TANGKAK - Penduduk beberapa kampung di sekitar Bukit Gambir, di sini,
kesal tindakan tidak bertanggungjawab individu yang mengedarkan risalah
berbentuk perjudian ke rumah mereka.
Risalah itu memaparkan gambar Angkor Wat dan tiket pembelian judi
sebuah syarikat perjudian dan salinan cek yang kononnya memenangi
perjudian.
Selain itu, turut disertakan dua nombor telefon bimbit dan alamat
lengkap berpangkalan di Rantau Panjang, Kelantan, bagi memudahkan orang
ramai berhubung.
Penduduk Kampung Parit Bunga Raya Hujung, Mohd Ghazali Ali, 46,
berkata, ketika hendak keluar ke pekan bersama isterinya kira-kira jam
10 pagi, dia terlihat ada kertas putih diselitkan di beranda rumahnya.
Menurutnya, pada mulanya, dia menyangka ia bil elektrik atau air yang diletakkan di situ.
Namun katanya, selepas melihatnya, dia terkejut mendapati kertas berkenaan risalah yang mengajak orang ramai berjudi.
“Saya tak tahu siapa letak risalah tu. Apabila saya tanya penduduk
kampung, mereka pun dapat risalah sama yang diselitkan di pintu atau
tingkap rumah penduduk.
“Ada yang terlihat beberapa individu tak dikenali berjalan kaki dari
rumah ke rumah mengedarkan risalah tersebut. Beberapa kampung
berhampiran seperti Parit Kassan, Parit Bunga Raya Luar dan Parit Pulai
juga menjadi sasaran individu terbabit,” katanya di sini, semalam.
Mohd Ghazali kesal dengan pengedaran risalah itu yang seolah-olah
mengajak umat Islam tinggal di kampung berjudi, yang ditegah agama.
Seorang warga emas di Kampung Parit Kassan, Bariah Taib, 74, berkata,
ketika membersihkan halaman rumah pada sebelah petang, dia terlihat
kertas yang diselitkan di pintu pagar beranda rumahnya.
Menurutnya, biasanya, kad jemputan atau bil utiliti yang diselitkan di
situ tetapi apabila diberitahu anaknya ia risalah yang mengajak orang
kampung berjudi, dia terkejut.
“Orang itu tidak sepatutnya mengedarkan risalah tersebut di kawasan
kampung yang penduduknya beragama Islam. Mereka perlu sensitif dengan
perasaan orang Islam,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Parit
Pulai, Mohd Som Leman berkata, kegiatan mengedarkan risalah tersebut
turut berlaku di kampungnya.
Menurutnya, perbuatan tidak bertanggungjawab itu perlu dibanteras
terutama dalang yang mengedarkan risalah itu ke rumah penduduk.
“Masyarakat kampung kesal dengan perbuatan itu dan bertambah gusar
apabila pengaruh menggalakkan orang ramai berjudi telah sampai ke pintu
rumah penduduk.
“Kami bimbang ia mempengaruhi generasi muda terlibat judi. Perbuatan
individu terbabit juga tidak menjaga perasaan dan sensitiviti masyarakat
Islam di kampung,” katanya.
SUMBER: SINAR HARIAN, 02 MAC 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan