HAMIM Samuri menyampaikan sijil sambil disaksikan oleh Khalid Ithnin (kanan)
semasa majlis Konvokesyen TAJ Kali Ke-6 Daerah Ledang 2014 di Tangkak, Johor,
baru-baru ini.
LEDANG 17 Dis. – Kegembiraan jelas kelihatan di wajah 216
kanak-kanak berusia enam tahun yang berjaya menamatkan pembelajaran prasekolah
di Tadika Agama Johor (TAJ) di sini dan akan masuk Darjah Satu Sekolah Agama
Kerajaan Johor, tahun depan.
Pegawai Pendidikan Agama Daerah Ledang, Khalid Ithnin berkata, mereka terdiri
daripada kanak-kanak yang mengikuti pembelajaran selama dua tahun daripada 16
buah kelas TAJ di sini sejak berusia lima tahun lagi.
Katanya, sepanjang mengikuti pembelajaran di TAJ, mereka dididik mengikut
silibus yang disediakan bagi memupuk keyakinan diri, berani bersaing dengan
rakan selain belajar membaca dan menulis.
“Kita memberikan penghargaan kepada kanak-kanak yang berjaya mengikuti kelas
TAJ selama dua tahun agar mereka berasa gembira dan menanamkan semangat untuk
terus belajar dan berjaya dalam pelajaran khususnya pendidikan agama.
“Harapan guru dan ibu bapa semoga mereka akan terus berjaya dan menggunakan
ilmu yang ada untuk memajukan agama, bangsa dan tanah air sebagai pelapis
kepimpinan akan datang,” katanya pada Majlis Konvokesyen TAJ Daerah Ledang kali
ke-6 di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak, di sini kelmarin.
Perasmian disempurnakan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan
Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri yang turut dihadiri Penolong Pegawai Pendidikan
Agama Daerah (PPAD) Ledang, Sairozi Subakhir dan Penyelia TAJ Daerah Ledang,
Mohd. Khir Abdullah.
Menurut Khalid, ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang besar untuk menerapkan
nilai agama, budaya dan adat resam dalam diri anak mereka untuk cemerlang dari
sudut akademik dan kerohanian.
Sementara itu, Hamim dalam ucapannya berkata, kerajaan sangat prihatin dengan
masa depan anak-anak khususnya dalam pendidikan agama Islam dengan menyalurkan
secara berterusan peruntukan kepada sekolah agama di negeri ini.
Katanya, dengan usaha kerajaan secara berterusan, umat Islam akan terus
mempunyai jati diri yang kukuh dan kefahaman terhadap agama Islam yang betul di
samping menguasai ilmu sama ada akademik mahu pun kerohanian.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 18 DISEMBER 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan