PENGUNJUNG SETIA

29 Julai 2019

PAMERAN KEAGUNGAN RASULULLAH: LAHIRKAN RASA CINTA KEPADA NABI MUHAMMAD SAW

Imam Besar Daerah Tangkak, Afifi Mohamed Derapar (duduk tengah, tiga dari kanan) bergambar bersama tetamu dan pelajar sekolah yang hadir pada perasmian Seribu Kasih Junjungan - Pameran Keagungan Rasulullah dan Pelancaran Buku 60 Kisah Teladan Ummah Karya Mustaffa Siraj di Perbadanan Perpustakaan Awam Johor (PPAJ) Cawangan Tangkak.

TANGKAK: Umat Islam yang cintakan Nabi Muhammad SAW perlu memperbanyakkan berselawat kepada baginda bagi menunjukkan rasa kasih walaupun tidak pernah berjumpa dengannya.

Imam Besar Daerah Tangkak, Afifi Mohamed Derapar berkata, menerusi amalan berselawat yang dilakukan setiap hari, Malaikat akan menyampaikannya kepada Rasulullah bahawa umatnya sudah berselawat ke atas baginda.

Katanya, sesiapa yang banyak berselawat kepada Rasulullah pastinya ia menjadi tanda kecintaan dan kasih sayang terhadap baginda.

“Semakin banyak kita berselawat, semakin tinggi rasa kasih kita kepada Rasulullah sebagai insan yang paling diagungkan.

 AFIFI (tengah) menandatangani poster sebagai gimik perasmian Seribu Kasih Junjungan - Pameran Keagungan Rasulullah dan Pelancaran Buku 60 Kisah Teladan Ummah Karya Mustaffa Siraj disaksikan Md Ishak (kiri) dan Mohd Isnin (kanan) di Perbadanan Perpustakaan Awam Johor (PPAJ) Cawangan Tangkak.

“Berdasarkan kajian, Rasulullah diletakkan sebagai orang nombor satu yang tiada tolok bandingnya bukan saja oleh umat Islam malah diakui oleh orang bukan Islam pada zaman ini,” katanya pada majlis perasmian Seribu Kasih Junjungan - Pameran Keagungan Rasulullah dan Pelancaran Buku 60 Kisah Teladan Ummah Karya Mustaffa Siraj di Perbadanan Perpustakaan Awam Johor (PPAJ) Cawangan Tangkak, di sini.

Afifi (kiri) menandatangani poster sebagai gimik pelancaran buku 60 Kisah Teladan Ummah disaksikan Mohd Isnin (tengah) dan Mustaffa (kanan).
 
Program anjuran Komuniti Buku Karya Johor (KBKJ), PPAJ Tangkak dan Pejabat Pendidikan Daerah Tangkak itu turut dihadiri Penasihat KBKJ, Md Ishak Abd Rahman dan Dr Amida Abdul Hamid; Pengerusi KBKJ, Mohd Isnin Tawaf; Ikon Membaca KBKJ, Syed Indra Syed Omar (Siso Kopratasa); Penulis, Mustaffa Siraj dan Ketua PPAJ Tangkak, Asmaizura Hassan.

Mohd Isnin (kiri) menyampaikan sumbangan buku dari Komuniti Buku Karya Johor kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sagil Kampung, Abdul Ghani Ibrahim.
 
Afifi berkata  usaha menganjurkan pameran yang berkaitan dengan Rasulullah tidak boleh dianggap kecil kerana walaupun nampak kecil tetapi ia adalah besar di sisi Allah.

Katanya, apa juga sunah Nabi akan membawa kepada kejayaan dan umat Islam perlu banyak bersyukur serta dapat menatijahkan hidup mereka semoga sentiasa berada dalam ajaran Islam  pada landasan yang benar.

Antara bahan bacaan dan keratan akhbar yang dipamerkan dalam Pameran Keagungan Rasulullah yang bermula dari 28 Julai hingga 25 Ogos 2019 di PPAJ Cawangan Tangkak.

Sementara itu, Md Ishak berkata, pameran Keagungan Rasulullah diadakan di PPAJ Tangkak bermula 28 Julai hingga 25 Ogos ini yang mempamerkan bahan-bahan bacaan seperti puisi, buku, ilustrasi dan keratan akhbar berkaitan Nabi Muhammad SAW.

Katanya, pameran bahan-bahan bacaan yang diadakan itu sesuai dengan seruan dan saranan untuk menggalakkan masyarakat membaca untuk menambah ilmu pengetahuan dalam apa juga bidang. - INFOLEDANG

24 Julai 2019

SANTUNI MASYARAKAT ORANG ASLI AIR TAWAS

 ANAK masyarakat Orang Asli Air Tawas mengikuti program Mewarna Kaedah Uneh.

Ahmad Ismail
metahad@hmetro.com.my

WALAUPUN perkampungan mereka berada di pedalaman dan terpisah daripada kehidupan di pekan serta desa, tidak bermakna mereka perlu dipinggirkan hanya kerana perbezaan agama atau kaum.

Untuk sampai ke perkampungan Orang Asli Air Tawas di kaki Gunung Ledang perlu menempuh ladang sawit lebih 10 kilometer dari jalan utama Sagil - Tangkak, Johor.

Namun kesukaran yang pernah ditempuhi satu ketika dahulu kini tidak lagi membelenggu mereka yang ingin ke perkampungan itu berikutan keseluruhan jalan masuk dari jalan utama ke kampung itu sudah ditar untuk memudahkan perjalanan.

Sehubungan itu, Komuniti Buku Karya Johor (KBKJ) menyantuni masyarakat Orang Asli Air Tawas dengan menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian dan pakaian selain mengadakan aktiviti membaca serta mewarna.


Pengerusi KBKJ, Mohd Isnin Tawaf berkata, kunjungan ke perkampungan itu bertujuan memberikan mereka sedikit keceriaan walaupun hanya beberapa jam bersama menerusi aktiviti yang diadakan.

Katanya, pihak KBKJ rasa terpanggil untuk mengisi jurang yang tidak sepatutnya dipisahkan berikutan perbezaan agama dan kaum termasuk tinggal di pedalaman.

Menurutnya, KBKJ bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan individu bersama-sama menyantuni mereka serta memberikan sumbangan berdasarkan kemampuan masing-masing.

“Kita mungkin tidak mampu memberi kebahagiaan kepada keseluruhan hidup mereka sepanjang masa. Tetapi, kita cuma mampu memberi mereka sedikit keceriaan walaupun hanya beberapa jam saja dalam hidup mereka.

“Selain penyampaian sumbangan kepada 30 keluarga berupa beras, kuih, air mineral dan pakaian, setiap kanak-kanak turut menerima duit raya sumbangan penulis Zety Natalia Elias,” katanya ditemui pada Program Silaturahim Syawal dan Program Buku Bersama Komuniti di Balai Raya Kampung Orang Asli Air Tawas, Gunung Ledang dekat Tangkak, baru-baru ini.

Hadir sama, Tok Batin Mengek Achai, Ikon Membaca KBKJ, Syed Indera Syed Omar (Siso Kopratasa), Pengerusi Sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Tangkak, Hussein Mujip dan mantan Ketua Kampung Paya Mas, Abdul Karim Latip.

Mohd Isnin berkata, dalam Program Buku Bersama Komuniti pula diadakan aktiviti untuk kanak-kanak iaitu membaca buku dan bercerita serta mewarna bersama Hasren Ismail yang lebih dikenali sebagai Uneh Raja Pensil Warna.
 
MOHD Isnin (depan empat dari kiri) dan Mengek (duduk lima dari kiri) bersama ahli NGO serta penduduk ketika program itu.

Katanya, bagi golongan dewasa pula diadakan ceramah motivasi oleh Pustakawan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia Johor, Dr Siti Nisrin Mohd Anis yang juga ahli Persatuan Biblioterapi Malaysia (Perbima Selatan).

“KBKJ sentiasa menyahut seruan kerajaan khasnya Kementerian Pendidikan dengan mengadakan aktiviti membaca dalam kalangan pelajar dan masyarakat selaras dengan kempen Dekad Membaca 2020.

“Langkah membaca buku atau bahan bacaan yang bermanfaat kita boleh menakluki dunia. Melalui pembacaan juga kita dapat menimba banyak pengetahuan,” katanya.

Sementara itu, Tok Batin Mengek berterima kasih kepada KBKJ dan NGO yang hadir di atas pemberian sumbangan barangan keperluan dapur dan pakaian kepada 30 keluarga termasuk tiga keluarga Islam yang tinggal di perkampungan itu.

Katanya, pelbagai aktiviti yang diadakan sempena program itu diharap dapat memberi manfaat kepada masyarakat Orang Asli di kampung itu dan jalinan hubungan itu akan berterusan walaupun mereka tinggal di kawasan pedalaman.

04 Julai 2019

AMINAH BERSARA JAWATAN TETAPI TERUSKAN BERDAKWAH

Aminah Sardi (tengah) yang dinobatkan Tokoh Guru Sekolah Agama (Perempuan) Peringkat Daerah Tangkak 2019 menerima anugerah disampaikan Pengarah Jabatan Agama Islam Johor, Mohd Rofiki Shamsudin (dua kiri) disaksikan Pegawai Pendidikan Islam Daerah Tangkak, Azman Abd Rashid (kiri) di Dewan Sekolah Menengah Agama Lughatul Quran, Kesang Tasik, Tangkak, baru-baru ini.

TANGKAK: Walaupun sudah bersara dari profesion guru agama hampir sepuluh tahun namun khidmatnya masih diperlukan oleh masyarakat setempat yang mahu bimbingan dalam bidang keagamaan.

Pengalaman dan ilmu keagamaan yang dimiliki Aminah Sardi, bekas Guru Besar Sekolah Agama (SA) Simpang 5 Pekan itu tidak ‘ikut bersara’ apabila beliau masih aktif menyampaikan dakwah kepada masyarakat di sekitar daerah ini.

Aminah, 64, yang bersara dari kerjaya guru Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor (SAKNJ) sejak 2011 setelah berkhidmat selama 33 tahun kini menjadi Guru Takmir Daerah Tangkak dengan mengadakan kelas agama untuk kaum wanita di sembilan buah kampung.

Katanya, setiap individu mempunyai prinsip mereka sendiri sebagai pegangan dan pedoman dalam melalui liku-liku kehidupan selain berkongsi ilmu yang dimiliki dengan orang lain.

“Selagi ada daya, saya tetap berbakti walau apa juga tugas yang diberi lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan agama Islam. Tiada istilah penat dalam hidup.

“Walaupun sudah bersara dan terpaksa menguruskan suami, Borhan Wagimen, 71, dan anak bongsu, Mohd Saufi Hadi menjalani rawatan hemodialisis tiga kali seminggu namun pembahagian masa kepada tanggungjawab yang diberi amat penting,” katanya selepas menerima Anugerah Tokoh Guru Agama (Perempuan) SAKNJ Peringkat Daerah Tangkak 2019 di Dewan Sekolah Menengah Agama Lughatul Quran, Kesang Tasik, di sini, baru-baru ini.

Anugerah disampaikan Pengarah Jabatan Agama Islam Johor, Mohd Rofiki Shamsudin. Hadir sama Pegawai Pendidikan Islam Daerah Tangkak, Azman Abd Rashid dan Pengetua SMA Loghatul Quran, Hidhir Ismail.

Aminah berkata, dia memulakan kerjaya guru agama di SA Bandar Maharani, Muar pada 1978 ketika sarat mengandungkan anak sulung.

Katanya, sepanjang perkhidmatannya, beliau telah ditempatkan di enam buah sekolah termasuk SA Bandar Maharani, SA Simpang 5 Pekan, SA Bukit Gambir, SA Simpang 5 Darat, SA Sagil Kampung dan mengakhiri kerjayanya sebagai Guru Besar di SA Simpang 5 Pekan pada Disember 2011.

“Saya sering diundang untuk memberikan ceramah motivasi dan teknik menjawab soalan peperiksaan Sijil Darjah Enam Agama (SDEA) dan Sijil Darjah Khas Agama (SDKA) kepada calon peperiksaan itu di daerah ini.

“Alhamdulillah, sepanjang berkhidmat mendidik anak-anak mengenal dan mendalami ilmu keagamaan, pihak jabatan memberikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sebanyak tiga kali pada tahun 2000; 2004 dan 2006.

“Selagi kudrat masih sihat dan diberikan kekuatan untuk berkongsi ilmu pengetahuan dalam bidang keagamaan, saya sedia menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan,” kata ibu kepada enam anak dan lima cucu itu.
Tokoh Guru Agama, Muhamad Ismail (kiri), Mohd Fauzan Komar (tengah) dan Aminah Sardi diraikan dalam majlis Sambutan Hari Guru Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor Peringkat Daerah Tangkak 2019.
Pada majlis itu, bekas Guru Besar SA Bandar Tangkak, Mohd Fauzan Komar, 73, yang bersara pada Ogos 2001 dinobatkan sebagai Tokoh Guru Agama (Lelaki) SAKNJ 2019 manakala bekas Pengetua Sekolah Menengah Agama Darul Ulum, Serom 4, Muhamad Ismail, 73, dipilih sebagai Tokoh Guru Sekolah Menengah Agama Daerah Tangkak 2019. -INFOLEDANG

02 Julai 2019

TAUTAN KASIH KELUARGA HAJI DAROS HAJAH ZAINAH LEBIH ERAT APABILA DAPAT BERHIMPUN


Generasi keturunan Haji Daros Hajah Zainah bergambar ramai sempena Program Tautan Kasih Keluarga Jannah Haji Daros Hajah Zainah  dan Sambutan Aidilfitri di hadapan rumah pusaka di Kampung Parit Turun dekat Bukit Gambir, Tangkak, baru-baru ini.
 

TANGKAK: Memiliki anak yang ramai merupakan satu anugerah yang amat indah serta menjadikan sesebuah keluarga itu lebih ceria terutama apabila mereka dapat berkumpul beramai-ramai dalam suasana yang meriah.

Bagi pasangan Allahyarham Daros Abdullah dan Allahyarhamah Zainah Anwar yang dikurniakan 14 orang anak, tautan kasih dalam legasi keluarga itu bertambah erat apabila mereka dapat berhimpun bersama.

Sehubungan itu, bagi mengukuhkan lagi hubungan kekeluargaan dalam keluarga besar ini, program Tautan Kasih Keluarga Jannah Haji Daros Hajah Zainah diadakan mengambil sempena bulan Syawal.

Pengerusi Jawatankuasa program, Md Zin Daros, berkata tujuan utama himpunan itu diadakan untuk mengumpulkan semua ahli keluarga mereka daripada generasi pertama hingga kelima pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri.

Acara sukaneka memeriahkan lagi himpunan keluarga keturunan Haji Daros Hajah Zainah.

Katanya, daripada 14 adik-beradiknya, kini cuma sembilan orang yang masih hidup dan tinggal di merata tempat berikutan kerjaya dan komitmen masing-masing.

“Arwah ibu bapa kami dikurniakan 14 orang anak iaitu enam lelaki dan lapan perempuan. Kami mewujudkan jawatankuasa khas bagi menyusun salasilah keluarga besar ini untuk memudahkan generasi kedua dan ke bawah mengenali antara satu sama lain.

“Sekiranya arwah masih hidup, sudah tentu mereka paling gembira apabila dapat melihat perjumpaan yang menghimpunkan sembilan anak, sepuluh menantu, 42 orang cucu, 38 cicit dan 3 piut dalam suasana Aidilfitri yang meriah,” katanya pada majlis Semarak Kasih Sesuci Aidilfitri yang diadakan di rumah pusaka keluarganya di Kampung Parit Turun dekat Bukit Gambir, baru-baru ini.

Ahli keluarga yang hadir menikmati jamuan yang disediakan sempena Hari Raya Aidilfitri.

Md Zin berkata, program yang julung-julung kali dianjurkan itu amat bermakna bagi keluarga mereka kerana masing-masing dapat pulang ke kampung meraikan Aidilfitri bersama-sama di rumah pusaka milik keluarganya.

Katanya, selain dapat bersua muka dan bermaaf-maafan antara satu sama lain, himpunan keluarga itu lebih meriah apabila diadakan acara sampingan seperti sukaneka, cabutan bertuah dan bertukar-tukar cenderahati.

 Himpunan Tautan Kasih Keluarga Jannah Haji Daros Hajah Zainah akan dijadikan acara tahunan.

“Himpunan pertama kali ini memberi kenangan terindah buat setiap keluarga yang hadir dan kami merancang untuk menjadikan ia sebagai himpunan tahunan setiap ketibaan Aidilfitri.

“Selain dapat bertemu dan mengenali antara ahli keluarga, kami juga dapat pulang ke kampung halaman dan bercuti di rumah pusaka yang menjadi tempat kami dibesarkan,” katanya. -INFOLEDANG