PENGUNJUNG SETIA

02 Julai 2019

TAUTAN KASIH KELUARGA HAJI DAROS HAJAH ZAINAH LEBIH ERAT APABILA DAPAT BERHIMPUN


Generasi keturunan Haji Daros Hajah Zainah bergambar ramai sempena Program Tautan Kasih Keluarga Jannah Haji Daros Hajah Zainah  dan Sambutan Aidilfitri di hadapan rumah pusaka di Kampung Parit Turun dekat Bukit Gambir, Tangkak, baru-baru ini.
 

TANGKAK: Memiliki anak yang ramai merupakan satu anugerah yang amat indah serta menjadikan sesebuah keluarga itu lebih ceria terutama apabila mereka dapat berkumpul beramai-ramai dalam suasana yang meriah.

Bagi pasangan Allahyarham Daros Abdullah dan Allahyarhamah Zainah Anwar yang dikurniakan 14 orang anak, tautan kasih dalam legasi keluarga itu bertambah erat apabila mereka dapat berhimpun bersama.

Sehubungan itu, bagi mengukuhkan lagi hubungan kekeluargaan dalam keluarga besar ini, program Tautan Kasih Keluarga Jannah Haji Daros Hajah Zainah diadakan mengambil sempena bulan Syawal.

Pengerusi Jawatankuasa program, Md Zin Daros, berkata tujuan utama himpunan itu diadakan untuk mengumpulkan semua ahli keluarga mereka daripada generasi pertama hingga kelima pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri.

Acara sukaneka memeriahkan lagi himpunan keluarga keturunan Haji Daros Hajah Zainah.

Katanya, daripada 14 adik-beradiknya, kini cuma sembilan orang yang masih hidup dan tinggal di merata tempat berikutan kerjaya dan komitmen masing-masing.

“Arwah ibu bapa kami dikurniakan 14 orang anak iaitu enam lelaki dan lapan perempuan. Kami mewujudkan jawatankuasa khas bagi menyusun salasilah keluarga besar ini untuk memudahkan generasi kedua dan ke bawah mengenali antara satu sama lain.

“Sekiranya arwah masih hidup, sudah tentu mereka paling gembira apabila dapat melihat perjumpaan yang menghimpunkan sembilan anak, sepuluh menantu, 42 orang cucu, 38 cicit dan 3 piut dalam suasana Aidilfitri yang meriah,” katanya pada majlis Semarak Kasih Sesuci Aidilfitri yang diadakan di rumah pusaka keluarganya di Kampung Parit Turun dekat Bukit Gambir, baru-baru ini.

Ahli keluarga yang hadir menikmati jamuan yang disediakan sempena Hari Raya Aidilfitri.

Md Zin berkata, program yang julung-julung kali dianjurkan itu amat bermakna bagi keluarga mereka kerana masing-masing dapat pulang ke kampung meraikan Aidilfitri bersama-sama di rumah pusaka milik keluarganya.

Katanya, selain dapat bersua muka dan bermaaf-maafan antara satu sama lain, himpunan keluarga itu lebih meriah apabila diadakan acara sampingan seperti sukaneka, cabutan bertuah dan bertukar-tukar cenderahati.

 Himpunan Tautan Kasih Keluarga Jannah Haji Daros Hajah Zainah akan dijadikan acara tahunan.

“Himpunan pertama kali ini memberi kenangan terindah buat setiap keluarga yang hadir dan kami merancang untuk menjadikan ia sebagai himpunan tahunan setiap ketibaan Aidilfitri.

“Selain dapat bertemu dan mengenali antara ahli keluarga, kami juga dapat pulang ke kampung halaman dan bercuti di rumah pusaka yang menjadi tempat kami dibesarkan,” katanya. -INFOLEDANG

Tiada ulasan: