PENGUNJUNG SETIA

24 Januari 2015

777 PENERIMA DI DAERAH LEDANG TERIMA BR1M 2015

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir Hamim Samuri (dua kiri) menyampaikan baucer Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada Md Noh Nahar sambil diperhatikan Pegawai Daerah Ledang, Ab Han Ramin (kiri)pada majlis Pelancaran Penyerahan Baucer Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) Tahun 2015 Bagi Daerah Ledang di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak. Foto: iNFOLEDANG

Ledang: Seramai 777 orang menerima baucer Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2015 bagi daerah Ledang merangkumi empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di daerah itu.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir Hamim Samuri, berkata penerima baucer berkenaan sebahagian daripada lebih 3,000 penerima bantuan itu tahun ini manakala selebihnya menerima bayaran menerusi akaun bank masing-masing.

Katanya, pemberian BR1M itu meliputi penerima bujang, isi rumah berpendapatan di bawah RM3,000 dan isi rumah berpendapatan antara RM3,000 hingga RM5,000.

“Seramai 278 individu bujang menerima RM350 yang dibayar sekali iaitu 41 orang bagi DUN Gambir, 78 (DUN Tangkak), 118 (DUN Serom) dan 41 (DUN Bukit Serampang).

“Bagi kategori penerima RM300 pula, seramai 484 orang terdiri daripada 163 penerima dari DUN Gambir, 147 (DUN Tangkak) dan 174 (DUN Serom) manakala penerima RM200 pula seramai 15 orang yang masing-masing 2 dari DUN Gambir, 7 (DUN Tangkak), 4 (DUN Serom) dan 2 (DUN Bukit Serampang),” katanya selepas merasmikan majlis Pelancaran Penyerahan Baucer Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) Tahun 2015 Bagi Daerah Ledang di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abdul Razak Minhat dan Pegawai Daerah Ledang, Ab Han Ramin.

Hamim yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata, pembayaran BR1M kepada penerima menunjukkan keikhlasan kerajaan membantu rakyat yang memerlukan sebagaimana dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dalam Bajet 2015 yang lalu. 

Katanya, walaupun kerajaan telah bersetuju meneruskan pemberian BR1M namun ada sesetengah pihak yang tidak bersetuju memusingkan fakta mengatakan terdapat agenda lain di sebalik pemberian bantuan tersebut.

Penerima BR1M kategori bujang, Zainal Abdullah, 54, dari Kampung Solok, Tangkak bersyukur dengan bantuan RM350 yang diterima dan berharap pada masa akan datang ia dapat ditambah bagi meringankan beban penerima.

Katanya, pemberian itu kali kedua buatnya dan beliau menerima baucer berikutan akaun bank kepunyaannya tidak aktif.

Adiknya, Nodin Abdullah, 49, yang tidak mampu berjalan berikutan penyakit gout yang dihidapinya sejak setahun lalu berterima kasih kepada kerajaan yang meneruskan bantuan itu lebih-lebih lagi kepada mereka yang memerlukan seperti beliau yang tidak mampu membuat sebarang pekerjaan.

Bagi Md Noh Nahar, 58, dari Bukit Gambir, berkata walaupun pemberian BR1M bagi kategori isi rumah dibuat sebanyak tiga kali namun beliau bersyukur dengan bantuan itu yang dapat meringankan beban keluarga yang berpendapatan rendah.  -iNFOLEDANG


 

19 Januari 2015

KARNIVAL GUYUP SEKAMPUNG ERATKAN SILATURAHIM PENDUDUK KAMPUNG PARIT KASSAN

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ledang, Datuk Abdul Rahim Talib (berdiri 4 dari kanan) bergambar bersama pasukan yang menyertai perlawanan bola sepak berkain batik sempena Karnival Guyup Sekampung di Kampung Parit Kassan dekat Bukit Gambir, Ledang. Foto: iNFOLEDANG

Ledang: Karnival Guyup Sekampung anjuran Pemuda UMNO Cawangan Parit Kassan, di sini berjaya mengeratkan perpaduan masyarakat kampung apabila lebih 300 penduduk menyertai pelbagai aktiviti yang diadakan.

Kehadiran mereka menyertai pelbagai acara yang disediakan seusia bayi hingga dewasa memberikan semangat kepada penganjur untuk menjadikannya sebagai program tahunan.

Ketua Pemuda UMNO Cawangan Parit Kassan, Nor Hazrin Namam (gambar), berkata pihaknya menganjurkan karnival itu bertujuan untuk merapatkan hubungan silaturahim dan mewujudkan kerjasama erat dalam kalangan penduduk di semua peringkat usia.

Katanya, pemilihan perkataan ‘guyup’ daripada bahasa Jawa yang bermaksud perpaduan dan muafakat itu adalah tepat bagi menggambarkan semangat bersatu padu dan kerjasama masyarakat kampung dalam melaksanakan program yang dirancang.

“Kami mahu perkataan ‘guyup’ menjadi ikon dan lambang permuafakatan masyarakat kampung yang sememangnya diamalkan oleh kepimpinan terdahulu dalam mewujudkan semangat kerjasama.

“Menerusi aktiviti yang disusun dalam program karnival ini, penduduk kampung pelbagai peringkat usia berpeluang menyertai acara yang diadakan mengikut kategori yang dipertandingkan,” katanya pada program Karnival Guyup Sekampung yang diadakan di padang Sekolah Kebangsaan Parit Kasan, di sini.

Karnival sehari itu dirasmikan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ledang, Datuk Abdull Rahim Talib mewakili Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir Hamim Samuri. Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, Datuk M Asojan, Ketua UMNO Cawangan Parit Kassan, Muslim Jasmin dan Ketua Kampung Parit Kassan, Mohd Hamzah Basar.

Nor Hazrin berkata, selain acara sukaneka, pertandingan gubahan dan perlawanan bola sepak kain batik, penduduk kampung turut berpeluang mendapatkan perkhidmatan dan penerangan menerusi Kaunter Bergerak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), semakan dan daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dikendalikan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Daerah Ledang dan kaunter Agrobank Cawangan Bukit Gambir.

Katanya, pameran Team ASTRO Ledang dan kereta baru Iriz oleh Proton Edar cawangan Muar turut memeriahkan karnival itu di samping pemeriksaan kesihatan percuma oleh Pejabat Kesihatan Daerah Ledang.

“Sambutan meriah dan penyertaan penduduk kampung dalam pertandingan yang diadakan mengikut kategori memberikan semangat kami untuk meneruskan program seumpama ini pada masa akan datang.

“Pemeriksaan kesihatan percuma yang dikendalikan kakitangan Klinik Kesihatan Bukit Gambir berjaya menarik lebih 100 penduduk pelbagai peringkat umur membuat pemeriksaan tahap kesihatan mereka,” katanya.

Nor Hazrin berkata, penganjuran karnival itu mendapat kerjasama UMNO Bahagian Ledang, Pemuda UMNO Bahagian Ledang, UMNO Cawangan Parit Kassan, Pusat Daerah Mengundi (PDM) Parit Kassan dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Parit Kassan.

Sementara itu, Datuk Abdull Rahim berkata, program yang dianjurkan di sesebuah komuniti itu dapat mengakrabkan lagi jalinan kekeluargaan yang saling berkaitan antara satu sama lain terutama di dalam sebuah kampung.

Katanya, semangat kerjasama perlu dipupuk dalam kalangan masyarakat agar ia berterusan dan menjadi contoh kepada generasi akan datang.

“Karnival Guyup Sekampung ini satu program yang mampu membentuk perpaduan dan kerjasama masyarakat kampung tidak mengira peringkat umur kerana aktiviti yang disusun melibatkan semua penduduk.

“Semoga program seumpama ini dapat diadakan di setiap kampung sebagai wadah untuk menyatukan masyarakat dan melahirkan barisan kepimpinan pelapis yang mampu mencetuskan pelbagai idea yang bermanfaat,” katanya ketika berucap menutup rasmi karnival tersebut. -iNFOLEDANG
 
Kaum wanita menyertai acara boling kelapa sempena Karnival Guyup Sekampung.
 
Kaum wanita menyertai acara kupas bawang sempena Karnival Guyup Sekampung di Kampung Parit Kassan dekat Bukit Gambir, Ledang.
 
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ledang, Datuk Abdul Rahim Talib mencuba permainan dart sempena Karnival Guyup Sekampung di Kampung Parit Kassan dekat Bukit Gambir, Ledang.
 
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ledang, Datuk Abdul Rahim Talib (tengah) menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan sempena Karnival Guyup Sekampung di Kampung Parit Kassan dekat Bukit Gambir, Ledang.

 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, Datuk M Asojan (dua kiri) menyampaikan hadiah basikal kepada Mohamad Irfan Mohd Ismail sempena Karnival Guyup Sekampung di Kampung Parit Kassan dekat Bukit Gambir, Ledang. Foto: iNFOLEDANG

12 Januari 2015

MURID SK BANDAR TANGKAK BERTEMU SEMULA SELEPAS 32 TAHUN BERPISAH

Bekas murid Sekolah Kebangsaan (Lelaki) Bandar Tangkak sesi 1978-1983 bergambar ramai bersama bekas guru mereka dalam Majlis Jalinan Mesra (Reunion...32 Tahun Berlalu) di Sekolah Kebangsaan Seri Tangkak, dekat Tangkak, Ledang.Foto: iNFOLEDANG

Ledang: Kenangan di zaman persekolahan dapat diimbau kembali oleh 37 bekas murid Sekolah Kebangsaan (Lelaki) Bandar Tangkak apabila mereka dapat bertemu kembali dalam majlis pertemuan semula selepas 32 tahun berpisah.

Pengerusi Alumni sekolah, Hamaran Mohamed Ariff berkata pertemuan semula (reunion) itu melibatkan bekas murid yang belajar di sekolah berkenaan antara tahun 1978 hingga 1983.

Katanya, usaha menghimpunkan rakan-rakan lama bermula Oktober tahun lalu selepas perbincangan bersama beberapa bekas murid yang menetap di Tangkak untuk menjejaki semula mereka serta bekas guru yang pernah mengajar di sekolah itu.
 
“Menerusi medium media sosial Whatsapp dan Facebook, kami melancarkan usaha menjejaki mereka yang kebanyakannya tinggal di luar Ledang dan apabila beberapa rakan telah dikumpulkan, kami mengadakan perjumpaan awal membentuk jawatankuasa.

“Kami membahagikan tugas kepada rakan-rakan yang ada bagi menjejaki seberapa ramai lagi bekas murid yang sama-sama belajar di sekolah ini untuk menghimpunkan mereka dalam satu majlis yang penuh kenangan,” katanya pada majlis Jalinan Mesra (Reunion...32 Tahun Berlalu) di Sekolah Kebangsaan Sri Tangkak, Ledang.
 
Naib Pengerusi Alumni, Abdul Rashid Ahmad (tengah) memotong kek bersama bekas guru dalam Majlis Jalinan Mesra (Reunion...32 Tahun Berlalu) di Sekolah Kebangsaan Seri Tangkak, dekat Tangkak, Ledang. Foto: iNFOLEDANG

Hamaran berkata, majlis itu bertujuan mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara bekas murid dan guru yang sama-sama menimba ilmu di sekolah lama selain membuat perancangan membantu meningkatkan keceriaan dan kecemerlangan sekolah itu.

Katanya, nama Sekolah Kebangsaan (Lelaki) Bandar Tangkak kini telah ditukar kepada Sekolah Kebangsaan Sri Tangkak namun nostalgia menimba ilmu di sekolah itu masih terpahat apabila bangunan lama yang dijadikan bilik darjah dahulu masih kekal hingga sekarang.

Naib Pengerusi Alumni, Abdul Rashid Ahmad, berkata majlis jalinan mesra itu lebih bermakna apabila turut dihadiri lima orang bekas guru yang pernah mengajar mereka ketika berada di Darjah Satu hingga Darjah Enam.

Katanya, walaupun masing-masing telah berusia namun semangat dan jasa mereka tetap tersemat dalam jiwa anak didik yang pernah mendapat didikan di sekolah itu sehingga menempa kejayaan dalam hidup.

“Walaupun masing-masing mempunyai tugas namun dengan kerjasama dan komitmen yang tinggi, majlis jalinan mesra ini dapat direalisasikan bagi mengeratkan semula hubungan antara rakan-rakan yang sebahagiannya terputus selepas zaman persekolahan tamat.

“Kami berharap pada masa akan datang, majlis reunion ini dapat diadakan dengan lebih meriah serta dapat dihadiri lebih ramai bekas murid yang pernah belajar di sini,” katanya. -iNFOLEDANG