PENGUNJUNG SETIA

25 November 2014

RM41.2 BILION PELABURAN MELALUI AEC TAHUN DEPAN

HAMIM Samuri menyerahkan sijil kepada salah seorang wakil penerima
HAMIM Samuri menyerahkan sijil kepada salah seorang wakil penerima pada Seminar Perkongsian Amalan Terbaik dan Majlis Penyampaian Sijil Sistem Amalan Persekitaran Berkualiti QE/5S Parlimen Ledang di Ledang, semalam.
LEDANG 24 Nov. - Kira-kira RM41.2 bilion pelaburan dijangka berjaya dibawa masuk ke negara ini berdasarkan jumlah pelaburan negara-negara ASEAN yang akan meningkat 10 peratus apabila Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dilaksanakan akhir tahun depan.
 
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, jumlah pelaburan di negara-negara ASEAN ialah RM406.4 bilion pada tahun lalu dan kewujudan AEC akan menawarkan pasaran daripada 627 juta penduduk rantau ini.
 
“AEC boleh meningkatkan ekonomi peserta negara anggota ASEAN melalui jalinan kerjasama ekonomi di antara 10 negara terlibat. Ini memberi banyak kebaikan kepada Malaysia dengan peluang memasarkan lebih banyak produk ke rantau ASEAN dengan segala kemudahan eksport dan import yang lebih seragam.
 
“Sebagai contoh dengan keseragaman ini menjadikan aktiviti import dan eksport lebih mudah,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Perkongsian Amalan Terbaik dan Majlis Penyampaian Sijil Sistem Amalan Persekitaran Berkualiti QE/5S Parlimen Ledang di Dewan Jubli Intan Tangkak, di sini hari ini.
 
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Razali Hussain dan Pegawai Daerah Ledang, Ab. Han Ramin.
 
AEC bakal membentuk sebuah blok ekonomi lebih liberal dan perdagangan terbuka melalui penghapusan tarif cukai, kebebasan pasaran kerja (kemahiran tinggi) dan pergerakan modal yang bertujuan menjadikan ASEAN sebagai satu pasaran yang tunggal.
 
Menurut Hamim, Malaysia perlu mengambil peluang dengan pelaksanaan AEC di samping meningkatkan daya saing dalam sektor pelaburan dan perdagangan supaya dapat menarik lebih banyak pelabur ke negara ini.
 
Beliau yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata, negara juga perlu meningkatkan daya saing produk supaya setanding dengan negara lain bagi menembusi pasaran dalam ASEAN yang luas dan berpotensi tinggi.
 
“Jika kualiti produk keluaran Malaysia rendah, ini akan menyukarkan untuk eksport dan sebaliknya hanya akan dijual di peringkat domestik sahaja. Ramai pelabur mencari negara dengan persekitaran ekonomi yang baik.
 
“Sistem Amalan Persekitaran Berkualiti QE/5S adalah sebahagian daripada kaedah meningkatkan daya saing mutu produk dan pendapatan serta menjadikan pertumbuhan ekonomi negara berterusan meningkat secara positif,” katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 25 NOVEMBER 2014

Tiada ulasan: