PENGUNJUNG SETIA

28 November 2014

JOHOR HASILKAN BERAS WANGI SRI LEDANG

ZULHISHAM ISAHAK
ABD. Razak Minhat (tengah) memasukkan padi ke dalam mesin PGU untuk diproses menjadi beras sewaktu majlis Perasmian Tanaman Padi Kaedah SRI dan Penyampaian Sijil Mygap serta Mesin PGU di Kampung Kesang Tasek, Sungai Mati, Ledang, Johor, kelmarin. – UTUSAN/Ishak Rahmad.

Pegawai Pertanian Daerah Ledang, Abdullah Rashidi berkata, usaha komersial beras daripada varieti MRQ76 itu sudah dilakukan awal tahun ini melibatkan lima buah kawasan sawah padi utama dengan keluasan kira-kira 809 hektar di sini.
 
“Beras wangi ini akan menjadi produk istimewa daerah ini yang mungkin dinamakan Beras Wangi Sri Ledang. Kualitinya setanding beras wangi import dan kini dita­nam di Kesang Tasik, Pulau Penarek, Telok Rimba, Kesang Gate, Pulau Penarek dan Sawah Ring.
 
“Kita mahu mengurangkan import beras wangi antara dua hingga lima peratus yang kini berjumlah RM500 juta setahun,” katanya ditemui selepas majlis pelancaran Tanam­an Padi Kaedah SRI, Penyampaian Sijil Mygap dan Mesih PGU di Ke­sang Tasik, di sini semalam.
 
Majlis itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd. Razak Minhat.
 
Abdullah berkata, sebagai langkah awal, pesawah-pesawah di sini dibekalkan dengan mesin kisar padi yang mempunyai lima fungsi bagi membantu dan memudah penga­singan beras selain dapat menambah pendapatan.
 
Katanya, ketika ini terdapat dua mesin berkenaan untuk kegunaan di Kesang Tasik serta Kesang Gate dan peralatan buatan Thailand itu pertama kali digunakan di negeri ini malah pada masa akan datang sebanyak 25 lagi mesin akan dibawa masuk.
 
Mesin tersebut, ujarnya, mempunyai lima peranan utama iaitu mengasingkan padi berkenaan kepada beras wangi, beras perang dan beras hancur selain serkam dan dedak yang boleh dijual sebagai baja serta makanan ayam.
 
Bagi jangka masa panjang, Abdullah berkata, pihaknya merancang untuk menjadikan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) sebagai pihak yang mengkormesialkan Beras Wangi Sri Ledang termasuk usaha pembungkusan, pelabelan dan pemasaran.
 
“Namun sebelum itu kita merancang untuk bekerjasama dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mendirikan sebuah kilang memproses beras wangi di Teluk Rimba supaya produktiviti dalam skala besar dapat dihasilkan.
 
“Kilang itu juga akan memproses hasil beras sama dari Negeri Sembilan dan Melaka. Selain itu kita juga akan terus membaiki prasarana di kawasan sawah padi di sini yang merupakan dikategorikan sebagai bukan jelapang padi,” katanya.
 
Menurut beliau, Ledang merupakan perintis kepada penghasilan beras wangi di negeri ini dengan produktiviti yang tinggi berbanding negeri lain dan dijangka menjadi model untuk daerah lain bagi menghasilkan beras wangi.
 
 
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 28 NOVEMBER 2014

Tiada ulasan: