PENGUNJUNG SETIA

03 Julai 2014

PEMAJU PUNCA PROJEK TERBENGKALAI

Oleh Zulhisham Isahak

HAMIM Samuri (dua dari kanan) diiringi Sairozi Subakhir (kanan) meninjau bahagian kantin bangunan Sekolah Agama Parit Kassan dekat Bukit Gambir, Ledang, Johor. baru-baru ini.

LEDANG 2 Julai - Masalah beberapa bangunan sekolah agama terbengkalai termasuk yang sudah siap tetapi belum diserahkan kepada Pejabat Pendidikan Agama Daerah Ledang berpunca daripada pihak pemaju gagal membayar kontraktor yang terlibat.

Ahli Parlimen Ledang, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, sekolah agama yang baharu itu terbahagi kepada fasa kedua dan ketiga yang dimulakan awal 2012 dan sepatutnya telah siap dan boleh digunakan awal tahun ini.

"Masalah ini dikenal pasti berpunca daripada pihak pemaju yang diberi amanah oleh kerajaan negeri gagal melunaskan pembayaran kemajuan kerja kepada kontraktor yang melaksanakan pembinaan bangunan berkenaan mengikut jadual.

"Kontraktor menggunakan modal pusingan untuk menjalankan kerja pembinaan, tetapi apabila pihak pemaju lewat membuat pembayaran, kontraktor terpaksa menghentikan pembinaan sehingga pembayaran diterima untuk menyelesaikan kos bahan binaan dan tenaga kerja," katanya selepas meninjau bangunan baharu Sekolah Agama Parit Kassan (SAPK), Bukit Gambir, dekat sini kelmarin yang telah siap, namun belum diserahkan pihak kontraktor untuk digunakan.

Hamim yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri sebelum itu merasmikan Mesyuarat Agung Badan Kebajikan SAPK Ke-19. Yang turut hadir Penolong Pegawai Pendidikan Agama Daerah Ledang, Sairozi Subakhir; Ketua Kampung Parit Kassan, Mohd. Hamzah Basar; Pengerusi Badan Kebajikan SAPK, Rozaini Abd. Hamid dan Guru Besarnya, Nolida Ahmad.

Beliau berkata, antara sebab utama sekolah-sekolah baharu itu masih belum beroperasi kerana terdapat beberapa kemudahan seperti kantin dan tandas termasuk sistem paip yang masih belum disiapkan.

Menurutnya, sekolah agama dalam fasa ketiga yang sepatutnya beroperasi awal tahun ini tetapi gagal disiapkan mengikut jadual ialah SAPK, Sekolah Agama (SA) Parit Kassan; SA Paya Mas; SA Pangkalan Besar dan SA Seri Makmur.

"Berikutan masalah itu, setakat ini hanya SA Bukit Banjar dan SA Bukit Kangkar yang dibina dalam fasa kedua sudah mula digunakan untuk sesi pengajaran dan pembelajaran, manakala yang lain masih belum siap sepenuhnya.

"Ibu bapa amat berharap bangunan yang telah siap dapat diserahkan segera untuk keselesaan anak-anak belajar dan guru-guru melaksanakan pendidikan agama," katanya.

Sementara itu, Rozaini menggesa pihak yang bertanggungjawab dengan pembinaan bangunan baharu berkenaan agar dapat menyiapkan kerja-kerja akhir bagi membolehkan sekolah tersebut dapat digunakan secepat mungkin.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 03 JULAI 2014


Tiada ulasan: