PENGUNJUNG SETIA

10 Januari 2016

PENDEKATAN BERDAKWAH YANG BAIK DAPAT MANTAPKAN IMAN - HAMIM



Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Ir Hamim Samuri (tengah) menandatangani plak perasmian Program Komuniti Aktif anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) sambil disaksikan Eksekutif Kanan YADIM Zon Selatan, Muhamad Ammar Abdullah (dua kiri) di Dewan Serbaguna Bukit Gambir, Tangkak.


Tangkak: Tugas berdakwah dengan pendekatan yang menarik dan betul mampu memantapkan keimanan selain dapat menarik minat bukan Islam menghayati dan mendalami agama Islam.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Ir Hamim Samuri, berkata pendekatan berdakwah yang baik dapat memantapkan keimanan seseorang dengan memberikan kefahaman secara terus atau tidak langsung kepada mereka yang kurang memahami sesuatu berkaitan agama Islam.

Katanya, tugas dakwah itu dapat memperbaiki kesempurnaan agama setiap individu yang sebenarnya masih belum sempurna sepenuhnya dan memerlukan bimbingan serta kefahaman yang menyeluruh daripada mereka yang lebih mahir.

“Pendakwah juga perlu mempamerkan cara hidup Islam yang sebenar kepada mereka yang belum memeluk Islam dengan menunjukkan kehidupan yang menarik berpandukan ajaran agama yang dijelaskan dalam al-Quran dan Sunnah.

“Apabila kita wujudkan cara hidup yang menarik serta mempamerkan kehidupan Islam sebenar, lama kelamaan mereka (bukan Islam) akan tertarik dengan Islam,” katanya ketika merasmikan Program Komuniti Aktif anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dengan kerjasama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Ledang dan Pejabat Kesihatan Daerah Tangkak di Dewan Serbaguna Bukit Gambir, di sini, semalam.

Hadir sama, Eksekutif Kanan YADIM Zon Selatan, Muhamad Ammar Abdullah dan Penghulu Mukim Kundang, Jamaluddin Jamil selaku wakil rasmi Pegawai Daerah Tangkak.

Hamim yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata, YADIM perlu membuat satu panduan bagi membolehkan pendakwah yang dilatih mereka dapat menyampaikan dakwah atau ceramah agama dengan lebih berkesan dan sampai kepada sasarannya.

Katanya, YADIM perlu menggabungkan pakar-pakar dalam bidang alam sekitar, ekonomi, kesihatan dan lain-lain dalam menyampaikan dakwah Islamiah dengan lebih berkesan supaya Islam di negara ini dipandang tinggi oleh pihak lain.

Sementara itu, Muhamad Ammar berkata, YADIM melatih 100 tenaga muda setiap tahun sejak 2014 di bawah program Felo Muda Dakwah untuk menjadi tenaga dakwah supaya tidak bergantung kepada guru atau ustaz semata-mata dalam menyebarkan syiar Islam.
MUHAMAD AMMAR

Katanya, mereka terdiri daripada pelajar daripada institusi pengajian tinggi tempatan yang mengambil jurusan berkaitan Islam dilatih selama enam bulan menjalankan tugas-tugas dakwah di bawah bimbingan YADIM.
  

“Pelajar yang menyertai program Felo Muda Dakwah ini dilatih melaksanakan kerja berdakwah berdasarkan ilmu dan keyakinan diri mereka dengan bimbingan YADIM kepada orang ramai.

“Program Komuniti Aktif yang dianjurkan hari ini bertemakan Ke Arah Komuniti Sihat Dengan Sunnah dalam usaha mengajak dan mewujudkan masyarakat setempat menjalankan aktiviti sihat berpandukan kaedah kesihatan dalam Islam,” katanya.

Muhamad Ammar berkata, antara aktiviti yang dijalankan sempena program itu ialah senaman secara teori dan praktikal yang dikendalikan oleh Ketua Jurulatih 10Kg 10Week, Mohd Sufian Sulaiman dari Kementerian Kesihatan yang disertai golongan muda dan dewasa.

Katanya, pameran gaya hidup sihat dan pemeriksaan kesihatan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Tangkak turut diadakan selain tazkirah disampaikan Felo Muda Dakwah YADIM, Syakir Abdul Azam.

[INFOLEDANG|2016]

Tiada ulasan: