PENGUNJUNG SETIA

01 Januari 2016

TNB SUMBANG PAKAIAN DAN PERALATAN SEKOLAH KEPADA 200 MURID DALAM PARLIMEN LEDANG


Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Hamim Samuri (kanan) menyampaikan sumbangan kelengkapan persekolahan sambil disaksikan Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB) Johor, Mohd Yusof Ibrahim (dua kanan) pada Program Sumbangan Pakaian Sekolah oleh TNB, Membara Kembali Ke Sekolah Parlimen Ledang dan Anugerah Kecemerlangan UPSR Straight A di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak. -INFOLEDANG

Sebahagian penerima sumbangan kelengkapan persekolahan dan anugerah kecemerlangan UPSR bergambar ramai selepas Program Sumbangan Pakaian Sekolah oleh TNB, Membara Kembali Ke Sekolah Parlimen Ledang dan Anugerah Kecemerlangan UPSR Straight A di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak.-INFOLEDANG


Tangkak: Seramai 200 murid sekolah rendah dalam Parlimen Ledang menerima sumbangan pakaian dan peralatan sekolah menjelang sesi persekolahan 2016 yang akan bermula Ahad ini.

Mereka menerima set kelengkapan persekolahan yang mengandungi sepersalinan pakaian seragam sekolah, sepasang kasut dan stokin serta sebuah beg sekolah.

Sumbangan itu sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada golongan kurang berkemampuan bagi meringankan beban kewangan yang ditanggung ibu bapa mereka dalam menyediakan kelengkapan persekolahan.

Pengurus Besar TNB Johor, Mohd Yusof Ibrahim, berkata penyampaian sumbangan itu salah satu inisiatif TNB membantu masyarakat dalam bidang pendidikan khususnya golongan asnaf dan kurang berkemampuan berusia 7 hingga 12 tahun.

Katanya, ia selaras dengan objektif TNB untuk membantu anak-anak dapat belajar dalam keadaan selesa dan suasana yang kondusif selain dapat menyuntik semangat mereka belajar serta fokus dalam pelajaran.

“TNB amat memahami kekangan kewangan yang dihadapi golongan berkenaan dalam mempersiapkan kelengkapan persekolahan anak-anak terutama kepada keluarga mempunyai anak yang ramai.

“Program di Parlimen Ledang ini merupakan yang ketiga diadakan di negeri ini. Sebelum ini ia diadakan di Parlimen Tebrau dan Tanjung Piai. TNB turut melaksanakan program ini di lapan buah negeri dengan sasaran 4,000 orang penerima,” katanya ketika berucap pada Program Sumbangan Pakaian Sekolah oleh TNB, Membara Kembali Ke Sekolah Parlimen Ledang dan Anugerah Kecemerlangan UPSR Straight A di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini, semalam.

Program anjuran Biro Pendidikan UMNO Bahagian Ledang dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tangkak dan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Parlimen Ledang itu dirasmikan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Hamim Samuri.

Hadir sama, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ledang, Datuk Abdul Rahim Talib; Pengarah JASA Johor, Mohammad Abu Bakar; Penolong PPD Tangkak, Roslan Ahmad dan Pengerusi Biro Pendidikan, Subri Sumirin.

Subri pula berkata, selain 200 penerima sumbangan kelengkapan persekolahan daripada TNB, seramai 200 murid lagi menerima sebuah beg sekolah sumbangan UMNO Malaysia manakala 150 penerima Anugerah Kecemerlangan UPSR 2015 Straight A terdiri daripada 108 (Sekolah Kebangsaan), 40 (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina) dan 2 (Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil) menerima RM100 dan sijil.

Sementara itu, Hamim yang juga Ketua UMNO Bahagian Ledang berharap penerima sumbangan dapat memanfaatkan bantuan berkenaan dengan belajar bersungguh-sungguh serta memberi tumpuan terhadap pelajaran kerana ia penting untuk kehidupan pada masa akan datang.

Katanya, banyak bantuan yang diberikan kepada pelajar sekolah yang akan memulakan sesi persekolahan sama ada sumbangan daripada syarikat korporat, Baitulmal atau badan bukan kerajaan (NGO) kepada pelajar dari golongan keluarga kurang berkemampuan termasuk Bantuan Awal Persekolahan RM100 kepada mereka yang disenarai dalam e-Kasih.

“Kami berharap pelajar yang menerima sumbangan ini dapat belajar dengan lebih selesa dan sentiasa mengekalkan prestasi yang baik dan cemerlang dalam pelajaran,” katanya yang juga Ahli Parlimen Ledang.

Penerima sumbangan TNB, Ammar Reza Rosli, 11, bersyukur dengan bantuan yang diberikan oleh syarikat korporat itu kerana ia dapat meringankan beban ibunya dalam menyediakan kelengkapan persekolahan.

Murid Tahun 6 Sekolah Kebangsaan Sengkang dekat Bukit Gambir itu teruja untuk memulakan sesi persekolahan baru Ahad ini dan akan belajar bersungguh-sungguh untuk menghadapi peperiksaan UPSR tahun ini. -INFOLEDANG

Tiada ulasan: