PENGUNJUNG SETIA

20 Disember 2014

SASAR LEDANG BEBAS DENGGI

ir.HAMIM Samuri (dua dari kiri) menziarahi dan beramah mesra dengan
HAMIM Samuri (dua dari kiri) menziarahi dan beramah mesra dengan warga emas, Ithnin Ghazali semasa Program Gerak Mesra dan Anti Denggi Zon Bukit Gambir dan Mini Karnival Pesta Rakyat Masyarakat Gambir di Dewan Serbaguna Bukit Gambir dekat Ledang, Johor,kelmarin.
LEDANG 19 Dis. – Ledang muncul sebagai daerah kedua terendah bagi kes denggi di negeri ini dan usaha membanteras tempat pembiakan nyamuk aedes perlu dite­ruskan sehingga berjaya mencapai tahap bebas sepenuhnya.
 
Ahli Parlimen Ledang, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, antara yang perlu dilakukan ialah melalui kempen-kempen sedia ada selain gotong-royong membersihkan kawasan yang berpotensi menjadi pembiakan nyamuk aedes.
 
“Selain itu kita perlu terus mengamalkan gaya hidup sihat yang berkualiti. Daerah ini di tempat kedua paling bawah berlaku kes denggi, ini bermakna Ledang adalah daerah kedua terbaik dalam Kempen Johor Bebas Denggi.
 
“Jika dahulu kawasan Ledang di tempat teratas mengenai kes denggi namun hasil kesedaran dan sokongan masyarakat menjaga kebersihan persekitaran kediaman mereka, kini kes berkenaan sudah menurun,” katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Gerak Mesra dan Anti Denggi Zon Bukit Gambir dan Mini Karnival Pesta Rakyat Masyarakat Gambir di Dewan Serbaguna Bukit Gambir, dekat sini kelmarin.
 
Program anjuran Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pekan Bukit Gambir Barat dan Majlis Daerah Tangkak itu turut dihadiri Pengerusi PDM, Abu Bakar Md. Affandi dan Penghulu Mukim Grisek, Ishak Abu Bakar.
 
Statistik terbaharu demam denggi di negeri ini dari awal tahun hingga 7 Disember lalu menunjukkan daerah ini kedua terendah iaitu 0.4 peratus diikuti Mersing (2 peratus), Segamat (3 peratus), Batu Pahat (4.2 peratus), Muar (5 peratus), Kluang (7 peratus) dan paling tinggi Johor Bahru (67 peratus).
 
Justeru, Hamim berharap penduduk di sini bersama-sama memikul tanggungjawab menjaga kebersihan di kawasan masing-masing dan kesedaran bahaya demam denggi akan dapat terus diterjemahkan dalam bentuk tindakan.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 20 DISEMBER 2014

Tiada ulasan: