WALAUPUN
perkampungan mereka berada di pedalaman dan terpisah daripada kehidupan
di pekan serta desa, tidak bermakna mereka perlu dipinggirkan hanya
kerana perbezaan agama atau kaum.
Untuk sampai ke perkampungan
Orang Asli Air Tawas di kaki Gunung Ledang perlu menempuh ladang sawit
lebih 10 kilometer dari jalan utama Sagil - Tangkak, Johor.
Namun
kesukaran yang pernah ditempuhi satu ketika dahulu kini tidak lagi
membelenggu mereka yang ingin ke perkampungan itu berikutan keseluruhan
jalan masuk dari jalan utama ke kampung itu sudah ditar untuk memudahkan
perjalanan.
Sehubungan itu, Komuniti Buku Karya Johor
(KBKJ) menyantuni masyarakat Orang Asli Air Tawas dengan menyampaikan
sumbangan barangan keperluan harian dan pakaian selain mengadakan
aktiviti membaca serta mewarna.
Pengerusi
KBKJ, Mohd Isnin Tawaf berkata, kunjungan ke perkampungan itu bertujuan
memberikan mereka sedikit keceriaan walaupun hanya beberapa jam bersama
menerusi aktiviti yang diadakan.
Katanya, pihak KBKJ rasa
terpanggil untuk mengisi jurang yang tidak sepatutnya dipisahkan
berikutan perbezaan agama dan kaum termasuk tinggal di pedalaman.
Menurutnya,
KBKJ bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan individu
bersama-sama menyantuni mereka serta memberikan sumbangan berdasarkan
kemampuan masing-masing.
“Kita mungkin tidak mampu memberi
kebahagiaan kepada keseluruhan hidup mereka sepanjang masa. Tetapi, kita
cuma mampu memberi mereka sedikit keceriaan walaupun hanya beberapa jam
saja dalam hidup mereka.
“Selain penyampaian sumbangan kepada 30
keluarga berupa beras, kuih, air mineral dan pakaian, setiap kanak-kanak
turut menerima duit raya sumbangan penulis Zety Natalia Elias,” katanya
ditemui pada Program Silaturahim Syawal dan Program Buku Bersama
Komuniti di Balai Raya Kampung Orang Asli Air Tawas, Gunung Ledang dekat
Tangkak, baru-baru ini.
Hadir sama, Tok Batin Mengek Achai, Ikon
Membaca KBKJ, Syed Indera Syed Omar (Siso Kopratasa), Pengerusi
Sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Tangkak, Hussein
Mujip dan mantan Ketua Kampung Paya Mas, Abdul Karim Latip.
Mohd
Isnin berkata, dalam Program Buku Bersama Komuniti pula diadakan
aktiviti untuk kanak-kanak iaitu membaca buku dan bercerita serta
mewarna bersama Hasren Ismail yang lebih dikenali sebagai Uneh Raja
Pensil Warna.
MOHD Isnin (depan empat dari kiri) dan Mengek (duduk lima dari kiri) bersama ahli NGO serta penduduk ketika program itu.
Katanya, bagi golongan dewasa pula diadakan ceramah
motivasi oleh Pustakawan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia
Johor, Dr Siti Nisrin Mohd Anis yang juga ahli Persatuan Biblioterapi
Malaysia (Perbima Selatan).
“KBKJ sentiasa menyahut seruan
kerajaan khasnya Kementerian Pendidikan dengan mengadakan aktiviti
membaca dalam kalangan pelajar dan masyarakat selaras dengan kempen
Dekad Membaca 2020.
“Langkah membaca buku atau bahan bacaan yang
bermanfaat kita boleh menakluki dunia. Melalui pembacaan juga kita dapat
menimba banyak pengetahuan,” katanya.
Sementara itu, Tok Batin
Mengek berterima kasih kepada KBKJ dan NGO yang hadir di atas pemberian
sumbangan barangan keperluan dapur dan pakaian kepada 30 keluarga
termasuk tiga keluarga Islam yang tinggal di perkampungan itu.
Katanya,
pelbagai aktiviti yang diadakan sempena program itu diharap dapat
memberi manfaat kepada masyarakat Orang Asli di kampung itu dan jalinan
hubungan itu akan berterusan walaupun mereka tinggal di kawasan
pedalaman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan