PENGUNJUNG SETIA

11 Julai 2014

PROJEK ATASI GERAI BERDEBU

Hamim (kanan) menyampaikan hadiah kepada Zaleha di Bazar Ramadan Tangkak.

Oleh Hai Rozzaman Jalal


Ledang: Demi keselesaan peniaga dan pengunjung Bazar Ramadan Jalan Naib Long di Tangkak, di sini, sebanyak RM80,000 akan disalurkan bagi menurap tar tapak perniagaan berkenaan.

Ahli Parlimen Ledang Datuk Hamim Samuri berkata, pelaksanaan menaik taraf kawasan itu dijalankan apabila mendapat persetujuan pemilik tanah iaitu Sekolah Agama (SA) Bandar Tangkak.

Menurutnya, apabila tapak berkenaan ditar, ia dapat mengelakkan kawasan itu berdebu kerana pada masa kini hanya diturap batu kerikil saja.

"Apabila orang ramai berkunjung untuk mencari juadah berbuka puasa keadaan tapak bazar ini yang diturap batu kerikil akan menyebabkan habuk dan sebab itu ia perlu ditar bagi mengelakkannya berdebu.

"Kami akan berbincang dengan pengurusan SA Bandar Tangkak mengenai perkara ini. Jika mereka bersetuju, peruntukan disalurkan bagi melaksanakannya tahun depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang gerai terbersih Bazar Ramadan Tangkak anjuran Majlis Daerah Tangkak (MDT).

Hadir sama, Setiausaha MDT Sulaiman Ismail, Ketua WHIP MDT Zakaria Othman, Pegawai Kesihatan Persekitaran MDT Muhammad Sidek Arasu Abdullah dan Pegawai Kesihatan Daerah Ledang Dr Zaharah Mohd Salleh.

Hamim yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berharap peniaga di bazar Ramadan mengutamakan kebersihan dan kualiti makanan dijual kepada orang ramai.

Dalam pertandingan itu, Gerai 1Malaysia milik Zaleha Aliddin yang menjual pelbagai jenis nasi memenangi tempat pertama, manakala tempat kedua Gerai NMR Beryani Gam milik Noraedah Mohamed Raup dan ketiga Gerai Nasi Lemak Kukus milik K Mohd Hussin M O Kattubawa.

Sementara itu, Sulaiman berkata pertandingan yang memasuki tahun kedua hasil cetusan idea Yang Dipertua MDT Ab Han Ramin bagi menimbulkan kesedaran dalam kalangan peniaga bazar Ramadan menjaga kualiti dan keselamatan makanan dijual.

Menurutnya, terdapat tiga lokasi bazar Ramadan kelolaan MDT dengan 135 tapak niaga iaitu di Tangkak (59 lot), Bukit Gambir (47) dan Taman Serom Utama (29).

SUMBER: HARIAN METRO, 11 JULAI 2014

Tiada ulasan: