PENGUNJUNG SETIA

12 Januari 2015

MURID SK BANDAR TANGKAK BERTEMU SEMULA SELEPAS 32 TAHUN BERPISAH

Bekas murid Sekolah Kebangsaan (Lelaki) Bandar Tangkak sesi 1978-1983 bergambar ramai bersama bekas guru mereka dalam Majlis Jalinan Mesra (Reunion...32 Tahun Berlalu) di Sekolah Kebangsaan Seri Tangkak, dekat Tangkak, Ledang.Foto: iNFOLEDANG

Ledang: Kenangan di zaman persekolahan dapat diimbau kembali oleh 37 bekas murid Sekolah Kebangsaan (Lelaki) Bandar Tangkak apabila mereka dapat bertemu kembali dalam majlis pertemuan semula selepas 32 tahun berpisah.

Pengerusi Alumni sekolah, Hamaran Mohamed Ariff berkata pertemuan semula (reunion) itu melibatkan bekas murid yang belajar di sekolah berkenaan antara tahun 1978 hingga 1983.

Katanya, usaha menghimpunkan rakan-rakan lama bermula Oktober tahun lalu selepas perbincangan bersama beberapa bekas murid yang menetap di Tangkak untuk menjejaki semula mereka serta bekas guru yang pernah mengajar di sekolah itu.
 
“Menerusi medium media sosial Whatsapp dan Facebook, kami melancarkan usaha menjejaki mereka yang kebanyakannya tinggal di luar Ledang dan apabila beberapa rakan telah dikumpulkan, kami mengadakan perjumpaan awal membentuk jawatankuasa.

“Kami membahagikan tugas kepada rakan-rakan yang ada bagi menjejaki seberapa ramai lagi bekas murid yang sama-sama belajar di sekolah ini untuk menghimpunkan mereka dalam satu majlis yang penuh kenangan,” katanya pada majlis Jalinan Mesra (Reunion...32 Tahun Berlalu) di Sekolah Kebangsaan Sri Tangkak, Ledang.
 
Naib Pengerusi Alumni, Abdul Rashid Ahmad (tengah) memotong kek bersama bekas guru dalam Majlis Jalinan Mesra (Reunion...32 Tahun Berlalu) di Sekolah Kebangsaan Seri Tangkak, dekat Tangkak, Ledang. Foto: iNFOLEDANG

Hamaran berkata, majlis itu bertujuan mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara bekas murid dan guru yang sama-sama menimba ilmu di sekolah lama selain membuat perancangan membantu meningkatkan keceriaan dan kecemerlangan sekolah itu.

Katanya, nama Sekolah Kebangsaan (Lelaki) Bandar Tangkak kini telah ditukar kepada Sekolah Kebangsaan Sri Tangkak namun nostalgia menimba ilmu di sekolah itu masih terpahat apabila bangunan lama yang dijadikan bilik darjah dahulu masih kekal hingga sekarang.

Naib Pengerusi Alumni, Abdul Rashid Ahmad, berkata majlis jalinan mesra itu lebih bermakna apabila turut dihadiri lima orang bekas guru yang pernah mengajar mereka ketika berada di Darjah Satu hingga Darjah Enam.

Katanya, walaupun masing-masing telah berusia namun semangat dan jasa mereka tetap tersemat dalam jiwa anak didik yang pernah mendapat didikan di sekolah itu sehingga menempa kejayaan dalam hidup.

“Walaupun masing-masing mempunyai tugas namun dengan kerjasama dan komitmen yang tinggi, majlis jalinan mesra ini dapat direalisasikan bagi mengeratkan semula hubungan antara rakan-rakan yang sebahagiannya terputus selepas zaman persekolahan tamat.

“Kami berharap pada masa akan datang, majlis reunion ini dapat diadakan dengan lebih meriah serta dapat dihadiri lebih ramai bekas murid yang pernah belajar di sini,” katanya. -iNFOLEDANG

Tiada ulasan: