PENGUNJUNG SETIA

19 Januari 2015

KARNIVAL GUYUP SEKAMPUNG ERATKAN SILATURAHIM PENDUDUK KAMPUNG PARIT KASSAN

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ledang, Datuk Abdul Rahim Talib (berdiri 4 dari kanan) bergambar bersama pasukan yang menyertai perlawanan bola sepak berkain batik sempena Karnival Guyup Sekampung di Kampung Parit Kassan dekat Bukit Gambir, Ledang. Foto: iNFOLEDANG

Ledang: Karnival Guyup Sekampung anjuran Pemuda UMNO Cawangan Parit Kassan, di sini berjaya mengeratkan perpaduan masyarakat kampung apabila lebih 300 penduduk menyertai pelbagai aktiviti yang diadakan.

Kehadiran mereka menyertai pelbagai acara yang disediakan seusia bayi hingga dewasa memberikan semangat kepada penganjur untuk menjadikannya sebagai program tahunan.

Ketua Pemuda UMNO Cawangan Parit Kassan, Nor Hazrin Namam (gambar), berkata pihaknya menganjurkan karnival itu bertujuan untuk merapatkan hubungan silaturahim dan mewujudkan kerjasama erat dalam kalangan penduduk di semua peringkat usia.

Katanya, pemilihan perkataan ‘guyup’ daripada bahasa Jawa yang bermaksud perpaduan dan muafakat itu adalah tepat bagi menggambarkan semangat bersatu padu dan kerjasama masyarakat kampung dalam melaksanakan program yang dirancang.

“Kami mahu perkataan ‘guyup’ menjadi ikon dan lambang permuafakatan masyarakat kampung yang sememangnya diamalkan oleh kepimpinan terdahulu dalam mewujudkan semangat kerjasama.

“Menerusi aktiviti yang disusun dalam program karnival ini, penduduk kampung pelbagai peringkat usia berpeluang menyertai acara yang diadakan mengikut kategori yang dipertandingkan,” katanya pada program Karnival Guyup Sekampung yang diadakan di padang Sekolah Kebangsaan Parit Kasan, di sini.

Karnival sehari itu dirasmikan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ledang, Datuk Abdull Rahim Talib mewakili Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir Hamim Samuri. Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, Datuk M Asojan, Ketua UMNO Cawangan Parit Kassan, Muslim Jasmin dan Ketua Kampung Parit Kassan, Mohd Hamzah Basar.

Nor Hazrin berkata, selain acara sukaneka, pertandingan gubahan dan perlawanan bola sepak kain batik, penduduk kampung turut berpeluang mendapatkan perkhidmatan dan penerangan menerusi Kaunter Bergerak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), semakan dan daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dikendalikan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Daerah Ledang dan kaunter Agrobank Cawangan Bukit Gambir.

Katanya, pameran Team ASTRO Ledang dan kereta baru Iriz oleh Proton Edar cawangan Muar turut memeriahkan karnival itu di samping pemeriksaan kesihatan percuma oleh Pejabat Kesihatan Daerah Ledang.

“Sambutan meriah dan penyertaan penduduk kampung dalam pertandingan yang diadakan mengikut kategori memberikan semangat kami untuk meneruskan program seumpama ini pada masa akan datang.

“Pemeriksaan kesihatan percuma yang dikendalikan kakitangan Klinik Kesihatan Bukit Gambir berjaya menarik lebih 100 penduduk pelbagai peringkat umur membuat pemeriksaan tahap kesihatan mereka,” katanya.

Nor Hazrin berkata, penganjuran karnival itu mendapat kerjasama UMNO Bahagian Ledang, Pemuda UMNO Bahagian Ledang, UMNO Cawangan Parit Kassan, Pusat Daerah Mengundi (PDM) Parit Kassan dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Parit Kassan.

Sementara itu, Datuk Abdull Rahim berkata, program yang dianjurkan di sesebuah komuniti itu dapat mengakrabkan lagi jalinan kekeluargaan yang saling berkaitan antara satu sama lain terutama di dalam sebuah kampung.

Katanya, semangat kerjasama perlu dipupuk dalam kalangan masyarakat agar ia berterusan dan menjadi contoh kepada generasi akan datang.

“Karnival Guyup Sekampung ini satu program yang mampu membentuk perpaduan dan kerjasama masyarakat kampung tidak mengira peringkat umur kerana aktiviti yang disusun melibatkan semua penduduk.

“Semoga program seumpama ini dapat diadakan di setiap kampung sebagai wadah untuk menyatukan masyarakat dan melahirkan barisan kepimpinan pelapis yang mampu mencetuskan pelbagai idea yang bermanfaat,” katanya ketika berucap menutup rasmi karnival tersebut. -iNFOLEDANG
 
Kaum wanita menyertai acara boling kelapa sempena Karnival Guyup Sekampung.
 
Kaum wanita menyertai acara kupas bawang sempena Karnival Guyup Sekampung di Kampung Parit Kassan dekat Bukit Gambir, Ledang.
 
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ledang, Datuk Abdul Rahim Talib mencuba permainan dart sempena Karnival Guyup Sekampung di Kampung Parit Kassan dekat Bukit Gambir, Ledang.
 
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ledang, Datuk Abdul Rahim Talib (tengah) menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan sempena Karnival Guyup Sekampung di Kampung Parit Kassan dekat Bukit Gambir, Ledang.

 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, Datuk M Asojan (dua kiri) menyampaikan hadiah basikal kepada Mohamad Irfan Mohd Ismail sempena Karnival Guyup Sekampung di Kampung Parit Kassan dekat Bukit Gambir, Ledang. Foto: iNFOLEDANG

Tiada ulasan: