, Datuk Md Ismail Hamdan (tiga kiri) bergambar bersama keluarga Abu Bakar Pardan (lima kanan) di Kampung Konggo, Sagil dekat Tangkak.-INFOLEDANG

Katanya, pembinaan rumah itu dibuat berkonsepkan gotong-royong yang boleh disertai semua pihak dengan menyumbangkan bahan binaan dan tenaga kerja.

“Setiap masyarakat di kampung ini mempunyai peranan masing-masing dan melalui konsep gotong-royong ini dapat membantu sebuah keluarga memiliki kediaman yang lebih selesa.

“Mudah-mudahan penglibatan semua pihak dan masyarakat membantu keluarga yang berada dalam kesusahan akan mendapat keberkatan hasil kerjasama dan semangat bergotong-royong yang masih kukuh,” katanya.-INFOLEDANG

01 Januari 2016

TNB SUMBANG PAKAIAN DAN PERALATAN SEKOLAH KEPADA 200 MURID DALAM PARLIMEN LEDANG


Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Hamim Samuri (kanan) menyampaikan sumbangan kelengkapan persekolahan sambil disaksikan Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB) Johor, Mohd Yusof Ibrahim (dua kanan) pada Program Sumbangan Pakaian Sekolah oleh TNB, Membara Kembali Ke Sekolah Parlimen Ledang dan Anugerah Kecemerlangan UPSR Straight A di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak. -INFOLEDANG

Sebahagian penerima sumbangan kelengkapan persekolahan dan anugerah kecemerlangan UPSR bergambar ramai selepas Program Sumbangan Pakaian Sekolah oleh TNB, Membara Kembali Ke Sekolah Parlimen Ledang dan Anugerah Kecemerlangan UPSR Straight A di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak.-INFOLEDANG


Tangkak: Seramai 200 murid sekolah rendah dalam Parlimen Ledang menerima sumbangan pakaian dan peralatan sekolah menjelang sesi persekolahan 2016 yang akan bermula Ahad ini.

Mereka menerima set kelengkapan persekolahan yang mengandungi sepersalinan pakaian seragam sekolah, sepasang kasut dan stokin serta sebuah beg sekolah.

Sumbangan itu sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada golongan kurang berkemampuan bagi meringankan beban kewangan yang ditanggung ibu bapa mereka dalam menyediakan kelengkapan persekolahan.

Pengurus Besar TNB Johor, Mohd Yusof Ibrahim, berkata penyampaian sumbangan itu salah satu inisiatif TNB membantu masyarakat dalam bidang pendidikan khususnya golongan asnaf dan kurang berkemampuan berusia 7 hingga 12 tahun.

Katanya, ia selaras dengan objektif TNB untuk membantu anak-anak dapat belajar dalam keadaan selesa dan suasana yang kondusif selain dapat menyuntik semangat mereka belajar serta fokus dalam pelajaran.

“TNB amat memahami kekangan kewangan yang dihadapi golongan berkenaan dalam mempersiapkan kelengkapan persekolahan anak-anak terutama kepada keluarga mempunyai anak yang ramai.

“Program di Parlimen Ledang ini merupakan yang ketiga diadakan di negeri ini. Sebelum ini ia diadakan di Parlimen Tebrau dan Tanjung Piai. TNB turut melaksanakan program ini di lapan buah negeri dengan sasaran 4,000 orang penerima,” katanya ketika berucap pada Program Sumbangan Pakaian Sekolah oleh TNB, Membara Kembali Ke Sekolah Parlimen Ledang dan Anugerah Kecemerlangan UPSR Straight A di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini, semalam.

Program anjuran Biro Pendidikan UMNO Bahagian Ledang dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tangkak dan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Parlimen Ledang itu dirasmikan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Hamim Samuri.

Hadir sama, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ledang, Datuk Abdul Rahim Talib; Pengarah JASA Johor, Mohammad Abu Bakar; Penolong PPD Tangkak, Roslan Ahmad dan Pengerusi Biro Pendidikan, Subri Sumirin.

Subri pula berkata, selain 200 penerima sumbangan kelengkapan persekolahan daripada TNB, seramai 200 murid lagi menerima sebuah beg sekolah sumbangan UMNO Malaysia manakala 150 penerima Anugerah Kecemerlangan UPSR 2015 Straight A terdiri daripada 108 (Sekolah Kebangsaan), 40 (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina) dan 2 (Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil) menerima RM100 dan sijil.

Sementara itu, Hamim yang juga Ketua UMNO Bahagian Ledang berharap penerima sumbangan dapat memanfaatkan bantuan berkenaan dengan belajar bersungguh-sungguh serta memberi tumpuan terhadap pelajaran kerana ia penting untuk kehidupan pada masa akan datang.

Katanya, banyak bantuan yang diberikan kepada pelajar sekolah yang akan memulakan sesi persekolahan sama ada sumbangan daripada syarikat korporat, Baitulmal atau badan bukan kerajaan (NGO) kepada pelajar dari golongan keluarga kurang berkemampuan termasuk Bantuan Awal Persekolahan RM100 kepada mereka yang disenarai dalam e-Kasih.

“Kami berharap pelajar yang menerima sumbangan ini dapat belajar dengan lebih selesa dan sentiasa mengekalkan prestasi yang baik dan cemerlang dalam pelajaran,” katanya yang juga Ahli Parlimen Ledang.

Penerima sumbangan TNB, Ammar Reza Rosli, 11, bersyukur dengan bantuan yang diberikan oleh syarikat korporat itu kerana ia dapat meringankan beban ibunya dalam menyediakan kelengkapan persekolahan.

Murid Tahun 6 Sekolah Kebangsaan Sengkang dekat Bukit Gambir itu teruja untuk memulakan sesi persekolahan baru Ahad ini dan akan belajar bersungguh-sungguh untuk menghadapi peperiksaan UPSR tahun ini. -INFOLEDANG