KETUA Wira PERKASA Johor, Datuk Md Ismail Hamdan bersama ahli PERKASA selepas membuat laporan polis di IPD Ledang, Tangkak.
Ledang: Tindakan
tegas di bawah Akta Hasutan 1948 selain pemecatan keahlian perwakilan GERAKAN
Johor, Tan Lai Soon perlu dikenakan berikutan kenyataan biadapnya yang mendakwa
Melayu adalah pendatang di negara ini sama seperti Cina dan India.
Ketua Wira Pertubuhan
Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Johor, Datuk Md Ismail Hamdan, berkata
kenyataan Lai Soon itu satu bentuk provokasi melampau selain membuktikan
dirinya amat jahil dengan sejarah orang Melayu dan negara.
“Kenyataan yang
dikeluarkannya amat menyinggung perasaan orang Melayu. Kita beri amaran kepada
Lai Soon supaya jangan bermain api dan jangan cuba menjolok sarang tabuan.
“Di Malaysia kita hidup aman damai serta berbilang kaum. Seharusnya tidak ada pihak yang cuba menggugat dan meruntuhkan keharmonian sedia ada,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis membantah kenyataan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang dekat Tangkak, di sini.
Md Ismail diiringi
ahli PERKASA membuat laporan pada 9.33 pagi menggesa pihak
berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap Lai Soon yang mengeluarkan kenyataan
itu pada Persidangan Perwakilan GERAKAN ke-43 di Shah Alam, Selangor, 19
Oktober lalu.
Lai Soon turut
mendakwa Melayu bukan Bumiputera di negara ini kerana berhijrah dari Indonesia
dan kaum pribumi asal adalah penduduk asal Sabah dan Sarawak serta Orang Asli.
Md Ismail berkata,
beliau sepatutnya mengkaji dan membaca buku sejarah tentang orang Melayu
sebelum mengeluarkan kenyataan yang menyentuh perkara sensitif sehingga
menimbulkan rasa tidak puas hati terutama orang Melayu terhadap GERAKAN.
Katanya, secara
peribadi beliau berpendapat, Lai Soon merupakan satu produk Sekolah Jenis
Kebangsaan Cina (SJKC) yang gagal memahami aspirasi nasional dan seharusnya
tampil memohon maaf kepada semua orang Melayu di atas kebiadapannya.
“Sebagai pengajaran
kepada semua, kita menuntut Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mengambil
tindakan mendakwanya di bawah Akta Hasutan 1946 dan mendesak Presiden GERAKAN,
Datuk Mah Siew Kiong memecat keahlian Lai Soon,” tegasnya.
Sementara itu, Wira
PERKASA Johor menasihatkan pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus yang dikaitkan
dengan klip video lucah yang dikatakan miripnya agar segera membuat laporan
polis bagi membersihkan namanya berikutan perkara itu amat mengaibkannya.
Katanya, penceramah
bebas itu tidak seharusnya mengelak atau terus berdiam diri kerana perkara itu
membabitkan maruahnya selain dikhuatiri tindakannya akan mengakibatkan orang
ramai terus membuat andaian yang buruk. -iNFOLEDANG
Tiada ulasan:
Catat Ulasan