PENGUNJUNG SETIA

11 September 2014

MJSB JOHAN SEPANDUK TERCANTIK PERINGKAT LEDANG

AHLI Kelab Sosial Dan Kebajikan Pekerja Syarikat Mohd. Janis Sdn. Bhd. bersama-sama sepanduk yang memenangi pertandingan sepanduk tercantik sempena Hari Kemerdekaan Ke-57 peringkat daerah Ledang, baru-baru ini.

Pengerusinya, Yazali Pairon berkata, tahun ini merupakan kali ketiga MJSB menyertai acara perbarisan sempena Hari Kemerdekaan peringkat daerah bagi kategori swasta.
 
"Kami sepakat menyertai pertandingan sepanduk yang diadakan kali ini dengan melukis dan mewarna secara bergotong-royong selama tiga malam. Sebelum ini, kami menggunakan sepanduk bercetak yang ditempah.
 
"Memandangkan pemenang sepanduk tercantik tahun sebelum ini menggunakan kreativiti melukis dan mewarna d serta dapat menarik perhatian, kami mencubanya pula tahun ini," katanya ketika ditemui selepas menyertai Perhimpunan Hari Kemerdekaan Kali Ke-57 peringkat daerah Ledang di Dataran Ledang, Tangkak di sini baru-baru ini.
 
Yazali berkata, kemenangan itu merupakan 'hadiah' kepada Pengarah Urusan MJSB, Mohd. Janis Abu Bakar yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-57 tahun ini.
 
Dengan kemenangan itu, pasukannya membawa hadiah RM300 dan trofi yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia negeri, R. Vidyanathan yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
 
Tempat kedua kategori itu dimenangi Pejabat Pendidikan Agama Daerah Ledang, manakala Pejabat Daerah Ledang meraih tempat ketiga.
 
Tiga lagi kategori yang dipertandingkan ialah Kontinjen Perbarisan Terbaik, Pakaian Terbaik dan Kibaran Jalur Gemilang Tercantik di halaman rumah serta premis.
 
Jawatankuasa Penyelarasan Mukim-mukim (JPMM) Dewan Undangan negeri (DUN) Serom muncul johan Pertandingan Perbarisan Terbaik, Pejabat Tanah Ledang (Pakaian Terbaik) dan Pejabat Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Ledang (Halaman Premis Terbaik) dan Lewan Basman dari Kampung Sagil Parit 1 (Halaman Rumah Terbaik).
 
Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd. Razak Minhat; ADUN Gambir, M. Asojan dan Pegawai Daerah Ledang, Ab. Han Ramin.
 
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 11 SEPTEMBER 2014

Tiada ulasan: