PENGUNJUNG SETIA

17 Disember 2016

PERLU LEBIH KREATIF KOMERSIALKAN PRODUK

Ir. Hamim Samuri
 
TANGKAK - Penduduk kampung di daerah ini digalakkan agar lebih kreatif dalam menghasilkan produk komersil yang bernilai tinggi bagi menambah pendapatan mereka.

Ahli Parlimen Ledang, Datuk Ir Hamim Samuri berkata, ini selaras dengan usaha kerajaan untuk membangunkan daerah terbabit.

"Penduduk kampung perlu memikirkan produk-produk yang mempunyai daya saing agar ia mampu berkembang dan bertahan lama, tidak kiralah berbentuk barangan, perkhidmatan, makanan, pelancongan dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Riuh Sekampung 2 di Sagil Parit Tiga, di sini hari ini.

Hamim yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata, kerajaan telah menyediakan pelbagai prasarana untuk membantu masyarakat kampung mencapai matlamat terbabit namun ia tidak bermakna jika tiada sambutan dan penyertaan daripada masyarakat.

"Saya fikir mereka (penduduk kampung) tidak mempunyai masalah dari segi modal kerana agensi berkaitan menyediakan peruntukan tertentu...yang hanya perlu dilakukan ialah masyarakat perlu kreatif dan mempunyai keinginan untuk berusaha memulakannya terlebih dahulu," katanya.

Hamim berkata, pembangunan projek tanaman herba kacip fatimah yang sedang giat dijalankan di Tangkak adalah satu contoh kepada pembangunan produk komersil itu.

Menurutnya, biarpun tanaman tersebut pada masa ini hanya dibangunkan di atas tanah seluas 0.8 hektar melibatkan beberapa peladang namun dalam perancangan, ia bakal diperluaskan secara berperingkat sehingga kawasannya menjadi empat hektar.

Justeru, beliau berharap lebih banyak lagi usaha sebegini dilakukan penduduk setempat supaya dapat menambah pendapatan mereka. - Bernama
 
SUMBER: SINAR HARIAN ONLINE 17 DISEMBER 2016

Tiada ulasan: